Ahad, Disember 08, 2019

Madinah sebagai manifestasi keTauhidan Muhammad dalam kehidupan bermasyarakat - Rujukan bagi setiap kota semua zaman

Salam pagi Ahad 11 Rabiulakhir 1441 Hijriah, Merujuk pada artikel Batu Aceh Sultan Alauddin Melaka di Pagoh - Pendekatan hidup mati Sufi sebagai pegangan raja-raja Melayu yang dipersembahkan malam semalam. Selepas menghadiri acara berkenaan di Muzium Kesenian Islam petang Jumaat saya makan di tengah bandar raya Kuala Lumpur kemudian bergerak ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam). Di sanalah artikel sebelumnya iaitu Membina kekuatan Sufi dalam diri pemimpin - Suatu elemen penting dalam kenaikan empayar Uthmaniyyah dapat disiapkan lalu dipersembahkan lewat petang. Malamnya selepas masuk waktu Isyak saya pun menghadiri satu syarahan bersiri...


Ia adalah edisi ke-11 bagi siri yang tajuk utamanya pernah saya terjemahkan sebagai "Pesan  Abadi Islam dan Tamadunnya". Lihat artikel pertama tentang siri yang diadakan 2 minggu sekali ini - Perjalanan kecil ke Jelai - Membawa ilmu dan amal dalam pengembaraan sebenar. Edisi ke-11  membawa tajuk kecil yang boleh diterjemahkan sebagai "Kelahiran kota Nabi : Cerita Dramatik Wilayah Pertama Tamadun Islam". Ia adalah kesinambungan bagi edisi ke-9 dan ke-10 syarahan yang memberikan tumpuan pada hari-hari awal penyebaran agama Islam di Mekah. Rujuk artikel-artikel berikut :-





Dengan itu kedua-dua syarahan terdahulu itu dirujuk oleh pensyarah iaitu Sheikhul Quliyyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar sebagai latar belakang bagi syarahan ke-11. Intipatinya adalah konsep Tauhid yang mengEsakan Allah Ta'ala. Konsep ini telah diterapkan dan diberi faham daripada pelbagai sudut pandang semasa 13 tahun baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW mengajar tentang Islam di Mekah. Bila hal ini sudah cukup mantap baru masuk bab Madinah sebagai wilayah pertama 'berumahnya' Islam lalu dapatlah ia berkembang ke seluruh Tanah Arab.

Kata Osman, Tauhid adalah intipati agama sedangkan keEsaan adalah intipati Tauhid. Ini harus mendakap pada kesatuan alam semesta. Sesungguhnya ia adalah penzahiran daripada nama-nama Allah dan keEsaannya. Keteraturan alam semesta menjadi bukti pada Tuhan yang Satu. Kalau terdapat tuhan-tuhan selain itu tentu ia sudah lama kelam kabut. 

Agama adalah intipati bagi ketamadunan sedangkan Tauhid adalah intipati agama. Tauhid merupakan ideologi keTuhanan. Ia bukan ciptaan manusia. Ia adalah sesuatu yang diwahyukan. Konsep Tauhid terbit dalam 'rahim' kenabian di Mekah. Dalam hal ini 5 ayat pertama Al-Quran yang diwahyukan (di Gua Hira') iaitu 5 ayat Surah al-Alaq dirujuk. Lihat Iqra' sebagai asas ketamadunan Islam. Sesungguhnya Mekah adalah pusat spiritual terpenting di dunia lalu dicemburui pihak lain. Mana ada tempat spiritual lain sentiasa dipenuhi berjuta orang berkumpul seperti orang ramai berpusing (bertawaf) mengelilingi Ka'abah di Mekah?


Ilmu Tauhid ini mencapai kesempurnaan dalam roh Nabi. Seperti kata para Sufi ia membawa kepada pembentukan manusia sempurna iaitu Insan al Kamil, manusia yang telah merasa penyatuan dengan Tuhan. Tetapi terdapat pelbagai darjat yang berlainan dalam hal ini. Para pendita dan wali masuk dalam golongan begitu juga sejumlah Sahabat, Tetapi para Nabi memiliki kedudukan dan makam yang lebih tinggi.

Nabi Muhammad SAW berpengalaman naik berjumpa Allah SWT secara zahir dan batin dalam peristiwa Mikhraj. Sesungguhnya ia berlaku bukan sekadar untuk 'memujuk' baginda yang ketika itu baru kehilangan beberapa insan penting dalam hidup. Ia juga untuk menunjukkan misi baginda berdakwah dan menyebarkan Islam mendapat restu selain mahu menunjukkan cabaran masa hadapan yang bakal dihadapi di Madinah. Lihat bagaimana bentuk ayat-ayat Al-Quran yang turun di Mekah - Surah-surah Makiyah - tentang Tuhan, tentang malaikat, tentang spiritual manusia, tentang masa hadapan. Sesungguhnya agama baru Islam bertujuan untuk membentuk satu komuniti atau masyarakat berdasarkan Tauhid. Tamadun baru. Islam ini memerlukan laki-laki dan perempuan yang faham.

Dalam tempoh 13 tahun di Mekah baginda Rasulullah berjaya menghasilkan satu kelompok terbaik yang boleh menggalas tugas. Kenapa 13 tahun di Mekah tetapi cuma 10 tahun di Madinah? Kata Osman ini untuk menjadikan Tauhid sebati dalam diri penganut Islam awal. Selepas itu baru dicari wilayah untuk menzahirkan keTauhidan ini pada peringkat masyarakat atau komuniti. Mekah bukan tempatnya. Namun harus dicari juga suatu tempat dalam Tanah Arab kerana wahyu terakhir Allah SWT (sebagai perbandingan terhadap wahyu yang ditujukan kepada para nabi dan umat terdahulu) adalah dalam bahasa Arab.

Lalu lahirlah kota Nabi - Madinatun Nabi yang nama lamanya adalah Yathrib. Ia berlaku pada bulan September tahun 622 Masihi. Ini mungkin peristiwa paling terkemuka dalam pengasasan sebuah negarakota. Dikatakan baginda pertama kali sampai (dari Mekah) pada tarikh 12 Rabiulawal yang kebetulan adalah hari lahir baginda, Ini berlaku selepas harus berhadapan dengan segala macam ancaman dan mara bahaya baik daripada pemburuan manusia (Arab Jahiliyyah Mekah yang mahu membunuh baginda) juga kehangatan terik padang pasir lalu menjadi hadiah hari lahir.


Kenapa memilih Yathrib sebagai destinasi hijrah? Tentunya baginda menerima arahan daripada Allah SWT. Para sejarawan Marxist (yang materialis, tidak percaya pada hal-hal ghaib dan spiritual) cuma melihat baginda sebagai seorang yang genius, bernasib baik dan kebetulan dapat melakukan sesuatu yang besar.  Namun kita (orang Islam) tahu apabila keadaan sudah terlalu teruk di Mekah (umat Islam awal ditindas) baginda diberikan bayangan (vision) agar melakukan hijrah. 

Kata Osman, Martin Lings (seorang sarjana Barat) ada menulis tentang ini berdasarkan maklumat daripada kitab Sahih Bukhari. Telah berlaku pertengkaran antara Abu Bakar dan Umaiyah (belum Islam) disebabkan Abu Bakar mahu membina masjid yang bersambung dengan rumahnya. Umaiyah takut ini akan menyebabkan lebih ramai orang memeluk agama Islam lalu mahu pembinaan dihentikan. Abu Bakar tidak mahu lalu berlakulah pertengkaran.

Ketika itulah datang Rasulullah SAW untuk memberi tahu baginda telah mendapat satu bayangan. Baginda telah ditunjukkan rupa suatu tempat yang bakal menjadi pengkalan dan wilayah umat Islam, Ciri-cirinya begitu begini. Ia merujuk pada Yathrib (terletak sekitar 400km ke utara Mekah). 

Kenapa Yathrib? Kata Osman ia terkait dengan tujuan agama baru dan ketamadunan. Keadaan semasa Yathrib dirujuk. Ia adalah kota yang penuh dengan perbalahan antara pelbagai puak termasuk Yahudi. Ada pergaduhan antara puak-puak Arab yang berlainan, ada antara Arab dan Yahudi. 

Sudah seratus tahun halnya begini. Yathrib adalah tempat tanpa pemimpin. Ia sedang mencari pemimpin. Tiada pemimpin (atau ketua) boleh menyatukan kota.  Dipendekkan cerita (saya yang pendekkan) kedengaranlah tentang kemunculan Nabi Muhammad SAW di Mekah dan ketokohan baginda. Satu delegasi pun dihantar untuk mengundang baginda datang dengan harapan dapat menyelesaikan masalah lalu menyatukan masyarakat di Yathrib. Sampai masanya berlakulah penghijrahan membawa kepada pembentukan Madinah. 

Madinah cuma membawa maksud "kota". Nama Yathrib ditukar kepada Madinah untuk membentuk kota yang dapat menzahirkan ad-din atau agama (sebagai cara hidup). Madinah menjadi mikrokosma untuk menunjukkan apa itu Islam, Islam dalam bentuk praktikalnya bagi kehidupan bermasyarakat. Sesungguhnya Nabi itu memberi gambaran pada Ummah. Kualiti dan sifat-sifat baiknya menzahir pada masyarakat. Ummah pula menzahirkan sifat-sifat Nabi.

Madinah adalah contoh terbaik di mana tidak setitik darah pun tumpah dalam pengasasannya. Ia bukan berlaku melalui penaklukan atau apa-apa cara ganas malah adalah satu kemenangan bagi diplomasi. Terdapat begitu banyak sebab kenapa ia adalah kota yang patut dicontohi. Semua kota-kota di dunia baik zaman dahulu mahupun zaman sekarang dan akan datang harus dinilai menurut neraca Madinah. 

Cukup sekadar ini perkongsian. Untuk makluman banyak lagi perkara berkaitan dibincangkan, misalnya bagaimana ulamak silam Islam terkenal Al-Farabi (hidup 872-950M)  melihat Madinah berbanding cara Ibnu Khaldun (1332-1406) melihatnya. Bagaimana pengasasan Madinah apabila dibandingkan dengan pengasasan Israel misalnya (melalui keganasan) dan Soviet Union (Russia) yang merupakan wilayah manifestasi pertama ajaran komunisma Karl Marx. Perbandingan juga dibuat dengan konsep keTuhanan dalam agama Buddha dan Yahudi yang kelihatan berlawanan.

Sesungguhnya Islam mengambil jalan tengah iaitu Wasatan - Wasatiyah. Biar dimaklumkan ini adalah syarahan terakhir dalam siri bagi semester ini. Insyaallah ia akan disambung lagi tahun hadapan. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan