Isnin, November 06, 2017

Biduanita Saloma - Ikon, Perintis & Fashionista Tanah Air

Salam 17 Safar. Selepas 5 hari mempersembahkan artikel ke-1,616 di blogspot ini iaitu Menjejak kembali sejarah sebenar keberadaan awal Melayu di Kuala Lumpur - Sampai masanya segala penemuan terkini diwacanakan, diambil tahu dan diguna pakai... baru boleh bergerak ataupun move on...


Tepat seminggu lepas isteri menunjukkan poster atas lalu memberitahu pihak Muzium Negara telah mengundang kami menghadiri majlis. Apabila boss di pejabatnya mendapat tahu ia adalah undangan muzium terus isteri diberikan cuti tanpa rekod. Isteri pun mengajak saya pergi bersama.


Sampai waktunya pagi Selasa 31 Oktober 2017 kami pun bergegas ke muzium. Sudah setengah tahun juga tidak menjejakkan kaki ke sana. Kali terakhir adalah untuk meraikan majlis persilatan bersama kawan-kawan seperjuangan. Lihat artikel lama Festival Dunia Seni Silat Melayu ke-8 di Muzium Negara - Salam sayu dari pengasas HIKMAH di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Majlis yang merupakan sebahagian daripada siri Bicara Muzium diadakan di auditorium. Kali terakhir saya menjejakkan kaki ke bahagian tersebut adalah ketika melaksanakan satu majlis ilmu anjuran sendiri penghujung tahun lepas . Lihat Sekitar acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara.


Kali ini saya ke satu majlis yang boleh dikatakan tidak melibatkan apa-apa bidang yang diminati.  Kalau isteri tu adalah juga minat sebab ini hal orang perempuan.





Ia adalah tentang biduanita Saloma sebagai ikon, perintis dan fashionista tanah air. Saya datang lebih pada menemani isteri selain menjaga hubungan baik yang telah dimetrai sekian lama dengan Jabatan Muzium Malaysia (JMM). Alang-alang dah datang biar mendapat manfaat daripada apa yang diperkatakan. Kami sampai ketika timbalan ketua pengarah JMM,  En. Mohamad Shawali bin Hj. Badi sedang menyampaikan ucapan bagi pihak ketua pengarah, Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim.


Beliau seterusnya merasmikan majlis. Turut bersama adalah ketua pengarah Arkib Negara atau wakil.





Selesai perasmian para panelis mengambil tempat Mereka ialah :-

1. Datin Paduka Juariah binti Radin Sudiro @ Julie Sudiro, seorang penyanyi terkenal sezaman dengan Saloma tahun 60an dan 70an.

2. Encik Mohd Noor bin Mohd Yusofe @ Cikgu Yusnor Ef, seorang guru yang turut menjadi pemuzik bersama seniman agung tanah air, arwah P. Ramlee, suami kepada Saloma.

3. Puan Siti Haslinda binti Abdul Hamid @ Shasha, seorang model/peragawati yang merupakan anak kepada arwah pelakon Mariani, kakak kepada Saloma.

4. Encik Salikin bin Sidek, pereka fesyen terkenal tanah air.

Moderator adalah Encik Azlan Mohamed Said seorang pengkaji dan penggiat seni dari Singapura.


Julie yang suka dipanggil sebagai Mama Julie telah berusia 72 tahun. Beliau membuka dengan tajuk "Hanya Jauhari yang Mengenal Manikam". Pernah bersama Saloma mengalami suka duka turun naik industri muzik dan filem yang pernah berpusat di Studio Jalan Ampas, Singapura tahun 60an beliau berkongsi beberapa cerita tentang zaman itu. Namun yang lekat dalam ingatan ketika menulis ini adalah apabila Julie menyebut artis-artis zaman mereka berhijrah ke Kuala Lumpur hampir penghujung dekad akibat kemelesetan Singapura. Ini menjadi asbab saya bertanya tentang itu pada sesi soal jawab.


Saya lebih banyak mengingati perkongsian peribadi dan kekeluargaan yang dibuat oleh Shasha. Dalam senarai rasmi atur cara beliau diletakkan sebagai panelis ketiga. Tetapi ini dialih ke nombor dua. Beliau membawa tajuk "Mama Yang Aku Kenali, Bukan Calang Tiada Ganti".

Shasha yang sudah berumur 64 tahun kalau tak salah memberitahu beza umurnya dengan ibu saudaranya Saloma cuma 10 tahun. Tetapi Saloma dan suaminya P. Ramlee bertanggungjawab membela beliau sejak kecil lalu beliau memanggil Saloma sebagai Mama. Shasha berkongsi dahulu cerita-cerita tentang hubungan ibu beliau Mariani (kelihatan pada layar) dengan adik kandungnya Saloma.  Menurut beliau Saloma lebih rapat dengan ibu mereka, Mariani dengan nenek. 

Saloma sering merasakan dirinya kurang cantik berbanding Mariani lalu berusaha lebih keras untuk mengecap populariti. Beliau sudah lama meminati P. Ramlee tetapi tidak endahkan. Setelah beberapa lama baru mendapat peluang untuk bersama. Apabila P. Ramlee meninggal dunia tahun 1973 Saloma menjadi orang yang agak murung sehingga beliau sendiri meninggal 10 tahun kemudian.

Di sini Shasha mengambil peluang untuk membetulkan satu persepsi salah yang mengatakan biduanita Saloma meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya seorang diri, tidak dipedulikan orang. Kata beliau ahli-ahli keluarga sentiasa mengambil giliran untuk menjaga seniwati tersebut sehingga ke akhir hayat. Saloma pernah keluar hospital buat beberapa hari apabila kelihatan sudah pulih daripada penyakit tetapi dimasukkan kembali apabila tenat lalu meninggal dunia.


Panelis seterusnya, Salikin disenaraikan sebagai yang keempat dan terakhir tetapi muncul sebagai yang ketiga. Beliau yang membawa tajuk  "Legasi Saloma, Impaknya Kepada Gaya dan Fesyen Masa Kini" menunjukkan beberapa slaid pakaian Saloma. Tetapi saya lihat masa yang diberikan sedikit sahaja. Mungkin kerana dua panelis awal telah menyentuh cara pemakaian dan gaya Saloma berdasarkan pemerhatian peribadi mereka pernah bersama. Sedangkan Salikin yang lebih muda setakat pernah melihat daripada majalah, surat khabar dan televisyen.


Panelis keempat dan terakhir tetapi disenaraikan sebagai kedua, Cikgu Yusnor turut berkongsi beberapa pengalaman peribadi bersama Saloma dan P. Ramlee. Kini berumur 80 tahun beliau membawa tajuk "Saloma, Gaya dan Lagu Berpisah Tiada". Menurut beliau Saloma memiliki disiplin kerja yang sangat tinggi. Selain menepati masa seniwati itu suka memperbaiki lagi hasil persembahan yang dirakamkan walaupun produser sendiri berkata tak perlu diulang lagi kerana sudah cukup baik...


Masuk sesi soal jawab rata-rata orang bertanya tentang fesyen dan gaya hidup Saloma.


Saya seorang sahaja yang bertanya tentang keadaan sosio-politik di Singapura melibatkan para pelakon Melayu dan studio sana. Ini kerana saya terkesan dengan kata-kata Mama Julie bahawa Saloma dan P. Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur kerana kemelesetan Singapura. Kemelesetan yang dimaksudkan bukanlah tentang ekonomi negara tetapi kemelesetan industri perfileman juga duit poket sendiri. Ini dikatakan berlaku kerana muncul televisyen hitam putih penghujung 60an menggantikan kepentingan wayang, Tetapi dipercayai ada faktor-faktor lain yang ada kena mengena dengan kemerdekaan Singapura daripada pemerintahan British melalui gabungan negeri-negeri yang membentuk Malaysia tahun 1963 diikuti keluarnya Singapura daripada Malaysia tahun 1965.


Bergambar bersama kawan-kawan selepas majlis...


Kebetulan di bahagian pameran sementara muzium ada pameran Saloma sebagai ikon fesyen. Dan hari itu adalah hari terakhir pameran. Saya dan isteri pun masuk melihatnya. Kelihatan dalam gambar isteri bersama Mama Julie. Lihat artikel Saloma fashion icon exhibition at the National Museumdi blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan