Jumaat, Oktober 21, 2016

Seminar songket ASEAN di Muzium Negara - Menumpang semangat dan minat tetamu diraja

Sebagai kesinambungan pada artikel Mengangkat martabat pergerakan busana, persilatan dan kedaulatan Melayu Islam ke seantero Alam Melayu yang dipebuat semalam biar dicopy paste artikel berikut daripada blogspoHimpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)...


-----------------


Salam semua. Telah diceritakan apa yang berlaku pada majlis perasmian pameran songket ASEAN di Muzium Negara hari Selasa melalui artikel-artikel berikut :-







Sekarang biar diceritakan tentang majlis susulan keesokan harinya...



Pagi Rabu 19 Oktober 2016 saya pergi ke Muzium Negara lagi tapi ke auditorium pula.


Di luar auditorium kelihatan buku-buku dan beberapa barangan lain sedang dijual...


Di dalam pula satu acara sedang berjalan.


Ia adalah majlis Seminar Songket Asian. Ketika saya masuk jam 10.36, tetamu diraja, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah ibni almarhum Sultan Iskandar (Johor) sedang memberikan ucapan.


Kalau ikut atur cara yang saya terima seminggu sebelum itu waktu itu pembentangan pertama harus telah pun bermula. Tetapi nampaknya ini dilakukan sedikit lewat kerana baginda begitu bersemangat dan seronok mahu berkongsi mengenai minat peribadinya tentang songket. Apabila pembentang pertama,  Prof Madya Sulaiman Ab. Ghani dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) masuk untuk membentang apa yang dikongsikan merupakan satu kesinambungan. Ini kerana beliau bercakap tentang bagaimana industri tenunan kain memberikan harapan kehidupan baru kepada para warga penjara di Pahang. Sedangkan Tengku Puan Pahanglah yang bertanggungjawab membawa minat dan ilmu songket ke dalam penjara sehingga ia menjadi satu perusahaan yang menguntungkan.

Maaf, gambar yang saya ambil daripada barisan belakang auditorium ini kurang jelas. Sulaiman membentang dengan cara menunjukkan video berkenaan penglibatan beliau dengan warga penjara dalam memastikan mereka mendapat ilmu secukupnya untuk menghasilkan tenunan songket Pahang yang bermutu tinggi mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Tengku Puan Pahang. Tajuk rasmi pembentangan beliau adalah "Weaving with Hope : Royal Tenun Pahang & Songket". Ini boleh diterjemahkan sebagai :"Menenun dengan Harapan : Tenun diraja Pahang & Songket".


Tajuk pembentangan diberikan dalam bahasa Inggeris kerana ini adalah seminar antarabangsa melibatkan pakar-pakar dalam bidang tenunan dari negara-negara ASEAN iaitu kesatuan Asia Tenggara. Pembentang seterusnya adalah Dr Pimiada Prachadetsuwat dari Northern Thai Weaving Learning Centre (Pusat Pengajian Tenunan Utara Thailand). Tajuk yang dibawa, "Silk Brocade in Thailand" boleh diterjemahkan sebagai "Songket Sutera di Thailand".

Gambar ini menunjukkan semua hadirin bangun berdiri hormat dan bertafakur sebentar. Untuk pengetahuan raja Thailand baru sahaja beberapa hari mangkat lalu sebagai tanda prihatin dan simpati di hadapan pembentang hadirin diminta berbuat begitu buat sedikit masa.


Hmm. Saya tak pasti apakah sebutan seterusnya (second reference) terhadap pembentang harus berbunyi Pimiada (nama pertama) atau Prachadetsuwat (nama kedua). Kalau orang Melayu biasanya nama pertama memang nama pemilik badan, nama kedua adalah nama bapa lalu kita gunakan nama pertama untuk sebutan seterusnya. Kalau nama orang Barat, nama pertama juga adalah nama sendiri, nama kedua adalah nama keluarga, Tetapi sebutan seterusnya memerlukan kita menyebut nama keluarga dalam keadaan formal, nama pertama disebut dalam keadaan santai atau tidak formal. Kalau orang Cina pula nama pertama adalah nama keluarga, nama seterusnya adalah nama tuan punya badan...

Apapun beliau banyak bercerita tentang keluarga diraja Thailand dan bagaimana industri tenunan sangat terkait dengan sejarah raja-raja, para kerabat dan keluarga bangsawan. Banyak kali beliau tidak dapat menahan sesak kesedihan apabila bercerita tentang raja. Saya rasa ramai sedia maklum bagaimana orang Thailand begitu sayangkan raja mereka lalu terasa amat kehilangan dengan kemangkatan baru-baru ini.


Pembentang ketiga, Bapak Merdi Sihombing dari Indonesia kemudian muncul membawa tajuk "Ressurection of Songket Indonesia" (Menghidupkan Kembali Songket Indonesia). Menggunakan persembahan video sebagai pembuka cerita beliau memberitahu industri songket sana pernah hampir puus apabila minat rakyat hilang. Beliau terlibat dalam usaha untuk menimbulkan kembali minat sehingga industri dapat dipulihkan dan songket kembali mendapat tempat yang sewajarnya.





Sesi petang menyaksikan pembentangan kertas kerja ke-4 oleh Profesor Andi Ima Kasuma dari Universitas Negeri Makassar, Indonesia diikuti kertas kerja ke-5 oleh Dr Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah dari Universiti of Brunei. Disebabkan hal tertentu saya masuk lewat selepas rehat tengah hari lalu terlepas pembentangan Andi Ima yang bertajuk "Dari Wajo untuk ASEAN".


Ketika saya masuk ke auditorium hampir jam 3,30 Siti Norkhalbi sedang membawa tajuk "Kain Tenunan Brunei : Binding Fabrics". Beliau menceritakan bagaimana kain tenunan (merujuk pada songket tapi dipanggil kain tenunan di negaranya) digunakan begitu meluas oleh masyarakat Brunei dalam hampir semua aspek kehidupan, daripada lahirnya seorang anak sampailah berlaku kematian.


Satu lagi pembentang dari Universiti Makassar kemudian muncul membawa kertas kerja ke-6. Beliau, Dr Karta Jayadi membawa tajuk "Revitalisasi Nilai dan Motif Kain Sutera Sengkang dalam MEA".


Ketika hendak memulakan pembentangan, moderator terus bertanya apakah itu MEA. Rupa-rupanya ia adalah singkatan untuk Masyarakat Ekonomi ASEAN. Karta Jayadi merujuk pada peleburan perhubungan ekonomi antara negara-negara ASEAN yang mula membuka pasaran kepada sesiapa sahaja dalam ikatan ASEAN untuk bergerak bebas mendapatkan barangan merentasi sempadan. Selepas berkongsi pemerhatian tentang proses-proses dalam industri kain beliau menceritakan panjang lebar bagaimana pasaran bebas boleh menyebabkan sesuatu yang dahulunya asalnya eksklusif, misalnya kain dengan corak yang cuma boleh dipakai golongan diraja kini menjadi bebas boleh dipakai sesiapa sahaja tanpa mengikut taraf.


Pembentang ke-7 dan terakhir, Encik Wan Manang bin Wan Awang dari Terengganu, Malaysia pula membawa tajuk "Wan Manang : Perjuangan Dalam Memartabatkan Songket Terengganu".


Beliau yang merupakan seorang usahawan songket terkenal menceritakan tentang proses membuat songket dan jenis-jenis motif biasa sebelum menunjukkan beberapa hasil kerja terbaik beliau di atas pentas...














Tiada ulasan:

Catat Ulasan