Selasa, Januari 08, 2019

Islam dan komunitinya di Kampuchea zaman ini - Keadaan sekarang dan cabaran masa hadapan

Keluar lagi daripada cerita pengembaraan di Cambodia (dan Thailand). Tetapi masih sangat berkait dengan Cambodia ataupun Kampuchea ataupun Kemboja...


Semenjak seminggu dua lepas satu majlis ilmu dengan tajuk yang kelihatan telah diwar-warkan mahu diadakan di ISTAC pada pagi Selasa 8 Januari 2019.


Pagi tadi sampailah masanya untuk ia berlangsung. Disebabkan itu saya pun ke ISTAC, kali pertama untuk tahun 2019 yang baru sahaja masuk 8 hari.


Adapun majlis ini asalnya dirancang mahu diadakan pada pagi Khamis 6 Disember 2018 iaitu 3 hari selepas saya dan keluarga kembali daripada perjalanan di Cambodia dan Thailand. Tetapi atas sebab-sebab tertentu ia ditunda kepada satu tarikh yang tidak diberitahu. Baru seminggu dua lepas diwar-warkan tarikh baru.


Majlis bermula dengan Sheikhul Kulliyah ISTAC, Profesor Ulung  Datuk Dr. Osman Bakar memberi sepatah dua kata juga pengenalan terhadap pembentang, Profesor Madya Dr. Mohamad Zain Musa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau adalah warga keturunan Melayu-Champa dari Cambodia yang sudah lama bermastautin di Malaysia.


Sekitar jam 10.15 pagi Mohamad Zain pun memulakan pembentangan. Ia juga keseluruhan majlis dibuat dalam bahasa Inggeris.


Tajuk pembentangan "Islam and It Community in Contemporaray Kampuchea - Present Conditions and Future Challenges' boleh diterjemahkan sebagai "Islam dan Komunitinya di Kampuchea Zaman Ini - Keadaan Sekarang dan Cabaran Masa Hadapan". Ia dibuka dengan sejarah kedatangan orang Melayu Cham ke Cambodia.


Umum tahu bahawa orang Melayu adalah penduduk asal satu kerajaan lama bernama Champa yang meliputi pesisir timur pantai Indo-China menghadap ke Laut Cina Selatan. Namun ia hilang daripada peta dunia akibat ditelan oleh puak Dai Viet yang berasal dari selatan Cina. Serangan berlaku dalam beberapa peringkat dengan tahun 1471 Masihi tercatat sebagai permulaan jatuhnya Champa ke tangan Dai Viet lalu orang Melayu Champa dipaksa bergerak lebih ke selatan. Masuk pertengahan abad ke-19 ia ditelan sepenuhnya untuk membentuk negara moden Vietnam. Orang Melayu Cham terpaksa berhijrah meninggalkan tanah air mereka, ada yang ke Malaysia ada yang ke Cambodia yang terletak lebih berdekatan lalu turut dikenali sebagai orang Khmer Islam.


Penghijrahan ke Cambodia telah bermula sejak kejatuhan pertama Champa tahun 1471. Mereka diterima baik oleh kerajaan Khmer (sebelum bernama Kampuchea mahupun Kemboja). Masuk tahun 1975 berlakulah peristiwa kekejaman oleh Pol Pot yang menyaksikan berjuta penduduk Cambodia termasuk orang Islam dibunuh atau mati akibat kebuluran dan penyakit yang muncul berleluasa zaman itu. Hal ini juga mengubah keadaan sosio-politik masyarakat.


Muhammad Zain memberikan statistik yang diperolehi daripada pihak-pihak tertentu termasuk jabatan mufti. Menarik melihat nombor-nombor yang tertera. Kata beliau 3 juta orang mati disebabkan kekejaman Pol Pot dan ini harus menyebabkan penduduk selepas zaman itu (1975-1979) tinggal kurang 4 juta. Namun ia boleh melonjak naik menjadi 12.1 juta pula pada tahun 2000...


Secara rata masyarakat Cambodia terdiri daripada orang bangsa Khmer yang beragama Buddha. Kalau ada yang beragama Islam itu adalah yang bertukar agama kemudian, bukan daripada keturunan sejak zaman berzaman. Yang memang sudah Islam sejak sekian lama iaitu sejak paling lewat pun abad ke-15 hingga ke-16 adalah orang Melayu dari Champa. Maka itu boleh dikatakan rata-rata orang Islam di Cambodia adalah Melayu Cham. Sedikit sahaja terdapat bangsa lain Islam misalnya orang Pakistan yang datang berniaga.


Komuniti Islam duduk di kampung-kampung yang ketuai seorang Imam. Daerah-daerah yang setiap satunya mengandungi beberapa buah kampung dipimpin oleh Kadi sementara seluruhnya berada di bawah penjagaan seorang Mufti yang dilantik oleh raja...





Seterusnya Muhammad Zain bercakap tentang perkembangan pendidikan dan sekolah untuk orang Islam di Cambodia.





Walaupun sudah berlaku banyak perkembangan sejak lebih 20 tahun kebelakangan hasil bantuan umat Islam dari seluruh dunia terutama dari Malaysia masih banyak perlu dilakukan untuk memajukan orang Melayu Cham atau Khmer Islam di Cambodia.





Mereka sedar pendidikan sangat penting untuk memajukan diri. Tetapi kemiskinan menjadi halangan untuk bergerak ke hadapan.


Banyak perkara sedang dirancang untuk memajukan komuniti Islam di Cambodia.








Walaupun kepimpinan Cambodia di bawah Perdana Menteri Hun Sen kelihatan sangat menyokong umat Islam namun ada cabaran-cabaran lain menghalang kemajuan. Hal ini dibincangkan panjang lebar dalam sesi soal jawab di mana sejumlah hadirin memang biasa ke sana untuk membuat sumbangan mendirikan masjid juga sekolah. Kelihatan cabaran utama adalah daripada para pemimpin tempatan Islam sendiri seperti yang seperti takut status quo mereka terganggu oleh orang luar.

Terbetik dalam fikiran. Agaknya mereka lebih suka orang Melayu Cham tidak berpendidikan lalu tidak dapat maju ke hadapan. Mereka lebih suka komuniti Islam terus menerima zakat juga sumbangan lembu korban daripada luar, tidak mahu orang sendiri menjadi mampu membayar zakat juga membeli lembu untuk korban. Terasa ada segelintir yang memiliki kepentingan di belakang tabir. Biar orang Islam seperti dari Malaysia terus menghantar wang untuk membeli lembu-lembu yang diternak oleh segelintir itu. Kemudian agih-agihkanlahh daging korban Raya Haji. Biar terus menerus begitu. Nampaknya le...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan