Khamis, September 14, 2017

Majlis perjumpaan keluarga sebelah mak dan sambutan Aidil Adha yang berkat

Untuk gerak seterusnya harus dilepaskan cerita kecil ini...


Petang Sabtu 2 September 2017, sehari selepas berlangsungnya Hari Raya Haji atau Aidil Adha 10 Zulhijjah rumah saya bersedia untuk penganjuran satu majlis. 


Saya, isteri dan anak-anak telah menyambut Aidil Adha hari Jumaat 1 September di kampung saya di Muar. Pagi Sabtu bertolak kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang, Selangor dengan membawa sekali ibu bapa, seorang adik dan seorang bapa saudara.


Majlis yang diadakan adalah perjumpaan keluarga sebelah ibu saya iaitu adik beradik beliau dan anak cucu. Sudah beberapa tahun majlis sebegini tidak dianjurkan kerana masing-masing sibuk dengan hal keluarga sendiri. Duduk pun di merata Semenanjung Malaysia. Lainlah kalau masa arwah ibu kepada ibu saya masih hidup lagi, Ketika itu ada alasan untuk semua bertumpu balik ke Muar sekurang-kurangnya pada awal setiap bulan raya Syawal.


Bila dah takda orang tua peringkat itu untuk menyatukan keluarga memang susah untuk mengadakan perjumpaan keluarga besar seperti dahulu. Adik beradik ibu pun ada anak cucu masing-masing, ada menantu yang memerlukan hari raya disambut di kampung mereka. Susah nak sepakat dapat berkumpul ramai-ramai pada suatu tempat dan waktu yang sama. Perjumpaan ini dirancang secara spontan sebulan sebelum itu kerana memikirkan sudah beberapa tahun kami tidak mengadakan majlis sebegitu rupa...


Sambil mengadakan perjumpaan keluarga kami menyambut Aidil Adha sekali. Di garaj yang terletak di seberang rumah sudah terhidang set kambing bakar untuk tetamu. 


Seorang bapa saudara menaja hidangan tersebut. Tetapi beliau sendiri tidak dapat bersama kerana berada di Amerika Syarikat bersama isterinya, adik kepada ibu saya untuk menziarahi seorang anak yang sudah berkeluarga bersama seorang warga sana.


Seorang anak beliau pula berkeluarga dengan orang New Zealand di Australia. Nasib baik anak-anaknya yang lain menetap di Lembah Klang lalu dapat bersama. 


Di halaman rumah lebih banyak juadah sudah tersedia, Majlis diadakan secara potluck. Saya dan isteri menyediakan sejumlah juadah, lain-lain ditambah oleh ahli keluarga mengikut kesukaan mereka.





Majlis dijadualkan bermula jam 5 petang. Tetapi selepas jam 6.30 baru saudara mara muncul.





Kami dapat tahu ramai menghadapi masalah kesesakan lalu lintas akibat hujan lebat di merata tempat. Ini melambatkan ramai yang datang daripada arah bandar raya Kuala Lumpur, 40 km ke selatan rumah ini. Yang datang dari arah utara pun mengalami masalah sama...





Ketika saya dan keluarga sendiri sampai dari Muar jam 2.30  petang langit sedang mendung. Siap kedengaran guruh buat beberapa waktu. Nasib baik ketika kami bergerak cuaca masih elok. Kalau lambat ada kemungkinan kami sendiri tersangkut di tengah KL. 





Nasib baik juga kawasan rumah kami seperti terlindung. Mungkin berkat doa semua yang mengharapkan majlis berjalan lancar cuma ada turun hujan rintik sedikit sebelum Maghrib dalam 5-10 minit.  Kalau ikutkan pada keadaan langit harus jam 3 petang dah turun hujan lebat yang boleh berlanjutan hingga beberapa jam. Kalau itu berlaku susahlah kami hendak mengemas halaman rumah dan membuat persediaan yang patut sebelum tetamu sampai. 


Kami dimaklumkan hujan lebat melanda teruk di merata tempat lain sehingga lewat malam. Gambar melalui WhatsApp menunjukkan Jalan Kuching di KL dilanda banjir kilat petang itu. Sedangkan kami telah mengambil jalan tersebut sebelum sampai ke rumah...


Nampaknya majlis ini memang diberkati Allah SWT. Walaupun hingga malam langit dari kawasan rumah masih menunjukkan tanda-tanda boleh turun hujan lebat pada bila-bila masa kami langsung tidak diganggu-gugat.


Kelihatan dalam gambar ini ibu saya bersama adik-beradik juga pasangan yang dapat datang. Daripada 12 orang adik-beradik, 8 dapat muncul. Seorang sudah meninggal dunia.


Daripada 4 adik beradik ibu yang tidak dapat muncul, 2 diwakili anak cucu. Dapatlah juga 50 orang saudara mara bersama dalam majlis. Kiranya lebih sedikit daripada 1/3 keluarga besar adik beradik ibu dan anak cucu dapat memeriahkan suasana.


Turut bersama adalah 3 orang adik sepupu saya yang baru mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dengan pasangan masing-masing. Yang di tengah baru seminggu berkahwin lalu saya dan isteri menghadiri majlis perkahwinan mereka di Ipoh. Itulah asbab kami membuat perjalanan kecil di Cameron Highlands dan Perak awal cuti sekolah lalu. Lihat artikel-artikel berikut :-






Yang tepi kanan pula dah lebih sebulan bernikah. Menariknya yang perempuan masih belajar di Jordan, yang lelaki di United Kingdom. Lebih menarik lagi mereka berkenalan ketika yang perempuan sedang bercuti hujung tahun lepas kalau tak salah lalu membuat pengembaraan ke beberapa buah negara di Eropah seorang diri. Mereka berkenalan di London. Setelah beberapa bulan terus jadi suami isteri.


Selepas menghadiri majlis perkahwinan mereka di Bukit Damansara awal bulan Ogos (mereka bernikah di Kuantan penghujung Julai) itulah terbit cadangan untuk mengadakan majlis perjumpaan keluarga di rumah saya. Sebut pasal perkenalan sepupu perempuan ini dengan pasangannya di London teringat zaman saya sendiri belajar di sana 1991-1995. Seorang lagi sepupu perempuan, yang kelihatan paling kiri dalam gambar tadi pula bertemu dengan pasangannya ketika masing-masing sedang belajar di ibu kota United Kingdom itu. Seorang tengah buat Masters, seorang tengah buat PhD ketika itu. Majlis perkahwinan mereka diadakan penghujung April lalu. Lihat awal artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Perarakan pagi Ahad

Tetapi mereka telah bernikah setelah kedua-duanya habis belajar beberapa bulan lebih awal. Majlis diadakan lewat supaya dapat bersanding sama dengan seorang adiknya yang bernikah pagi sebelum majlis. Hal ini mengingatkan betapa pada bulan April itu saya dan keluarga telah menghadiri 3 majlis perkahwinan berturut-turut pada 3 hujung minggu. Pada setiap majlis ada dua orang sepupu bersanding adik-beradik dengan pasangan masing-masing. Ini ada disebut dalam artikel Jejak Tok Bahaman di Kuantan dan keturunan Sultan Melaka di Pekan, Pahang.

Berbalik pada majlis perhimpunan keluarga di rumah saya pada 2 September iaitu hampir 2 minggu lalu. Sambil yang dewasa sibuk bercerita hal orang dewasa anak-anak pula seronok bermain-main. Siap buat kulit limau bali yang dibawa dari Ipoh jadi ketayap atas kepala. Dengan ini lengkap sudah gerak untuk bercerita tentang majlis. Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,600 di blogspot ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan