Jumaat, Januari 03, 2020

Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Antara minyak enjin bocor meleleh dengan bandar raya Ipoh

Salam Jumaat pertama tahun 2020. Sekadar berkongsi satu rasa yang menyenangkan sebelum bergerak pada penceritaan utama kali ini. Biar dicopy paste satu post yang diletakkan di Facebook sekitar jam 1 pagi tadi...


MOTIVASI DIRI BAGI MENYIAPKAN TESIS TAHUN 2020

Alhamdulillah. Setelah beberapa bulan menyimpan PDF buku "An Introduction to Islamic Cosmological Doctrines" oleh Seyyed Hossein Nasr (S.H.Nasr) baru malam ini, malam Jumaat pertama tahun 2020 saya betul2 mula membaca dan menelaahnya. Untuk pengetahuan buku yang terbitan pertamanya dikeluarkan tahun 1964 (saya baca revised edition tahun 1978) adalah berdasarkan tesis PhD S.H.Nasr di University of Harvard tahun 1958. Ketika itu intelektual besar Islam yang berasal dari Iran ini sedang berumur 25 tahun (lahir tahun 1933). Beliau asalnya berkecimpung dalam bidang sains (sarjana muda Fizik daripada Massachusetts Institute of Technology tahun 1954 diikuti sarjana atau Masters dalam bidang geologi dan geofizik tahun 1956) sebelum beralih ke bidang falsafah sains diikuti falsafah agama Islam dan Sufi.

S.H. Nasr kemudian menjadi guru kepada Sheikhul Qulliyah ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam), Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Osman mendapat PhD dalam bidang falsafah agama di bawah seliaan S.H. Nasr sekitar tahun 1988. Saya pula kini sedang membuat tesis sarjana di bawah Osman di ISTAC bermula September 2018. Cuma saya sedang diganggu masalah hilang rentak penulisan dan writer's block. Semoga kejayaan menelaah dengan teliti dan menghadam 49 muka surat terawal daripada keseluruhan 346 muka surat buku malam ini membuka jalan untuk kepala dan jiwa jadi lapang lalu terang benderang bagi menyiapkan tesis. Doakan saya berjaya ya... :]


--------------


Itu adalah pada jam 1 pagi. Tidak lama kemudian tergerak untuk menyambung pembacaan sehingga selesai satu bab merangkap 21 muka surat lagi. Tadi pagi pula dapat menyambung 15 muka surat lagi. Petang nanti harus ke ISTAC untuk berjumpa Prof. Osman bagi membincangkan tesis juga sesuatu tentang tariqat. Nah. Baru boleh masuk pada penceritaan utama. Bersambung daripada artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Manusia merancang Allah SWT jua menentukan.


Telah diceritakan dalam artikel 2 hari lalu itu bahawa kereta kami mengalami kerosakan sehingga harus diangkut ke luar tol plaza Gopeng. Jam 6 pagi Selasa 17 Disember 2019 mekanik kami yang sanggup datang dari Rawang berjaya mengenal pasti masalah lalu menunjukkannya kepada saya. Rupa-rupanya oil seal bagi minyak enjin yang terletak di bahagian enjin belakang tayar kanan hadapan bocor teruk. Ditunjukkan bagaimana minyak baru yang dimasukkan  boleh keluar meleleh-leleh apabila pedal minyak ditekan.

Patutlah cermin belakang ada lapisan melekit-lekit penuh dari bawah sampai ke atas. Rupa-rupanya akibat minyak bocor keluar jadi halus ditiup angin melekat. Dan rupa-rupanya saya telah meneruskan pemanduan dalam keadaan minyak enjin dah habis keluar sebelum kereta mati tersadai di KM305.5 Lebuh Raya PLUS. Tetapi menurut mekanik saya bernasib baik kerana beliau telah membuka enjin bahagian atas dan beberapa tempat lalu tidak kelihatan masalah lain malah enjin masih boleh berjalan.

Cuma oil seal itu tidak dapat digantikan di situ kerana ada skru ketat yang cuma dapat dibuka menggunakan peralatan bengkel. Untuk itu kereta harus ditarik kembali ke Rawang. Tapi nak dapatkan lori angkut atau tarik kereta bukannya senang. Walaupun ada yang dapat dihubungi setelah beberapa lama mencuba siang nanti baru dapat datang.


Dekat jam 12 tengah hari iaitu baru muncul lori tarik kereta lalu memulakan kerja. Ini adalah selepas hampir 10 jam kami 6 anak beranak harus berehat di surau tol.


Sambil kereta mula ditarik dengan kami anak beranak semua duduk di dalam boleh kelihatan bukit yang mengandungi Gua Tempurung.





Di sebalik bukit inilah di Lebuh Raya PLUS kereta kami mati lalu tersadai jam 12.30 tengah malam. Hati ini mengatakan ada sebab tertentu kenapa kereta boleh mati di situ. Ia mungkin melibatkan hal ghaib...


Kereta ditarik ke arah utara melepasi pekan lama Gopeng, bukan ke arah selatan menuju ke Rawang.


Kami telah membuat keputusan tidak mahu berpatah balik lebih 150 km ke bengkel biasa kami dekat Sungai Choh, Rawang. Sebaliknya kami menuju ke bengkel milik seorang anak Melayu di kawasan perindustrian Gopeng yang nombornya dapat dicari oleh mekanik kami berdasarkan senarai BMF (Buy Muslim First)...


Kami telah lebih awal memberitahu apakah masalah kereta kepada mekanik Melayu Gopeng melalui telefon. Menurut beliau kalau benar masalahnya cuma oil seal bocor, koyak atau rosak insyaallah boleh diselesaikan hari itu juga. Cuma harus mengambil masa kerana kerja yang perlu dibuat hampir sama seperti menukar timing belt (yang baru kami lakukan beberapa hari sebelum keluar mengembara ini. Rujuk balik cerita berkenaan dalam Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Manusia merancang Allah SWT jua menentukan). Tak apa kata saya. Buatlah kerja. Kami boleh keluar berjalan-jalan.


Daripada bengkel kami berjalan kaki ke jalan besar iaitu jalan lama Kuala Lumpur Ipoh. Dapat menaiki bas 15 km ke pusat bandar raya Ipoh.



Dapatlah berjalan-jalan di ibu negeri Perak. Sebetulnya dalam hati memang ada tersemat rasa untuk singgah. Tetapi disebabkan mahu mengejar jadual, ini tidak dimasukkan dalam rancangan perjalanan...





Pekena hidang "Nasi Ganja" yang terkenal. Inilah antara sebab ada tersemat dalam hati mahu singgah ke Ipoh walau tiada dalam rancangan perjalanan.


Lepaslah juga suatu hajat yang sudah berbulan tersimpan. Kali terakhir saya singgah di Ipoh tak sempat makan kerana sibuk dengan urusan kerja walhal memang nak. Rujuk ceritanya melalui artikel kompilasi  Komplikasi cerita "Membawa semangat Aceh ke Perak".


Dari kedai makan "Nasi Ganja" sudah dekat ke satu bangunan ikonik Ipoh iaitu Masjid Panglima Kinta...


Kami pun ke sana untuk bersolat dan beriktikaf, sempat bertemu seorang kawan daripada kaum kerabat Panglima Kinta yang juga ada kena mengena dengan kaum kerabat saya daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak.






Hmm. Kebetulan ketika menulis ini saya sedang memakai seluar dan baju yang sama. Set pakaian sama ada dipakai beberapa kali dalam perjalanan Krabi dan selatan Thailand ini. Adapun saya menyambung penulisan ini selepas kembali daripada solat Jumaat bersama-sama anak-anak kemudian ke sekolah agama. Penulisan dimulakan sekitar jam 12.45 selepas mengambil mereka daripada sekolah pagi...



Sekitar jam 5.45 petang baru kami meninggalkan masjid dengan menaiki kereta Grab. Ketika itu baru turun hujan renyai.


Sampai kembali ke bengkel di kawasan perindustrian Gopeng di selatan Ipoh mekanik masih berusaha untuk menyiapkan kereta. Kesihan dia harus berkerja keseorangan kerana pekerjanya bercuti. Namun dia tetap berusaha untuk menyelesaikan perkara...


Jam 10 malam baru kereta dapat dipandu keluar meninggalkan bengkel. Dapatkah kami kembali mengejar jadual yang sudah lebih 24 jam terlewat? Kalau ikut rancangan asal pada waktu ini kami harus sudah puas melihatkan kesan-kesan sejarah orang Melayu di Satun, dahulunya wilayah Setul milik Kedah sebelum menjadi sebahagian daripada wilayah selatan Thailand. Pada waktu ini kami harus sedang berehat sama ada di hotel, mungkin sahaja sebuah masjid dalam perjalanan dari Satun menuju ke destinasi utama kami iaitu Krabi. 

Tetapi Satun masih terletak lebih 360 km ke utara, apa lagi Krabi lebih 270 km lagi jauh. Dan keadaan kereta sebenarnya tidak sebaik yang kami mahu. Jadi bagaimanakah ini? Bilik hotel di Krabi sudah ditempah dan dibayar untuk dimasuki esoknya petang Rabu 18 Disember. Sempatkah kami mengejar waktu? Sedangkan menurut Google Map perlu memandu hampir 9 jam tanpa henti untuk sampai ke sana...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan