Isnin, November 13, 2017

Himpunan Ilmuwan Warisan dan Peradaban Melayu - Tentang warisan peradaban tinggi dan sains

Salam 24 Safar. Sampai masanya untuk mula berkongsi cerita-cerita tentang satu majlis ilmu yang hebat...


Sekitar 2 minggu lalu saya mendapat tahu tentang satu majlis ilmu mahu diadakan di Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya.


Mula-mula saya tidak peduli kerana tiada mood untuk mengambil tahu mahupun ke mana-mana dalam jangka masa tersebut...


Kemudian timbul rasa untuk melihat atur cara. Apabila terlihat senarai pembentang kertas kerja terus terasa wajib pergi. Manakan tidak. Ada lebih 30 tajuk-tajuk hebat, semuanya dibentang oleh cendekiawan bergelar profesor. Masuk pun percuma...


Asalnya saya bercadang untuk hadir pada hari kedua majlis sepanjang 2 hari itu sahaja. Pada hari itulah paling banyak kertas kerja. Nak ke sana pun lebih 80 km perjalanan dari rumah saya. Tetapi apabila melihat tajuk dan senarai pembentang hari pertama terasa harus pergi juga. Sampai masanya pagi Rabu 8 November 2017 saya pun bergegas ke UIM. 


Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di menara gading tersebut. Sebelum ini tidak pernah dengar ia mengadakan wacana ilmu apatah lagi yang sebesar ini. Jadual yang dilihat dahulu menyatakan majlis bermula dengan pembukaan ucap utama oleh dua orang VVIP jam 9 hingga ke 11. Saya yang sudah sampai ke Cyberjaya jam 9.30 mengambil masa melepak di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah yang terletak berdekatan kerana tidak mahu menyertai pembukaan. Saya cuma mahu mengikuti sesi pembentangan ilmu yang bermula selepas itu. Tengok-tengok ketika saya sampai ke universiti jam 10.52 seorang VVIP pun baru sampai sama.


Nampaknya pembukaan telah dilewatkan ke sekitar jam 11. Nampaknya saya harus mengikutinya juga...


Naik ke tingkat 7 di mana majlis diadakan saya melihat-lihat dahulu keadaan di ruang legar.








Masuk ke dewan majlis jam 11.04 pembukaan baru sahaja bermula...





Saya melihat atur cara rasmi yang diberikan hari itu. Kelihatan ada perubahan berbanding atur cara sebelum itu. Majlis pembukaan yang asalnya dijadualkan berlangsung jam 9-11 dialih ke jam 11-12.30. Sesi pembentangan ilmu pertama yang merupakan perkongsian kertas-kertas kerja dasar yang asalnya mahu diadakan sekitar waktu tengah hari pula didahulukan ke pagi. Berdasarkan atur cara baru saya telah terlepas pembentangan-pembentangan berikut :-

1. Gagasan Memartabatkan Warisan dan Peradaban Melayu - Tan Sri Prof. Dr Abdul Latiff Abu Bakar, Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya

2. Gugusan Ilmu dalam Peradaban Melayu - Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Majlis Profesor Negara 

3. Peradaban Melayu Islam sebagai Teras Peradaban Malaysia - Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa

4. Warisan dan Peradaban Melayu Serumpun dalam Konteks Geo-Budaya dan Warisan Indonesia - Prof Dr Mastika Des, Universiti Negeri Padang, Sumatera, Indonesia

5. Bahasa Melayu sebagai Teras Peradaban Malaysia, Prof Dato' Dr Teo Kok Seong, Majlis Profesor Negara



Terdapat juga perubahan pada majlis pembukaan/perasmian. Ucapan aluan dibuat oleh Prof Abdul Latif yang memegang jawatan Ketua Sekolah Warisan dan Peradaban UIM menggantikan presiden UIM Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor. Beliau memperkenalkan tujuan dan matlamat majlis. Ini diikuti ucapan perasmian oleh Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Majlis Profesor Negara. Tapi saya tak ambil gambar kedua-dua mereka. Bila VVIP Tan Sri Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim, penasihat sosio-budaya kerajaan Malaysia dan pengerusi Yayasan Malaysia naik ke pentas baru saya mengambil gambar. Ini kerana beliau membuat ucap utama bertajuk "Menjejaki Warisan Aras Tinggi Dalam Peradaban Melayu".


Ucap utama beliau merupakan syarahan ilmu yang disokong persembahan slaid berwarna-warni. Ia dimulakan dengan bercerita apa itu Alam Melayu/Nusantara, bagaimanakah jangkauan geografi dan sosio-politiknya.


Disebut tentang cendekiawan China I-Tsing yang singgah di Sumatera belajar Bahasa Melayu dan agama Buddha selama beberapa bulan sebelum menuju ke India. Dalam perjalanan kembali beliau singgah lagi. Kata Rais, I-Tsing bertanggungjawab memperkenalkan Melayu kepada dunia...


Disebut pula tentang usaha-usaha yang dilakukan/patut dilakukan untuk memartabatkan Bahasa Melayu...





Bagaimana pada zaman moden ini ia pernah menerima nasib malang akibat polisi-polisi tertentu yang akhirnya meminggirkan Bahasa Melayu.


Sedangkan bahasa ibunda amat penting untuk mengangkat tamadun dan peradaban ke mata dunia.


Dalam mahu mengangkat tamadun Melayu harus diambil kira beberapa perkara penting selain bahasa. Pertama adalah budi. Dalam menghuraikan ini saya lihat Rais yang merupakan orang lama dalam dunia politik negara, pernah memegang beberapa portfolio menteri daripada tahun 1974 hingga 2013 termasuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti menyindir secara halus pihak tertentu. Disebut bahawa tidak berbudi mereka yang melupakan sumbangan orang terdahulu. Dinyatakan bahawa asas Wawasan 2020 (oleh perdana menteri ke-4 Tun Dr Mahathir), Islam Hadhari (oleh perdana menteri ke-5 Tun Abdullah Badawi) dan TN (Transformasi Nasional) 50 (oleh perdana menteri ke-6 dan sekarang Dato' Seri Najib Tun Razak) adalah sama. Tetapi apabila bertukar sahaja menteri maka bertukar juga polisi. 


Disebut seterusnya tentang silat Melayu juga aspek-aspek seni yang juga merupakan komponen-kompenen penting tamadun Melayu...




Lalu kenapa banyak berubah zaman sekarang ini? Maka disebut faktor-faktor yang kelihatan...


Diberi contoh bagaimana keadaan zaman menyebabkan kita lebih mengenali dan mengkagumi tokoh-tokoh ilmuwan Barat.


Sedangkan tokoh-tokoh Barat sebenarnya mendapat banyak faedah daripada kajian, penemuan dan pemikiran tokoh-tokoh Islam dahulukala.


Ucap tama Rais disusuli perkongsian ilmu oleh Profesor Shamsul Amri. Melihat pada tajuk baru saya tersedar ia sebenarnya adalah salah satu kertas dasar yang dijadualkan mahu dipersembahkan waktu pagi. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya saya tidak terlepas yang ini.


Amri membuka dengan menceritakan bagaimana bidang-bidang ilmu diklasifikasikan atau diberi aturan berdasarkan perkembangan sejarah untuk memudahkan pengajian dan pemahaman. Katanya secara rata ilmu bermula sebagai kajian kemanusiaan yang terbahagi kepada tiga bahagian. Daripada situ timbul ilmu sains seterusnya sains sosial.








Dengan memahami perkembangan atau evolusi ilmu dengan baik barulah kita boleh meneliti aspek-aspek peradaban Melayu dengan lebih mendalam dan teratur...


Pemahaman tentang semua ini boleh dijadikan dasar dalam meneruskan wacana besar ilmu yang bermula hari itu. Difahamkan 60 orang profesor terlibat menyumbangkan kertas kerja, bukan lebih 30 seperti yang saya ketahui sebelum itu berdasarkan maklumat dan atur cara awal...


1 ulasan:

  1. Tkasih MerahSilu ..

    Datuk Rais pun masa jadi menteri pun tak tak buek apo2 .. semuo main angguk ajo .. dah takdo kuaso mulo lah mengoluh .. payah la ..
    Ha ha ha

    BalasPadam