Rabu, Julai 24, 2019

Perjalanan kecil ke Jelai - Dari Kampung Dulang menyeberang Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat

Salam petang 21 Zulkaedah. Masuk pada bahagian ke-3 dan terakhir cerita perjalanan kecil hujung minggu lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan kecil ke Jelai - Dugaan dari Masjid Taboh Naning ke Masjid Kampung Dulang.


Pagi Ahad 21 Julai 2019. Setelah puas berehat dan bermalam di Masjid Kampung Dulang kami bersedia untuk menyambung perjalanan.


Tentang masjid ini biar dikongsikan isi satu artikel yang keluar dalam akhbar Berita Harian Rabu, 12 Ogos 2015. Untuk gambar-gambar yang diambil baru ini lihat artikel Lawatan terbaru ke Masjid Kampung Dulang (Latest visit to Kampung Dulang mosque) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...


Misteri dulang makanan di masjid tertua di Jelebu

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bh.com.my

KUALA KLAWANG: Masjid Kuala Dulang di Kampung Kuala Dulang, kira-kira dua kilometer dari pekan ini, tidak jauh bezanya dengan masjid lain di daerah Jelebu. Namun, di sebalik persamaan itu tersimpan beberapa misteri yang hingga kini masih belum terungkai.

Masjid tertua di daerah Jelebu itu dikatakan diasaskan oleh dua pendakwah yang berasal dari Minangkabau, Sumatera, iaitu Dato' Nika dan Mudim Khatib Raja, pada awal abad ke-16.

Bagaimanapun, kedua-dua pendakwah berkenaan yang dikatakan antara orang yang terawal membawa ajaran Islam ke daerah itu, ghaib begitu sahaja selepas ia siap dibina beberapa tahun kemudian.

Imam Masjid Kuala Dulang, Alias Ahmad, 81, berkata masjid itu juga dinamakan berdasarkan kisah misteri yang masih menjadi bualan ramai iaitu ketika pembinaan masjid itu oleh penduduk kampung, muncul dulang makanan untuk dinikmati mereka setiap hari.

"Kisah bermula ketika penduduk berhenti rehat untuk solat Zuhur. Selesai solat, mereka terkejut kerana ada dulang yang penuh dengan makanan, iaitu nasi, lauk seperti ikan dan sayur di luar masjid.

"Setiap hari selepas solat Zuhur, dulang itu muncul bersama makanan sehingga pembinaan masjid siap. Tiada siapa tahu siapa yang meletakkan dulang itu," katanya kepada BH di sini.

Alias yang berasal dari Kampung Peradong dekat sini berkata, jika ada musafir yang datang, mereka juga berpeluang merasai makanan dalam dulang itu yang sentiasa mencukupi untuk semua orang.

"Saya tidak pasti berapa lama kemunculan dulang berisi makanan itu, tetapi tidak lama kemudian dulang tidak lagi muncul tanpa diketahui puncanya," katanya yang mengakui nama kampung itu juga adalah bersempena kisah misteri itu.

Alias yang berkhidmat sejak lebih 30 tahun lalu berkata, masjid itu mempunyai keberkatan tersendiri kerana sehingga sekarang pada setiap malam Jumaat, tidak putus-putus orang yang menghantar makanan seperti pisang dan pulut kuning untuk jemaah masjid.

"Ada yang beritahu, mereka berbuat demikian kerana bersedekah dan ada juga yang bernazar. Mereka bukan sahaja dari negeri ini, malah dari Selangor dan Pahang," katanya.

Alias berkata, masjid lama itu melalui beberapa perubahan tetapi beberapa ciri asal dikekalkan kerana masih elok seperti tiang dan atap mimbar yang diperbuat daripada kayu pokok ijok

"Masjid ini mempunyai sebuah tabuh. Kemunculan tabuh ini juga agak misteri. Kisahnya bermula apabila sebaik masjid ini siap, orang kampung bingung memikirkan cara mahu mengajak penduduk untuk datang ke masjid.

"Pada suatu malam, hujan lebat menyebabkan air dari Sungai Triang di hadapan masjid melimpah.  Keesokan hari, muncul sebatang pokok besar dipercayai dihanyutkan air sungai betul-betul di hadapan masjid. Kayu pokok itulah yang digunakan sebagai tabuh," katanya.

Alias berkata, tabuh itu menggunakan kulit lembu yang sudah beberapa kali ditukar kerana ada pihak yang mengambilnya sedikit demi sedikit sebagai kenangan dan untuk dijadikan sebagai tangkal.

"Saya tidak pasti mengapa mereka buat demikian. Ini cuma kulit lembu yang digunakan sebagai penutup tabuh," katanya.

Alias berkata, walaupun masjid itu terletak dekat sungai, ia langsung tidak terjejas semasa beberapa kejadian banjir biarpun beberapa rumah penduduk berdekatan dinaiki air.

"Masjid ini langsung tidak pernah dilanda banjir, seolah-olah mempunyai pelampung walaupun kawasan berhampiran dipenuhi air," katanya yang berdoa supaya masjid itu terus terpelihara daripada sebarang musibah. 




Gambar ini pula diambil ketika menuruni sebuah bukit kecil lebih dekat ke bandar Kuala Klawang. Cerita dan gambar boleh dilihat dalam artikel Makam di sebelah kuil Cina di (Tombs besides a Chinese temple at) Kuala Klawang.


Selepas jam 11 kami masuk ke bandar.


Barulah bersarapan bersamaan makan tengah hari awal.


Alang-alang sudah berada di sana kami melihat pameran adat di bangunan khas berdekatan. Lihat Muzium Adat (Tradition Museum), Kuala Klawang.


Persinggahan juga dibuat ke masjid lama bandar. Cuma tak tahu berapakah umurnya. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Kuala Klawang.


Dekat jam 12.30 kami bergerak meninggalkan Kuala Klawang menghala ke Hulu Langat. Masuk sebentar ke sebuah kampung dalam 5 km perjalanan untuk melihat rumah tradisional cantik yang katanya milik bekas ahli politik terkenal kelahiran Jelebu, Tan Sri Rais Yatim. Lihat artikel Foray to Kampung Gagu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Persinggahan turut dibuat di suatu tempat untuk bermandi-manda 23 km selepas Kuala Klawang. Anak-anak dah lama 'tuntut' mahu dibawa ke sungai atau sebagainya. Lihat Taking a dip at Jeram Gading.


Letaknya boleh dikatakan separuh jalan ke Hulu Langat. Semakan melalui apps MyElevation juga program Google Earth menunjukkan Jeram Gading dan persekitarannya terletak pada ketinggian antara 700-800 kaki dari paras laut.

Sesungguhnya laluan ini naik menyeberang kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa...


Masuk dari Negeri Sembilan ke negeri Selangor iaitu di sempadan ketinggian jalan menghampiri 1,700 kaki dari paras laut.


Selepas itu jalan berliku menurun. Di simpang yang kelihatan ini ketinggiannya tinggal sekitar 555 kaki dari paras laut. Masuklah kami ke bahagian 'belakang' atau pendalaman daerah Hulu Langat.


Tidak seperti laluan dari Kuala Klawang laluan sekitar Hulu Langat sudah banyak kali kami tempohi. Menariknya sekarang sedang musium durian. Layanlah juga di satu warung selain makan petang.


Perjalanan diteruskan ke pekan Batu 14 Hulu Langat untuk mengambil jalan bukit ke Ampang.


Turun dari bukit berhenti sebentar menikmati pemandangan bandar raya Kuala Lumpur daripada satu bahagian yang tidak dilitupi pokok...


Sampai ke rumah sekitar jam 6 petang meter kereta menunjukkan kami telah berjalan sejauh hampir 490 km secara keseluruhan. Selesailah perjalanan kecil 3 hari 2 malam. Lepaslah 'gerak' dalam penceritaan... 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan