Isnin, Julai 22, 2019

Perjalanan kecil ke Jelai - Membawa ilmu dan amal dalam pengembaraan sebenar

Salam hari Isnin malam Selasa 20 Zulkaedah. Adapun saya dan keluarga baru kembali daripada satu pengembaraan kecil meliputi jarak 490 km dalam tempoh 3 hari 2 malam dan menginap di 2 buah masjid lama bersejarah. Dalam rangka perjalanan ini saya sempat menghadiri satu majlis ilmu malam hari di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam. Biasanya cerita majlis ilmu dijadikan satu artikel tersendiri yang boleh dipautkan dalam artikel cerita perjalanan. Kali ini biar disatukan dengan cerita perjalanan...


Perjalanan secara rasminya bermula apabila kami keluar dari rumah jam 6.30 petang Jumaat 19 Julai 2019. Ini adalah selepas isteri kembali daripada pejabat dan anak-anak habis bersekolah agama petang lalu kami pun bersiap. Kebetulan ada majlis ilmu mahu dihadiri malam itu di ISTAC, 40 km dari rumah. Maka ia pun dimasukkan dalam rangka perjalanan menuju ke selatan...


Asbab utama perjalanan adalah mahu menghadiri majlis perkahwinan anak saudara isteri di Felda Jelai mengampiri sempadan Negeri Sembilan-Johor dekat Gemas tengah hari Ahad 20 Julai. Alang-alang hendak ke sana biar diatur perjalanan pergi balik yang memanfaatkan, banyak perkara boleh dilakukan, banyak tempat menarik boleh disinggah...


Begini lebih kurang laluan perjalanan yang dirancang. Pagi sebelum bertolak saya ada berkongi lakaran laluan di Facebook berserta teks berikut :-


------------


Salam pagi Jumaat 16 Zulkaedah. Petang karang saya dan keluarga akan memulakan satu kembara kecil sambil membawa buku termasuk buku ke-13, KENANGAN KEMBARA HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995. Sesiapa yang berhajat untuk bertemu atau membeli buku boleh memberitahu melalui ruangan komen ini atau WhatsApp 013-308213. Perjalanan dibuat untuk menghadiri majlis perkahwinan anak buah di Felda Jelai mendekati Gemas sana. Oleh kerana saya juga mahu menghadiri majlis ilmu di ISTAC, Bukit Tunku malam ini jam 8.15-10 maka kira sekali keluar terus.

Rancangan boleh diringkaskan seperti berikut :-

1. Rumah (Sungai Buaya, Rawang) ke ISTAC (Bukit Tunku, Kuala Lumpur)

2. ISTAC ke selatan - Bermalam di Masjid Taboh Naning, Melaka dekat makam Dol Said

3. Pagi Sabtu 17 Zulkaedah bergerak ke Felda Jelai melalui Tampin dan Gemencheh

4. Petang bergerak ke Bahau kemudian ke Kampung Jambu Lapan untuk singgah di pertemuan Sungai Muar dengan Sungai Jempol (laluan bersejarah Jalan Penarikan)

5. Bergerak ke Kuala Klawang melalui Batu Kikir - ziarah makam Moyang Salleh 

6. Bermalam di Masjid Kampung Dulang

7. Pagi Ahad 18 Zulkaedah bergerak ke Lembah Klang melalui jalan belakang Hulu Langat dan Ampang sebelum kembali ke rumah.

Boleh maklumkan kalau mahu berjumpa dalam laluan tersebut. Pada yang lebih adventurous mungkin boleh ikut bermalam di Masjid Taboh Naning malam ini dan Masjid Kampung Dulang di Kuala Klawang malam esok. Meh..


Sampai ke Kuala Lumpur tempat pertama dituju adalah rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara. Merujuk pada artikel Majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku Merah Silu yang dipersembahkan Isnin minggu lalu saya ada menghadiahkan senaskah buku KEMBARA EROPAH 1995 kepada beliau tetapi ia tertinggal. Itu yang ke Bukit Damansara untuk menyampaikan buku...


Dari situ kami ke Bangsar untuk makan malam awal. Cadangnya hendak ke warung milik seorang kawan lama yang sudah bertahun tidak disinggahi. Rupa-rupanya warung dah tiada lalu kami makan di bahagian lain Bangsar.


Selepas itu baru ke ISTAC di Bukit Tunku. Kami sampai jam 8.30 malam.


Majlis dijadualkan bermula jam 8.15. Seharusnya tidak banyak yang terlepas.


Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar mahu memulakan satu siri baru syarahan waktu malam. Tajuk utama siri, "The Eternal Message of Islam and Its Civilisation" boleh diterjemahkan sebagai "Pesan  Abadi Islam dan Tamadunnya". Tajuk kecil syarahan pertama "The Idea of Unity (Part 1)" boleh diterjemahkan sebagai : "Idea Kesatuan (Bahagian 1)"


Faham saya sendiri apabila melihat perkataan "Idea of Unity" adalah ia merujuk kepada keTauhidan yang mengandungi faham makna keEsaan. Daripada segi bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka meMelayukan perkataan bahasa Inggeria idea menjadi idea juga. Namun diberikan juga takrifan bahawa idea itu boleh jadi buah fikiran, boleh jadi gagasan bergantung pada konteks penggunaan. Sekali lagi ditekankan, faham saya adalah ia tentang keTauhidan. Ini berdasarkan pemahaman saya sendiri tentang agama dan ilmu Tasawuf juga apa yang boleh difahami tentang pemikiran Osman setelah hampir setahun mengenali juga mengikuti syarahan-syarahan beliau di ISTAC.


Kami-kami yang sudah biasa mengikuti pemikiran beliau sudah faham Osman sedia mengambil pengajaran daripada tamadun-tamadun terdahulu iaitu sebelum muncul Islam yang dikenali ramai 1,400 tahun lalu. Apa lagi saya sendiri secara peribadi sudah lama memiliki pemahaman sebegitu iaitu Islam bukanlah bermula daripada ajaran Nabi Muhammad SAW tetapi sudah wujud sejak turunnya bapa kita Nabi Adam AS ke muka bumi beribu tahun lebih awal. Yang berbeza cuma syariat iaitu cara menerapkan atau mengaplikasikan ajaran-ajaran agama menurut peredaran zaman. 

Hal-hal sebegini yang ada disebut dalam syarahan-syarahan beliaulah yang membuat saya masih selesa berada di ISTAC walau ada kalanya timbul persoalan ke arah manakah institusi pemikiran besar peringkat dunia ini mahu dibawa beliau? Ini kerana di celah-celah keterbukaan dalam menanggapi segala macam sudut pandang ada kerisauan bahawa elemen-eleman liberal yang anti-Melayu dan anti-Islam sedang menunggu peluang untuk memainkan peranan. Lihat kerisauan yang telah diluahkan dalam artikel Majlis 3 dalam 1 pelancaran buku, unit perbandingan agama dan diskusi buku - Penetapan arah baru ISTAC? setengah tahun lalu.


Satu perkara menarik yang sering dan suka dibawa Osman dalam syarahan-syarahan beliau adalah perkembangan pelbagai jenis tamadun dunia zaman berzaman.  Disebutlah bagaimana tamadun Barat sudah membuat kesalahan (error) apabila orang Sepanyol dan Portugis membunuh 30 juta orang Islam (merujuk pada kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia dan sekitar penghujung abad ke-15 Masihi). Kata beliau kajian Islam (Islamic studies) harus dibuka kepada khalayak umum yang lebih luas, bukan sekadar untuk ahli akademik sahaja. Oh, syarahan dibuat dalam bahasa Inggeris seperti kebiasaannya di ISTAC. Saya berusaha untuk menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebaik dan seringkas mungkin.


Satu konsep penting disebut dalam syarahan ini adalah humanness - kualiti atau sifat yang menjadikan seorang itu human ataupun manusia. Biar diterjemahkan ini sebagai 'sifat kemanusiaan' agar berbeza dengan 'kemanusiaan' yang biasa disebut dalam bahasa Inggeris sebagai humanities. Menurut Osman kesemua bentuk tamadun kembali kepada persoalan humanness ini. Tamadun adalah tentang memajukan manusia, maka persoalan apakah itu manusia tidak akan lari daripada apa-apa bentuk tamadun dan gagasannya. Hmm. Ada baiknya dikekalkan perkataan Inggeris humanness dengan tulisan italic

Osman memberikan contoh yang boleh dikatakan paling ringkas dan asas dalam menanggapi kehidupan zaman sekarang - definisi humanness apabila mahu mengugurkan kandungan (dalam perut wanita). Definisi ini penting untuk membezakan apakah suatu janin itu telah mencapai tahap sudah menjadi manusia ataupun tidak. Kalau belum maka pengguguran tidak begitu serius berbanding selepas janin sudah menjadi manusia menurut takrif humanness. Kalau sudah menjadi manusia pengguguran boleh disamakan dengan pembunuhan! Namun ada keadaan-keadaan yang membenarkan waima dalam agama Islam.

Lain tamadun dan lain sudut pandang boleh memberikan takrifan yang berbeza tentang apakah humanness ini. Persoalan tersebut juga penting dalam menanggapi banyak persoalan berlainan, antaranya dengan munculnya teknologi AI - Artificial Intelligence (kepandaian palsu?) yang boleh membawa kepada penciptaan robot-robot bersifat seperti manusia. Daripada segi akademik kita harus bersifat terbuka untuk mengambil kira pelbagai sudut pandang. Bersetuju atau tidak itu hal lain. Sekurang-kurangnya kita harus berdialog dengan banyak pihak.

Syarahan sepatutnya meliputi takrif humanness menurut Islam. Tetapi ini tidak sempat dilakukan kerana pelbagai soal jawab juga pandangan yang dilontarkan hadirin mengambil ruang sehingga jadi agak tidak terkawal arah. Pada saya pula walaupun ke mana perbincangan atau syarahan mahu dibawa perkara asas adalah tetap tentang Tauhid yang tersirat pada tajuk kecil syarahan, "The Idea of Unity" atau "Idea Kesatuan". Sebetulnya hal tersebut ada dinyatakan Osman dalam syarahan ini apabila menyebut Islam tiada masalah 'mengambil' daripada tamadun-tamadun terdahulu kerana wujud prinsip Tauhid dalam tamadun-tamadun tersebut. Ini merujuk kepada ajaran-ajaran Islam sejak zaman Nabi Adam AS yang ada terserap pada tamadun-tamadun itu.


Hal Tauhid yang apabila dikupas lebih mendalam akan membawa kepada makna keEsaan (Allah SWT itu Yang Maha Esa) adalah rahsia segala rahsia yang wujud di sebalik segala macam ilmu dan amal dalaman agama ataupun Tasawuf. Kefahaman akibat ilmu yang disertai amal disebabkan menjiwai hakikat perkara dalam kehidupan inilah yang boleh menerbitkan keberanian luar biasa lantaran kita betul-betul yakin tidak bergerak walau sezarah pun kecuali daripada Allah SWT. Jam 10.40 saya membawa isteri dan anak-anak yang telah bersabar menunggu syarahan selesai meninggalkan ISTAC. Alang-alang dah berada di KL kami berjalan-jalan melihat kemeriahan malam...





Jam 11.40 kami bergerak meninggalkan persekitaran bandar raya...


Oleh kerana laluan ke Felda Jelai menurut Google Map membawa dekat ke masjid Taboh Naning di Melaka kami memilih untuk singgah dan bermalam. Sampai dekat jam 1 malam.


Kalau hendak bermalam lebih selesa boleh sahaja terus ke Felda Jelai dalam 1 jam lagi perjalanan. Tetapi kami memang sengaja mahu beriktikaf anak beranak di masjid bersejarah ini. Ternyata permaidaninya begitu selesa lalu isteri dan anak-anak mudah terlelap. Saya pula membawa diri  untuk bermalam di sebelah satu-satunya tiang seri lama masjid

Sudah saya terapkan kepada mereka bahawa walau bagaimana keadaan, sama ada berduit atau tidak, jadikan kebiasaan boleh dan tidak canggung bermalam di masjid. Bukan sebab tidak mampu menyewa bilik di hotel. Tetapi kerana ini adalah sebahagian daripada amalan berdasarkan ilmu yang boleh dibawa dalam pengembaraan dan kehidupan sebenar. 

Hidup jangan sekadar berangan-berangan cerita gebang-gebang macam boleh bersilat terbang tapi sebenarnya cuma berani di hadapan komputer sahaja seperti berlaku kepada ramai anak muda sekarang. Teori biarlah disertai dengan praktikal. Kalau betul-betul berpegang pada Tauhid insyaallah kita akan lihat dengan mata kepala sendiri pelbagai keajaiban berdasarkan aturan Qada dan Qadar serta Takdir daripada Ilahi. Bukan sebab pandai bersilat, bukan sebab ilmu tinggi tetapi semata-mata disebabkan keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan