Ahad, Oktober 13, 2019

Himpunan Perguruan Silat Selangor - Apabila Istana Bandar kembali bergema dengan temasya silat



Jam 9.45 pagi Ahad 13 Oktober 2019. Kami sampai ke persekitaran Istana Bandar setelah menginap di rumah kawan cuma 1 km dari situ. Untuk makluman kawasan ini dinamakan Bandar kerana pernah menjadi pusat pemerintahan negeri Selangor pada zaman Sultan ke-5, Sultan Alaedin Sulaiman Syah (bertakhta 1898 -1938). Selepas itu pusat pemerintahan atau pentadbiran dialih ke Klang lalu Bandar menjadi kampung...


Pada hari-hari biasa kawasan ini boleh dikatakan senyap sunyi walau masih berdiri istana serta sebuah masjid diraja. Kini ia kembali dihurungi manusia atas nama persilatan bagi seluruh negeri Selangor.


Majlis dijadualkan bermula jam 8 pagi dengan pendaftaran hadirin terutama mewakili pelbagai perguruan silat negeri. Kami sampai lewat kerana saya perlukan rehat barang sejam dua selepas menunaikan solat Subuh. 


Masuk ke istana melalui pintu hadapan


Sudah ada orang berniaga juga membuat pameran.











Kami sendiri mengambil satu meja berhadapan tingkap menghadap ke pentas utama dan gelanggang silat. Bukanlah nak berniaga sangat kerana tujuan kami datang adalah meraikan kawan-kawan. Tapi dah alang-alang datang dan mahu mengikuti majlis daripada pagi hingga petang apa salah buka meja sekali?


Jam 10.21 suasana semakin meriah di luar...





Selepas beberapa lama persembahan silat oleh guru-guru utama pun dimulakan. Gambar ini diambil pada jam 10.35 pagi...








Sambil persembahan menjadi semakin rancak boleh dibayangkan bagaimana suatu masa dahulu persembahan-persembahan serupa pernah dilakukan oleh para pendekar, panglima dan hulubalang Melayu sambil diperhatikan oleh sultan dan kerabat.





Sultan Alaedin Sulaiman dikenali sebagai seorang raja yang alim sehingga mampu menulis kitab. Boleh dibayangkan baginda juga selalu membuka halaman istana agar rakyat jelata dapat masuk bergembira bertemasya pada waktu-waktunya.














Selepas persembahan oleh guru-guru utama sampai giliran anak-anak murid membuat persembahan secara berkumpulan...


Jam 11.47 saya kembali ke meja niaga...


Dari situ pun sudah boleh mengikuti persembahan walau sedikit terlindung oleh orang dan khemah.


Jam 11.54 saya membuka komputer riba. Alang-alang dah ada kemudahan biarlah dilepaskan gerak penulisan bermula dengan artikel Himpunan Perguruan Silat Selangor - Majlis ta'aruf dan pembukaan gelanggang lewat malam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan