Isnin, Februari 18, 2019

Majlis ta'aruf pelajar baru dan lama - Membuka semester baru di ISTAC

OK. Ini daripada siang Isnin minggu lepas. Saya kongsikan untuk melepaskan gerak dan rasa...


Isnin 11 Februari 2019 iaitu tepat seminggu lepas. Bermulalah semester baru di tempat pengajian saya iaitu ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam. Satu majlis ta'aruf atau kenal mengenal pun diadakan. Kali ini para pelajar lama diminta hadir untuk sama-sama berkenalan.


Difahamkan ada sekitar 10 orang pelajar baru telah masuk mendaftar. Ada pula pelajar lama yang dahulu tidak sempat menghabiskan pengajian kembali bersama. Ini disebabkan ISTAC pernah menghadapi masalah sehingga berhenti beroperasi selama beberapa tahun. Ia baru dihidupkan kembali penghujung tahun 2017 atas nama Institut Antrabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu tetapi mengekalkan nama singkatan ISTAC. Baru awal tahun ini dikembalikan nama asal Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.


Setiap pelajar diminta berkongsi tajuk atau tajuk cadangan tesis Master's atau PhD masing-masing. Saya pula boleh terlupa tajuk sehingga harus membuka laptop untuk menyemak kembali. Ini kerana saya telah diminta untuk mengecilkan skop kajian agar lebih menepati kehendak peringkat Master's. Ikutkan tajuk dan skop kajian asal yang dicadangkan iaitu berdasarkan isi yang telah diketengahkan dalam buku ke-11 dan ke-12 saya (terbit awal tahun 2018)  kajian harus meliputi skop luas peringkat PhD. Lihat artikel Ulasan ringkas buku berkembar Nabi Adam dan Orang Melayu serta Benua Tua Melayu dalam akhbar dan perkongsian pembaca awal...

Malah cadangan saya agar tesis dinaiktaraf daripada peringkat Master's ke PhD telah diterima jawatankuasa akademik ketika berlangsung sesi Colloquium hujung tahun lepas. Tetapi penyelia tesis pula bertegas agar saya mengikut langkah-langkah biasa - belum ada Master's buat sahaja Master's dahulu kemudian baru sambung PhD. Skop kajian harus diperkecilkan, lupakan buat masa ini segala macam perkara yang mahu diangkat sehingga memerlukan kajian peringkat PhD itu. Kata penyelia  belajarlah untuk bersabar dan mengikut disiplin biasa. Saya pun akur.

Walaupun sudah dibincangkan bagaimanakah rupa tesis peringkat Master's yang telah diperkecilkan skop itu saya mengaku masih merasa terganggu. Ini kerana aliran pemikiran saya sudah lama menjangkau jauh melepasi peringkat tersebut apalagi saya telah menulis dua buah buku tentang perkara yang hendak diangkat sebagai tesis itu. Untuk majlis ta'aruf saya kongsikan cadangan asal sepertimana telah dibentangkan ketika Colloquium dahulu. Kemudian baru beritahu bahawa saya masih belum mendapat tajuk baru yang sesuai bagi kajian yang sudah disempitkan skop.

Sepatutnya tidaklah begitu susah bagi pelajar berumur yang banyak pengalaman seperti saya untuk menyiapkan tesis Master's dalam tempoh setahun iaitu sebelum tamat semester baru ini. Dengan pengetahuan sedia ada dan kebolehan sebagai penulis tidak perlu untuk saya menunggu tempoh penuh 2 tahun seperti kebiasaan bagi peringkat pengajian itu. Memandangkan saya sudah mengambil 3 kelas wajib pada semester lepas iaitu semester pertama saya lalu mendapat CGPA yang agak ok iaitu 3.67 tumpuan boleh diberikan sepenuhnya kepada kajian dan tesis. Cuma itu le. Nak dapat rentak ni bukanlah perkara mudah bagi orang seperti saya yang biasa melakukan perkara mengikut gerak hati.

Semoga dengan perkongsian dan luahan jujur ini saya akan mendapat rentak yang sesuai untuk memenuhi kehendak penyelia dan menyiapkan tesis. Dengan ini biar dikongsikan sejumlah artikel yang pernah saya buat melibatkan ISTAC...

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan