Rabu, Januari 22, 2020

Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Antara 'huru hara' di Yala dan sekitar dengan pengeboman di London

Salam. Setelah beberapa lama masuk kita pada hari ke-8 perjalanan Krabi dan selatan Thailand. Bersambung daripada Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Mencari jejak sejarah Melayu Islam di Phattalung/Bedelong/Merdelong.


Pagi Isnin 23 Disember 2019. Pemandangan bandar raya Hatyai daripada tingkap bilik hotel tempat kami menginap di stesyen kereta api.


Keluar menuju ke barisan kedai hadapan stesyen.


Ada kedai makan Melayu tempatan halal lagi harga berpatutan. Saya mahu membeli sarapan buat kami 6 beranak...


Saya pergi seorang diri bagi menjimatkan masa. Kembali ke hotel isteri dan anak-anak sudah siap dengan segala barangan lalu kami pun melangkah masuk stesyen, terus ke platform (lupa pulak bahasa Melayu) yang berkenaan.


Kami mahu menaiki kereta api jam 7.55 pagi ke selatan.


Tengok-tengok jam 8.52 baru ia sampai. 


Tak mengapalah. Yang penting sampai lalu kami dapat bergerak. Cuma ada rasa sedikit terkilan sebab kalau tahu begini tentu sempat kami anak beranak bersarapan di kedai, bukan di platform stesyen kereta api. 


Kalau ikut rancangan asal iaitu sebelum berlaku kereta rosak di Ipoh, selepas Hatyai kami mahu ke Patani lalu menginap satu malam. Sebaliknya kami sekadar berhenti sebentar di stesyen kereta api Pattani.


Dari stesyen tersebut ada jarak lebih 20 km untuk sampai ke bandar Patani. Kami sudah kesuntukan masa lalu cuma boleh singgah apa yang mudah dicapai terus dengan kereta api. Oh. Inilah kali pertama kami mengambil kereta api mengikut laluan ini. Yang pernah sebelum ini adalah laluan Bangkok ke Hatyai membawa ke Padang Besar, Perlis di pantai barat Semenanjung Malaysia (bagi saya sudah beberapa kali). Yang diambil kali ini adalah laluan ke pantai timur. Lihat artikel Train to Yala di blogspot BERPETUALANG KE ACEH


Tajuk artikel yang dipautkan sudah jelas untuk menunjukkan arah tujuan kami. Adapun bandar Yala terletak sekitar 124 km dari Hatyai sedangkan stesyen Patani berada di tengah-tengah. Sekadar memberitahu, bandar Patani sudah 2 kali kami singgah - sekali pada penghujung tahun 2017 (lihat  Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Panggilan tersirat kerajaan Reman-Patani, kedua pada awal 2018 (lihat Jejak Wasilah Patani - The compilation).  Sebelum itu saya pernah sampai sekali tanpa keluarga. Llihat  Misi jejak Aceh-Langkasuka : Forum Batu Aceh di Patani, asbab utama perjalanan dibuat. Tetapi bandar Yala kami belum pernah singgah. Setakat pernah  lalu dalam wilayah atau daerah tapi tak masuk bandar...


Oleh itu memang saya berhajat sangat untuk melihat apa yang ada di bandar Yala. Sebelum ini kami sering diberitahu bahawa tempat ini sangat bermasalah kerana selalu berlaku tembak menembak juga pengeboman dan huru hara. Ini katanya adalah akibat perlawanan antara puak pemisah (memperjuangkan kebebasan wilayah Patani yang sebenarnya turut meliputi Yala dan Narathiwat sebelum dipecahkan oleh pihak Thailand yang menakluki mereka penghujung abad ke-18) dengan kerajaan. Tetapi kami mendapat tahu daripada warga tempatan Yala yang ditemui di Hatyai bahawa itu adalah di kawasan pendalaman, bukan luar bandar.


Sebetulnya kawasan pendalaman yang pernah kami lalui dengan kereta sendiri penghujung tahun 2017 itu jauh lebih bermasalah kerana dikatakan terdapat markas puak pemisah. Alhamdulillah, perjalanan kami dimudahkan lalu tiada masalah. Lihat artikel lama Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Panggilan tersirat kerajaan Reman-Patani. Teringat pula bagaimana ketika masuk ke selatan Thailand melalui Padang Besar 18 Disember ada orang Melayu Malaysia mengaku selalu pergi ke merata Thailand lalu menasihatkan kami agar tidak singgah ke bandar Yala. Sekarang saya melihatnya sebagai orang yang 'sembang lebat' aje lebih. Kalau betul dia tahu selok belok semua tempat tentu boleh menyatakan setakat mana ia berbahaya, kawasan mana yang boleh dikira selamat dan sebagainya. Lihat Around Yala town.



Memikirkan hal ini teringat bagaimana ketika mengaji di London tahun 1991-1995 hampir setiap hari asyik terdengar orang mahu mengebom. Ini berlaku akibat pertentangan daripada puak pemisah IRA (singkatan bagi Irish Republican Army - Tentera Republik Ireland) yang mahu menuntut agar wilayah Ireland Utara dipisahkan daripada berada di dalam kuasa pentadbiran United Kingdom yang berpusat di London. Semasa itu selalu keluar dalam berita dan suratkhabar berita tentang serangan atau ancaman serangan di bandar raya. Selalu berlaku stesyen kereta api bawah tanah ditutup sementara pihak polis menggeladah mencari bom yang katanya disembunyikan di mana-mana. 

Saya sendiri pernah mengalami keadaan ini banyak kali malah pernah mendengar bunyi bom meletup di London sekurang-kurangnya 2 kali. Keadaan ini menyebabkan ramai ahli keluarga pelajar dan mereka di luar UK risau tentang keselamatan kami. Tetapi 'baiknya' IRA ini adalah mereka akan membuat pengumuman  jika mahu membuat serangan bom. Tujuan mereka cuma mahu merosakkan infrastuktur awam supaya kerajaan akur dengan permintaan. Mereka tidak mahu mencederakan orang  awam lalu disalahkan kerana memerlukan sokongan popular rakyat bagi memenuhi tuntutan.

Keadaan begitu merisaukan sehingga pernah berlaku sebuah kedai kaset dan CD terkemuka di London iaitu Tower Records di Piccadily Circus ditutup buat sementara waktu kerana beg sandang besar saya disyaki mengandungi bom. Ya. Ini bukan main-main, cipta atau tokok tambah cerita. Apa yang berlaku adalah saya telah meninggalkan beg sandang besar yang selalu dibawa ke sana ke mari ke satu bahagian dalam kedai lalu berjalan ke tempat lain (hmm... yakin tu orang tak sanggup curi. Sekarang bila fikir balik apa punya biol lah aku ni). Ketika kembali didapati kawasan tersebut telah dikepung polis sementara menunggu pakar bom datang untuk memeriksa. Saya pun memberitahu itu adalah beg saya. Nasib baik tak jadi apa-apa yang teruk.


Ketika itu memang selalu berlaku beg berisi bom juga kenderaan ditinggalkan di mana-mana lalu dibiarkan meletup. Polis apabila mendapat berita ada benda mencurigakan akan menyuruh orang ramai keluar dari kawasan lalu mengepongnya sambil meminta pakar datang untuk mematikan bom. Hal ini tentu tidak boleh disamakan dengan pergolakan yang berlaku di Yala juga wilayah-wilayah Melayu bersebelahan seperti Patani dan Narathiwat. Di selatan Thailand ini memang selalu berlaku pengeboman dan tembak menembak sehingga mengorbankan orang awam. Tapi kalau dah faham selok belok dan keadaan sebenar kawasan ia tidaklah begitu menakutkan. 

Sebab itu setelah pertama kali ke Patani awal tahun 2017 saya menjadi cukup yakin dan berani sehingga sanggup memandu kereta sendiri membawa ahli keluarga berjalan-jalan walau tetap harus melepasi berpuluh road block malah sekatan dan pemeriksaan tentera juga polis bersenjata. Apapun, selain mahu melihat keadaan bandar Yala saya mahu menjejakkan kaki ke sebuah kuil yang pada pandangan dan penglihatan saya menjadi suatu macam pasak 'kebatinan' bagi membuat penduduk tempat Melayu Islam di sekitar akur terhadap pemerintahan bukan Islam. Lihat artikel Kuil pasak (Pillar shrine of) Yala di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Saya turut mengambil peluang melihat Sungai Patani di belah sana kemudian singgah ke masjid utama. Lihat artikel Patani river near Yala railway bridge diikuti Masjid pusat (Central mosque of) Yala.


Jam 12 kembali ke stesyen kereta api untuk ke destinasi seterusnya. Lihat Yala railway station.


Kami mahu menaiki kereta api jam 12.27 tengah hari untuk bergerak lebih jauh ke selatan dan pantai timur. Kali ini kami tidak perlu menunggu terlalu lama kerana jam 12.41 ia pun sampai. Lihat Train to Sungai Kolok.


Oh, lupa nak sebut. Sebetulnya dalam perjalanan kereta api dari Hatyai ke Yala kemudian Yala ke Sungai Golok ada sahaja pihak tentera dan polis bersenjata datang menjengok memerhatikan semua yang ada.


Malah semasa keluar daripada stesyen Sungai Kolok anak lelaki bujang saya ditahan lalu mahu diperiksa. Terus saya memberitahu ini anak saya dan kami orang Malaysia lalu ditanya ada bawa paspot? Saya kata ada lalu anak pun dilepaskan.


Dari stesyen kami berjalan kaki masuk ke bandar Sungai Kolok atau orang Melayu kita panggil Golok lalu singgah makan.


Selepas itu kami menyambung berjalan kaki menyeberangi sempadan masuk kembali ke Malaysia melalui Rantau Panjang. Lihat Walking across Sungai Kolok.


Setelah meliputi jarak lebih 2 km baru berhenti untuk mendapatkan bas ke Kota Bahru.








Kami berhenti sebelum stesyen bas utama lalu berjalan kaki jauh lagi untuk ke hotel.





Ia terletak di tepi Sungai Kelantan. Pemandangan begitu cantik daripada bilik kami di tingkat 5. Lihat Kelantan river from 5th floor of a riverside hotel.


Malam itu seorang kawan kami datang untuk membawa berjalan-jalan.


Dapatlah ziarah ke makam wali besar Kelantan hujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20 iaitu Tok Kenali...


Dapat juga beriktikaf sebentar di masjid yang didirikan oleh anak cucu beliau...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan