Isnin, Februari 19, 2018

Sembang santai sejarah di Muar dan parking buku di Melaka

Salam semua. Merujuk kepada artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Merenung hal Melayu lagi sambil pusing pulau Phuket sebelum berkejar ke Krabi yang dipersembahkan jam 3.30 petang Khamis lalu. Adapun sebaik sahaja selesai menyajikan artikel saya dan keluarga terus berkejar ke rumah seorang ibu saudara di Ampang. Ibu saudara tersebut baru sahaja meninggal dunia sekitar waktu Zohor setelah beberapa lama menahan sakit akibat kanser teruk merebak memakan organ dalaman sejak dua tiga minggu itu. Sebetulnya dalam tempoh sekitar waktu itu saya dalam keadaan serba salah antara kegembiraan buku-buku terbaru merangkap buku ke-11 dan ke-12 saya, "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" juga "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" mahu keluar dengan kesedihan mendapat tahu ibu saudara tersebut tiada harapan lagi untuk hidup sejak lebih seminggu lalu. 

Untuk makluman saya pernah menumpang berteduh di rumah beliau tahun 2005 hingga 2008. Dari rumah di Ampang itulah saya dapat menyiapkan penulisan seterusnya menerbitkan buku-buku terawal saya iaitu siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" Jun 2006 - Disember 2007. Apapun beliau telah selamat disemadikan di tanah perkuburan di sekitar  Ampang lewat petang itu. Selesai ini kembalilah yang masih hidup kepada urusan masing-masing lalu saya dan isteri meneruskan rancangan membawa anak-anak kembali ke kampung saya di Muar petang Jumaat sempena cuti hari Cina. Ini ada cerita daripada sekitar waktu itu.



Pagi Sabtu 17 Februari 2017, kami membawa anak-anak makan nasi beringin di sekitar stesyen bas lama Muar. Hari itu anak bongsu kami, Muhammad Alauddin Johan genap umur 6 tahun. 


Selepas itu kami berjalan kaki melihat kedai-kedai berdekatan. Sampai satu kedai terlihat buku-buku saya bersama Hijjaz Records Publishing (HRP) terpampang cantik pada kaca hadapan kedai.


Kelihatan juga buku ke-3 saya bersama Hijjaz merangkap buku ke-10 saya secara keseluruhan. Buku ini keluar Disember 2017. Tetapi sampai kini saya masih belum memiliki senaskah. Sebabnya ada dinyatakan dalam artikel Tentang backlog penulisan dan usaha buku baru... sebulan setengah lalu.


Kedai buku tersebut terletak setentang dengan bangunan majlis perbandaran Muar. Kami tidak berjalan jauh kerana cuaca agak panas hari itu.


Malamnya kami pergi ke satu majlis kecil di Parit Keroma.


Ada majlis sembang santai bersama Persatuan Sejarah Malaysia kawasan Muar...








Saya telah diminta berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan tentang kajian sejarah.





Acara dirancang secara spontan beberapa hari lalu mengambil kesempatan saya ada di Muar untuk bercuti hujung minggu.


Ia tercetus setelah saya menghubungi setiausaha persatuan mahu menyerahkan buku-buku terbaru saya by hand apabila kembali ke kampung. Beliau adalah antara penempah awal yang sudah membuat bayaran sebelum buku keluar petang Khamis 8 Februari lalu. Rujuk artikel Buku berkembar Adam Melayu dan Benua Tua mula menemui pembaca - Nostalgia perasaan yang timbul sekitar urusan berkenaan. Bayaran dibuat berserta kos pos. Tetapi saya membuat keputusan mahu menyampaikan terus apabila didapati ada kelapangan untuk kembali bercuti ke Muar...



Esoknya siang Ahad 18 Februari saya membawa keluarga berjalan-jalan ke taman rekreasi Tanjung Emas. Timbul rasa hendak menaiki bot melihat persekitaran Sungai Muar.


Kali terakhir saya menaiki bot pelancongan ini adalah lebih 10 tahun lalu. Itupun secara  berseorangan, kali ini baru bersama keluarga. Yang nyata anak-anak sudah lama mahu menaikinya kerana sering terlihat bot belayar dari tempat kami biasa makan nasi beringin di tepian Sungai Muar. Lihat artikel Muar river cruise after 10 years di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ini pula di Rumah Hang Lekiu di Perkampungan Hang Tuah atau Hang Tuah Centre di Kampung Duyong, Melaka. Saya menunjukkan kepada anak-anak cara meletakkan panah pada busur. Lihat artikel Rumah (House of) Hang Lekiu  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kami sekeluarga singgah dalam perjalanan hendak kembali ke Rawang, Selangor.  Seorang kawan telah diberikan hak menggunakan Rumah Hang Lekiu untuk mengadakan pameran, jualan juga aktiviti-aktiviti berkaitan Melayu seperti memanah tradisional dan silat. Kawan tersebut merupakan antara pembeli awal yang telah membuat bayaran untuk buku-buku terbaru.


Perjalanan bercuti ke Muar digunakan untuk menyerahkan buku kepada beliau. Alang-alang sudah begitu diletakkan juga sejumlah set buku tersebut juga beberapa buku lama saya di tempat itu. Dengan ini biar diberitahu. Buku-buku saya terutama "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" berserta "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" boleh didapati di Rumah Hang Lekiu, Perkampungan Hang Tuah, Sungai Duyong, Melaka. Sesiapa yang berminat bolehlah mendapatkannya. Anda boleh datang untuk bersilat, boleh memanah sekali. Insyaallah di masa hadapan saya akan terlibat dengan program perkongsian ilmu di sana...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan