Selasa, November 29, 2016

Misi HIKMAH Bukit Tinggi - Dugaan yang melanda ke lokasi

Salam semua. Cerita satu misi yang berlangsung hujung minggu lalu kemudian timbul cabaran tertentu.


Merujuk pada artikel Kamera baru Sony dan semangat 46 yang dibuat pagi Sabtu 26 November 2016. Petang itu sampailah masa untuk kamera baru itu memulakan jasa.


Saya ingin membawa isteri dan anak-anak ke rumah rehat seorang kawan di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Di situ akan diadakan acara terbaru HIKMAH lagi 18 hari dari sekarang. Rujuk artikel Tentang sambutan Maulidur Rasul, keindahan lokasi HIKMAH Bukit Tinggi dan senarai pembentangan ilmu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).



Sambil membawa keluarga bercuti saya ingin meninjau dengan lebih teliti kemudahan yang terdapat di rumah rehat yang dipanggil sebagai Dusun Nora itu. Kali pertama kami ke sana adalah pada lebih 3 tahun lalu. Ketika itu saya tidak dapat menikmati apa yang ada dengan baik kerana sedang dirundung masalah akibat kecederaan patah kaki. Lihat Antara Janda Baik, Bukit Tinggi dan Hospital Sungai Buloh.



Lagipun sudah banyak perubahan berlaku pada rumah rehat itu sejak kedatangan tersebut. Oh, ini adalah persimpangan tinggi yang sedang dibina di selatan bandar Rawang.


Sekitar 2 bulan lepas kami sekeluarga ada naik lagi ke rumah rehat itu.


Tetapi kami masuk lewat malam dan keluar selepas Subuh kerana ada komitmen lain. Tidak sempat meninjau segala penambahbaikan yang ada kecuali melihat sebuah bangunan surau yang dibina beberapa lama selepas lawatan pertama pertengahan 2013.


Adapun sejak melepasi persimpangan yang sedang dibina di selatan Rawang, kadangkala saya dapati enjin rasa tersangkut kemudian lancar balik. Saya pun tak tahu mengapa, saya main jalan aje. Tiba-tiba isteri terlihat penanda suhu atau temperature enjin telah naik begitu tinggi melepasi paras bahaya merah! Terus saya membawa kereta ke tepi lalu berhenti di bahu jalan.

Masyaallah saya tidak tahu bagaimana boleh tidak sedar ini berlaku. Selalunya saya cukup teliti, kalau berlaku jarum penanda suhu naik hampir separuh meter pun saya akan sedar lalu memberhentikan kereta. Ini tidak, Dah naik habis ke kiri baru perasan. Itupun sebab isteri yang sedar. Kalau tidak kemungkinan besar saya akan terus sahaja berjalan... selagi kereta boleh bergerak...


Ketika itu tinggal 5 km sahaja sebelum sampai ke Genting Sempah dan terowong atas sana. Ketika gambar ini diambil jam kamera menunjukkan waktu 6.43 petang.


Selepas menunggu suhu turun beberapa lama, ada pula mekanik berhenti membuat pemeriksaan kemudian memasukkan coolant dengan sedikit bayaran. Setelah terasa keadaan sudah kembali normal, perjalanan ke rumah rehat di Bukit Tinggi pun diteruskan.


Sekadar memberitahu, yang dituju bukan pekan Bukit Tinggi yang terletak sekitar 4 km selepas Genting Sempah tetapi kawasan Berjaya Hills Bukit Tinggi, lebih 10 km lagi selepas pekan.


Setelah 1-2 km melepasi pondok pengawal atau guard house jalan naik ke Berjaya Hills suhu enjin naik lagi lalu kereta diberhentikan.


Bila dilihat tangki air di tepi radiator nampaknya masih ada isi. Tetapi suhu tetap naik ke tahap merah. Kipas radiator pun masih berfungsi ketika itu. Setelah beberapa lama mengalami keadaan ini, ada juga sekali dua berhenti lagi saya mengambil keputusan nekad untuk meneruskan pendakian bukit. Perjalanan ketika itu cuma berbaki dalam 2 km lagi untuk sampai ke simpang masuk ke Dusun Nora. Sampai ke simpang baru berhenti lagi.


Alhamdulillah, dapat juga kami sampai ke tempat yang dituju walaupun dalam keadaan jarum penanda suhu terus berlegar pada paras bahaya merah.


Tentang hal kereta biarlah dilupakan seketika. Biar diberikan tumpuan pada kesegaran udara di lokasi.


Adapun kami sampai itu selepas jam 8 malam. Tidak lama kemudian masuklah waktu Isyak. Kalau tidak kerana masalah kereta harus kami sudah sampai sebelum masuk Maghrib iaitu sekitar jam 7. Sekitar jam 10.30 kawan kami membawa naik ke puncak bukit untuk melihat tarikan pelancongan di atas sana. Lihat artikel A night visit to Colmar Tropicale di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Sukacita dimaklumkan tarikh hari itu iaitu 26 November 2016 adalah hari ulang tahun saya yang ke-46. Nampaknya hal kereta rosak itu juga adalah dugaan hari ulang tahun buat saya...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan