Khamis, September 15, 2016

Beruzlah ke Pantai Timur - Sanad semutar dan ilmu keris/besi juga Masjid Brunei dan Tok Kenali

Hari ini adalah hari ke-3 hari-hari Tasyik iaitu 13 Zulhijjah biarlah dilepaskan cerita hari ke-3 perjalanan saya di Pantai Timur baru-baru ini. Bersambung daripada artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Berbusana ke makam Tok Selehor dan Haji Abdul Malek.


Pagi Khamis 1 September 2016. Selepas bersarapan di rumah Sheikh yang menjadi mudir sekolah pondok tempat kami menginap dan menerima pelajaran kami diajar cara-cara memakai semutar atau ikat kepala cara orang-orang lama.








Kami ditunjukkan beberapa cara dan rupa. Setiap satu daripadanya memiliki nama tersendiri siap dengan sanad pemakaian ilmu diterima daripada Sheikh itu atau Sheikh ini...





Selepas solat Zuhur ketika makan tengah hari kami menerima pula sanad ilmu berkaitan keris dan asal usul besi. Menariknya kami seterusnya ditunjukkan galeri keris milik mudir sekolah pondok ini. Rupa-rupanya ia terletak dalam satu bilik yang sebelum ini berkunci, betul-betul dalam kawasan asrama tempat kami menginap di sini.


Ketika itu beberapa orang kawan yang datang sama menuntut ilmu telah lebih awal meninggalkan sekolah kerana ada urusan di tempat masing-masing. Tinggal saya, kawan yang naik kereta ke Kelantan bersama 2 orang anaknya juga 2 orang kawan lagi menjadi 5 orang kesemuanya...


Sekarang saya rasa bolehlah disebut bahawa sekolah pondok ini bernama Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa di Kampung Menjual, Tumpat. Mudir atau pemimpinnya, orang yang bertanggungjawab menurunkan pelbagai ilmu kepada kami itu dikenali sebagai Syaikhuna Abuya Abu Aswad Bin Yah Al Kubra.


Hampir jam 5 petang, kami-kami yang tinggal ini membuat satu perjalanan keluar untuk melawat satu tempat tertentu.








Ia adalah Masjid Brunei di satu bahagian pinggiran tasik luas bernama Danau Tok Uban.


Saya tak pasti jika kawan-kawan dapat merasakan keistimewaan tempat ini. Pada saya ia tempat harus pergi kalau ada kelapangan ketika berada di Kota Bahru dan sekitarnya. Lihat artikel Brunei mosque after more than 3 years di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tentang apakah istimewanya sangat masjid ini (sekurang-kurangnya bagi saya) sehingga sanggup menarik kawan-kawan berjalan sekitar 60 km keluar dari madrasah untuk sampai ke masjid biar artikel lama Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban! menerangkan. Untuk pengetahuan artikel ini ditulis lebih 9 tahun lalu, setelah pertama kali sampai ke masjid lalu menginap di sana. Ini berlaku setelah beberapa tahun tahu tentang kewujudannya. Tapi baru ketika itu mendapat kelapangan disusuli gerak kudrat dan iradat untuk menjejakinya sampai dapat.


Alang-alang dah keluar begitu jauh dari madrasah kami juga mengambil peluang untuk singgah di Masjid Kampung Laut yang bersejarah itu.





Kami turut menziarahi makam wali besar Kelantan penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20 iaitu Tok Kenali.


Saya sudah beberapa kali pergi ke tempat-tempat ini, Tapi bagi kawan-kawan yang ikut sama inilah kali pertama mereka sampai lalu saya terasa harus cuba memberi mereka faham dan sedikit rasa apakah yang menyebabkan tempat-tempat ini istimewa bagi seorang pengembara kerohanian seperti saya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan