Khamis, September 12, 2019

Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Penerbangan yang dilewatkan, keindahan Lhok Seudu dan 'panggilan' Ja Tirom

Salam lewat petang Khamis 12 September 2019 bersamaan 12 Muharram 1441 Hijriah. Merujuk pada artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Satu pengenalan ringkas selepas tamat pengembaraan yang dipersembahkan petang Jumaat lalu. Setelah 8 hari perjalanan yang dilakukan 28 Ogos hingga 4 September itu selesai sampailah masa untuk berkongsi butiran cerita...


Pagi Rabu 28 Ogos 2019 jam 10.29. Kami sudah sampai ke perkarangan lapangan terbang KLIA2 setelah bermalam di rumah abang kepada isteri sekitar 14 km perjalanan.


Walaupun masih terlalu awal untuk mengejar penerbangan kami yang dijadualkan berlepas ke Banda Aceh jam 2.15 petang kami sampai awal untuk memastikan kelancaran pendaftaran masuk ataupun check-in. Ini kerana diberitakan KLIA2 dan terminal induk KLIA sedang menghadapi masalah sistem sehingga banyak perkara harus dilakukan secara manual sejak beberapa hari kebelakangan.


Tengok-tengok sistem di KLIA2 elok, yang di KLIA yang masih bermasalah. Kalau tahu begini tentu selepas jam 12 baru kami ke lapangan terbang menurut kebiasaan waktu check-in iaitu dalam tempoh 2 jam sebelum penerbangan berlepas. Untuk melihat Facebook live video tentang ini klik sini.


Proses check-in kami termasuk menyerahkan bagasi memakan masa cuma 10-15 minit.  Tetapi masalah teknikal muncul kembali tidak lama selepas itu. Nasib baik kami juga sudah selesai urusan imigresyen ketika ia berlaku. Itupun didapati penerbangan dilewatkan kepada jam 3.15 petang. Tidak cukup itu masuk jam 11.30 pagi dapat pengumuman dilewatkan pula ke jam 4.15 petang.


Bayangkan kami dah sampai ke lapangan terbang sejak jam 10.30 pagi. Tengok-tengok penerbangan dilewatkan ke jam 4.15 petang iaitu hampir 6 jam selepas kami sampai. Itupun asalnya kami membeli tiket penerbangan jam 10 pagi. Tetapi sebulan sebelum tarikh ditukar pula ke penerbangan jam 2 petang. Maka melepak lamalah kami di lapangan terbang. Siap boleh berbaring anak beranak di suatu sudut yang tidak ramai orang...


Selepas jam 2 baru bergerak masuk ke ruang umum menunggu pesawat. Masuk jam 4 baru dibenarkan masuk ke ruang khas menunggu menurut nombor pesawat. Nampaknya penerbangan dilewatkan lagi.


Selepas jam 4.20 baru ada panggilan untuk beratur masuk ke dalam pesawat.


Itu baru panggilan. Tengok-tengok harus menunggu dan menunggu lagi.


Oh. Kami juga diikuti 4 orang kenalan yang mahu turut serta membuat pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera. Kami telah membuka ruang untuk sesiapa sahaja turut serta bersama supaya kos perjalanan juga penginapan dan makan minum dapat dikongsikan menjadi serendah mungkin bagi setiap satu kepala.


Dekat jam 5 baru kami selesa berada di dalam pesawat. Alhamdulillah. Pramugara telah memberikan kami tempat-tempat duduk yang bagus, bukan mengikut nombor tiket untuk bahagian yang lebih sempit.


Beberapa lama kemudian kami pun berada di udara. Sambil itu kepala saya ligat memikirkan bagaimana hendak mengatur kembali perjalanan memandangkan sudah begitu banyak masa terbuang. Sedangkan banyak tempat asalnya dirancang mahu diliputi selewatnya sebelum waktu Isyak.


Kami sampai ke lapangan terbang Sultan Iskandar Muda di luar Banda Aceh pada jam 5.25 waktu tempatan. Ketika itu tinggal sejam lebih sahaja sebelum matahari terbenam.


Selesai urusan imigresyen dan ambil bagasi dah jam 5.55 petang. Nasib baik 2 orang kawan Aceh sudah sedia menunggu dengan kereta masing-masing, Seorang akan membawa saya dan keluarga, seorang membawa 4 orang kenalan.


Kami pun bergegas menuju ke pantai barat Aceh dan Sumatera. 








Dalam perjalanan baru tersedar kereta lagi satu masuk ke Banda Aceh untuk satu urusan.





Kami teruskan kerana saya sebagai ketua rombongan yang membuat keputusan bagaimana hendak memanfaatkan masa, di mana kah perlu singgah.


Sampai di suatu tempat bernama Lhok Seudu kami berhenti kerana saya dan keluarga sudah kelaparan hendak makan. Kawan yang memandu nampak sebuah kedai makan yang ada orang.


Ternyata persinggahan tidak dirancang ini amat bermakna kerana tempatnya cantik, memang satu lokasi peranginan. Lihat artikel The waterfront of Lhok Seudu after sundown di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.  Selain itu ada cerita menarik bagi peminat sejarah. Dikatakan di sinilah seorang puteri dari China bernama Putroe Neng pernah berkuasa sebelum dikalahkan lalu dikahwini Raja Meurah Johan dari Aceh lama hampir 1,000 tahun yang lampau. Tonton FB live di sini.


Selepas kereta lagi satu sampai ke Lhok Seudu lalu kami sama-sama makan hidangan istimewa satay sotong kami pun bergerak secara konvoi menyusuri pantai barat Aceh ke selatan. Naik satu kawasan berbukit sebelah Lautan Hindi, sampai ke satu bahagian turun, nampak orang jual durian. Kami layan makan durian pula beramai-ramai.


Dalam perjalanan turun bukit selepas makan durian hati isteri terasa berdebar-debar seolah-olah mendapat panggilan. Kami tafsirkan ini sebagai ada 'panggilan' daripada makam tokoh penting berdekatan,. Kebetulan saya memang ada merancang untuk singgah ke satu makam dekat tempat bernama Lhoong setelah mendapat tahu tentang kewujudannya sekitar seminggu dua sebelum ke Aceh. Tetapi apabila sampai begitu lewat ingatkan tak jadi. 

Apabila disemak dalam Google Maps memang ketika itu kami sedang mendekati Lhoong. Kedudukan makam ada ditandakan dalam perisian. Walaupun ada masalah signal sehingga hilang jejak kedudukan kami dapat sampai dengan pertolongan orang tempatan lalu dibawa ke sebuah pondok berdekatan makam berjumpa dengan penjaga dan waris keturunan tokoh yang disemadikan.



Kami pun diberitahu tentang tokoh yang dikenali sebagai Ja Tirom. Katanya beliau adalah seorang pendakwah dari Turki dengan nama sebenar Sheikh Habib Solihin.  Kapalnya karam dalam perjalanan ke Aceh lalu beliau terdampar buat beberapa lama di dalam lautan. Apabila sampai ke darat didapati badannya dipenuhi tiram. Itu yang dikenali sebagai Ja Tirom. Maknanya orang tua atau datuk (Ja) tiram (Tirom).


Menarik tetapi tidak masuk akal, Ja Tirom dikatakan berada di dalam laut selama 3 setengah abad! Sedangkan beliau sampai ke Aceh pun sudah ratusan lalu yang lampau. Selepas diberikan penerangan sambil bersilaturrahim menikmati juadah ringan baru kami dibawa meredah kegelapan malam untuk ke makam. Tu dia, dekat jam 10.30 malam pergi ziarah makam. Lihat artikel Makam (Tomb of) Ja Tirom di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Dan itu baru hari pertama dalam perjalanan keseluruhan 8 hari 7 malam yang nanti didapati akan meliputi jarak tidak kurang 1,850 km.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan