Khamis, Disember 13, 2018

Gagasan baru ISTAC - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan

OK. Ini ada satu perkongsian yang fresh ataupun segar kerana saya baru tengah malam tadi kembali daripada lokasi acara.



Adapun sehari selepas kembali daripada perjalanan pusing Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember saya menerima poster yang kelihatan dalam grup Whatsapp pelajar ISTAC. Ia mengenai syarahan perdana yang akan dibuat oleh Sheikhul Kuliyyah kami atau mahaguru fakulti, Profesor Ulung (Distinguished Professor) Datuk Dr Osman Bakar pada hari Rabu 12 Disember 2018 waktu malam. Pelajar diwajibkan hadir dalam majlis yang akan dipengerusikan Menteri Pendidikan kini Dr Maszlee Malik yang juga pemegang jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur.




Syarahan perdana dibuat atas perlantikan beliau sebagai pemegang kedua Kerusi Al-Ghazzali. Pemegang pertama adalah pengasas ISTAC, Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib al-Attas. Kebetulan hari tersebut iaitu pada petang tadi saya ada kelas bersama Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Saya pun bergerak ke ISTAC jam 5 petang.


Osman memiliki reputasi besar sebagai seorang cendekiawan Islam bertaraf dunia. Beliau tersenarai antara 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia. Sejak saya sampai sudah ada yang berkumpul untuk mengikuti syarahan beliau.


Namun saya sendiri masuk ke dewan syarahan jam 9 malam. Ketika itu kata-kata aluan dan pengenalan oleh Maszlee sudah selesai dan Osman memulakan syarahan.


Beliau memulakan dengan mengalu-alukan hadirin yang datang terutama para cendekiawan dari luar negara yang sudah lama mengenali. Terdapat duta-duta luar negara dan/atau wakil turut menghadiri. Ada orang seperti Ziauddin Sardar, seorang cendekiawan besar Islam asal Pakistan yang kini berpengkalan di London, ada Dato' Dr Afifi al-Akiti, anak muda Melayu mengajar di University of Oxford, United Kingdom yang juga adalah penasihat agama Sultan Perak. Kelihatan beberapa orang tokoh korporat dan bekas menteri. Oh, majlis dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Lebih mudah bagi saya menceritakan kembali dan mengulas menggunakan bahasa tersebut. Tetapi biar diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk kemudahan awam dan atas semangat memartabatkan bahasa kebangsaan.


Osman kemudian berkongsi latar belakang pengajian beliau, bagaimana daripada seorang graduan sarjana muda (1967-1970) dan sarjana (1970-1971) matematik di University of London beliau beralih kepada bidang perbandingan agama (comparative religion) lalu membuat sarjana (1981-1983) dan PhD (pengkhususan dalam falsafah sains dan teologi iaitu bidang keagamaan 1983-1987) di Temple University, Amerika Syarikat.  Dikongsikan perhubungan dan keakraban beliau dengan Syed Naquib yang tidak ramai orang tahu. Untuk pengetahuan sejak Naquib 'putus hubungan' dengan ISTAC tahun 2002 akibat hal tertentu ia sering dikecam oleh mereka yang mengaku anak-anak murid sejati al-Attas serta para pelajar 'ISTAC asal' sebagai sudah lari dari landasan. Kelihatan Osman mahu memberitahu bahawa beliau tidak asing dengan dunia pemikiran dan gagasan al-Attas. Malah beliau mahu memajukan lagi gagasan dunia pemikiran Islam yang dibawa pengasas ISTAC itu sambil membawa formula sendiri untuk mengangkat kembali reputasi institusi yang masih dianggap tinggi dalam dunia Islam untuk sekurang-kurangnya menjadi sepertimana ia pernah dikenali ketika masih di bawah kelolaan Naquib..

Menariknya latar belakang yang diceritakan ada persamaan dengan perjalanan saya sendiri kerana turut belajar dalam bidang matematik di London walau setakat sarjana muda 1991-1995. Adapun pada tahun beliau mula menyambung sarjana saya baru lahir iaitu pada tahun 1970. Perjalanan hidup Osman lebih teratur apabila membuat sarjana dan PhD dalam bidang berlainan sementara saya menghadapi krisis besar pegangan hidup berupa pertentangan kepercayaan terhadap sains lawan keyakinan baru bersifat sufistik (tasawuf) yang timbul akibat beberapa pengalaman bersifat kebatinan di London. Akibat itu saya menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times 1996-2001 sebelum krisis baru membawa saya sering keluar berkelana seorang diri sehingga selalu tidur di masjid-masjid dan makam.

Hmm... masih ada kebetulan persamaan sebetulnya dengan Osman apabila bercakap tentang tempoh waktu tersebut. Jika beliau menjadi akrab dengan Syed Naquib sehingga menyebutnya sebagai sparring partner dalam dunia pemikiran saya pula menjadi akrab dengan penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas. Ada faktor sama al-Attas. Memang mereka bersaudara pun...



Osman menegaskan pelantikan beliau sebagai pemegang kedua Kerusi Al-Ghazali bukan sekadar sebagai successor atau pengganti Syed Naquib (Osman menyertai ISTAC bermula September lalu iaitu tempoh masa saya sendiri memulakan pengajian di sana). Beliau mahu membawa gagasan baru dalam memajukan ISTAC. Beliau pun menerangkan tentang kepentingan adanya Kerusi Al-Ghazali, kenapa perlu ada syarahan perdana atau inaugurul speech sebagai tanda menerima kerusi. Diceritakan tentang sejarah berkenaan yang berlaku dalam dunia Islam seperti perlantikan Imam Al-Ghazali (hidup 1058- 1111 Masihi) sebagai pemegang Kerusi As-Shafie (Imam Shafie) di Universiti Nizamiyah, Baghdad.

Oh. Osman yang lahir di Maran, Pahang tahun 1946 ada menyatakan mahu pencen daripada memegang apa-apa jawatan dalam apa-apa bidang setelah selesai kontrak mengajar di universiti terakhir beliau sebelum ini iaitu di Brunei kurang setahun lalu. Kata beliau sudah penat jadi nomad mengajar berpindah randah ke banyak tempat. Namun beliau akur itulah hakikat sebenar seorang sarjana sejati lalu menyebut al-Farabi (872- 950M) sebagai contoh seorang sarjana Islam yang asyik bertukar tempat menimba ilmu sebelum mengajar pula di beberapa tempat. Tetapi beliau dipujuk untuk menyertai ISTAC. Pada awalnya Osman cuba menolak menggunakan alasan kesihatan dan umur yang meningkat. Tetapi alasan ini tidak lagi boleh dipakai apabila Tun Mahathir yang sudah berumur 93 tahun pun boleh menggalas kembali tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Kerusi Al-Ghazali pertama kali dilancarkan pada 14 Disember 1993. Ketika itulah pemegang pertama Syed Naquib mula memegangnya walaupun ISTAC sendiri sudah diasaskan beliau enam tahun lebih awal iaitu pada 29 September 1987. Beliau memegang selama sembilan tahun iaitu sehingga 2002. Terjadilah kekosongan selama lebih 15 tahun sehingga Osman dilantik sebagai pemegang kedua...



Selepas itu baru beliau mengupas beberapa perkara tentang ilmu. Maka masuklah pada tajuk sebenar syarahan seperti diwar-warkan pada poster iaitu "Advancing Comparative Epistemology and Civilisational and Future Studies - The Global Role of the New ISTAC-IIUM". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Memajukan Perbandingan Epistemologi, Ketamadunan dan Pengajian Masa Hadapan - Peranan Global ISTAC-IIUM baru". IIUM adalah singkatan bagi International Islamic University of Malaysia, dalam bahasa Melayu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIAM. Untuk pengetahuan ISTAC yang dahulu merupakan singkatan bagi International Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan) adalah di bawah kelolaan UIAM. Ia kini membawa makna International Institute of Islamic Civilisation and Malay World iaitu Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu.

Sekali baca tajuk boleh terkeliru juga apakah yang ingin dibawa Osman. Bila diberikan penerangan  panjang lebar dalam syarahan barulah jelas. Sebenarnya beliau mahu mengenengahkan tiga gagasan utama dalam menentukan hala tuju ISTAC. Ia adalah dalam kajian epistemologi iaitu teori asal usul ilmu, kajian ketamadunan merujuk kepada bermacam-macam tamadun misalnya tamadun Hindi dan tamadun Cina kemudian pengajian masa hadapan (future studies) iaitu hala tuju akan datang dalam suatu bidang misalnya perkembangan ketamadunan itu sendiri.


Untuk epistemologi beliau memberikan penakrifan yang dikira lebih jelas dan mudah berdasarkan asal-usul perkataan tersebut daripada bahasa asalnya Greek. Osman menakrifkannya sebagai vision of knowledge iaitu apa pandangan kita terhadap suatu ilmu. Misalnya orang yang tidak percayakan Tuhan akan melihat suatu ilmu daripada sudut berbeza berbanding mereka yang percayakan Tuhan. Secara rata beliau menggagaskan agar selalu dibuat perbandingan dalam bidang epistemologi misalnya membandingkan bagaimana orang Barat melihat ilmu berbanding cara orang Islam melihat ilmu. Dibuat juga perbandingan dalam bidang ketamadunan juga kajian masa hadapan. Majukan setiap perbandingan ini maka jadilah seperti tajuk - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan. Barulah suatu kajian boleh menjadi betul-betul berguna lalu dapat dimanfaatkan untuk memajukan ummah.

Osman memberi contoh apabila masuk ke ISTAC didapati ada tiga orang pelajar mahu mengkaji tentang keris. Tidak salah untuk mengkaji keris tetapi biarlah untuk perkara yang lebih besar. Bukan dikaji kenapa yang itu pendek yang itu panjang, apa beza keris Pahang dengan keris Johor. Sebaliknya luaskan skop. Misalnya kaji perbezaan keris dan fungsinya dalam masyarakat Melayu dan bandingkan dengan pedang katana dan fungsinya dalam masyarakat Jepun. Barulah ia menjadi kajian besar yang dapat merangkumkan pelbagai jenis ketamadunan.


Syarahan beliau tamat hampir tepat pada masa yang dijadualkan iaitu jam 10.30 malam. Selepas itu hadirin terutama para VVIP dan VIP dibawa melihat pameran di ruang legar kemudian makan. Oh, apabila diteliti kembali atur cara jam 10.30 itu sebenarnya merujuk kepada tamatnya keseluruhan program lalu menteri meninggalkan ISTAC. Syarahan sepatutnya tamat jam 10. Tetapi ketika gambar atas ini diambil jam 10.37 para dif kehormat masih lagi melihat pameran.


Pameran menunjukkan buku-buku yang pernah ditulis oleh Osman juga buku-buku tulisan orang lain yang disunting beliau. Turut ditunjukkan bab-bab tertentu tulisan beliau dalam sejumlah buku lain dan jurnal. Untuk pengetahuan Osman telah menulis 23 buah buku, menyunting 13 buah buku dan menghasilkan bab-bab terpilih untuk 48 buah buku. Jurnal beliau berjumlah 39 buah. Ada pula penulisan yang masuk dalam 10 tajuk ensaiklopedia. Secara rata beliau menulis dalam bahasa Inggeris namun penulisan-penulisannya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa utama. Semoga Osman berbesar hati untuk menjadi penyelia bagi penulisan tesis saya di ISTAC.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan