Isnin, Januari 29, 2018

Anjung Tradisi 2018 di Sarang Art Hub - Mengomel sikit tentang keMelayuanlah pulak...

Salam semua. Berkongsi cerita aktiviti hujung minggu baru ini.


Beberapa minggu kebelakangan berkumandanglah di Facebook promosi untuk acara yang kelihatan...


Dipanggil Anjung Tradisi 2018 ia adalah edisi kedua acara yang mula diperkenalkan di pusat seni, makan minum dan hiburan Sarang Art Hub milik sutradara filem terkenal saudara Mamat Khalid di Tanjung Malim, Perak. Rujuk artikel lama Malam Anjung Tradisi di Sarang Art Hub - Satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana.


Seperti biasa pelbagai aktiviti diadakan pagi hingga ke malam. Pada waktu yang sama ada pertandingan memanah antarabangsa sedang berlangsung dekat Seri Menanti, Negeri Sembilan. Ada sekali majlis hol, maulud dan zikir besar di masjid negeri Selangor, Shah Alam.


Saya pula disibukkan dengan hal lain terutama penulisan artikel-artikel di blogspot. Dekat nak Maghrib baru siap seperti dinyatakan pada penghujung artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Chaiya/Cahaya/Jaya/Grahi :Tempat permulaan Empayar Srivijaya 1,400 tahun lalu?.


Disebabkan itu selepas jam 8.30 malam baru saya dan isteri sampai ke Sarang.





Itupun kalau ikut rancangan asal saya harus berada di Menara Petronas, tengah bandar raya Kuala Lumpur pagi hingga lewat petang untuk satu majlis ilmu melibatkan manuskrip Melayu.


Tetapi saya membatalkan penyertaan apabila mendapati tidak boleh memakai busana tradisional Melayu penuh ke sana. Setakat tanjak, sampin, baju Melayu takda hal. Saya dilarang membawa sebarang jenis senjata.


Bila dah tak boleh bawa keris dan sebagainya dah tak terasa lengkap. Namun saya masih boleh menerima larangan tersebut kerana memikirkan protokol keselamatan ketat dalam bangunan Menara Petronas.


Tetapi apabila diminta memakai kasut tertutup bermakna tak boleh pakai capal saya terus potong stim (kata orang rock). Buat apa bersusah payah berkejar 50 km ke selatan dari rumah untuk menghadiri satu majlis yang mahu bercakap tentang Melayu tetapi nampaknya tidak mengenal hati budi jiwa Melayu yang sebenar? Kemudian dari situ kena balik rumah untuk bersiap sebelum bergerak sekitar 30 km ke utara pula untuk ke Sarang Art Hub?


Lebih baik siapkan dahulu penulisan hari ke-5 perjalanan saya dan keluarga ke Thailand 12-23 Disember 2017. Itu yang jadi 3 artikel di blogspot  BERPETUALANG KE ACEH dan 10 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sebelum muncul artikel keseluruhan Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Chaiya/Cahaya/Jaya/Grahi :Tempat permulaan Empayar Srivijaya 1,400 tahun lalu?. Selesai semua itu barulah lapang hendak ke Anjung Tradisi 2018.


Di sini lagi seronok dan bebas berjumpa kawan-kawan para aktivis busana dan persilatan...





Semua orang boleh malah digalakkan datang berkeris atau membawa apa-apa senjata tradisi tersisip pada pinggang.





Walau rata-rata kami boleh bersilat cuma antara aktif dengan tidak sahaja, senjata-senjata tradisi itu bukan dipandang sebagai senjata sahaja tetapi simbol diri seorang anak laki-laki Melayu yang bermaruah dan bebas.








Jangankan bercakap tentang orang Melayu, setahu saya Nabi Muhammad SAW sendiri menyuruh setiap orang lelaki Islam dewasa membawa senjata ke mana-mana.





Walaupun undang-undang moden sekarang melarang ini dipraktikkan, masih ada ruang untuk membawa dan memakai senjata dalam konteks berpakaian tradisi terutama pada majlis-majlis yang melibatkan keMelayuan.








Sesungguhnya kami suka berbusana tradisional Melayu bukan disebabkan jiwa kami kolot atau kekampungan. Dalam kalangan kami terdapat ramai juga orang yang terpelajar juga daripada keluarga berada yang biasa bergelumang dengan segala macam simbol-simbol kemodenan yang seringkali penuh keBaratan. Tetapi kami memilih untuk berpakaian begini setiap kali ada peluang. Ia adalah manifestasi cinta kami terhadap agama, bangsa dan negara...





OK. Saya tidak bercerita banyak tentang majlis di Sarang itu sendiri kerana dah terkeluar mood mengomel tentang keMelayuan. Rasa-rasanya cukuplah gambar-gambar untuk bercerita. Adapun selepas majlis kami layan live music. Seronoknya di Sarang ni ramai kaki suka layan lagu-lagu klasik rock baik lagu Melayu mahupun Omputih tahun 70an hingga 80an.


Sesungguhnya ramai pesilat adalah kaki muzik rock atau Mat Rock. Ini adalah hakikat kehidupan yang sudah saya perhatikan sejak sekian lama. Saya lihat di dunia Barat terutama di London di mana saya pernah menetap untuk belajar 1991-1995 hal ini juga adalah benar. Bukanlah bermaksud Mat Saleh kaki rock kat sana itu semuanya pesilat. Tapi ciri-ciri sukakan keperwiraan, berlawan dan berperang itu ada nampak. Seolah-olah kalau zaman dahulu mereka inilah orang Viking dan sebagainya suka berperang, zaman sekarang manisfestasi diri sama tetapi dalam keadaan berbeza menjadikan mereka peminat muzik rock pelbagai aliran. 

Apa pun ini tidak  bermakna mereka suka cari gaduh. Pesilat alias Mat Rock Melayu misalnya rata-rata adalah orang yang sukakan keamanan. Selain lagu rock berdegang pecah kepala pecah speaker kami memang layan lagu-lagu cintan slow rock. Asalkan orang tak cari pasal kami tetap aman. Keris yang disisip pada pinggang bukan senang-senang hendak dihunuskan. Ia lebih pada pelengkap pakaian jati diri mereka yang betul-betul sayangkan keMelayuan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan