Khamis, Julai 14, 2016

Acara berbusana di Pedas dah keluar dalam televisyen

Adapun 19 hari lalu saya ada membawa isteri dan anak-anak keluar berbusana tradisional Melayu untuk satu majlis di Shah Alam kemudian di Pedas dalam daerah Rembau di Negeri Sembilan. Ini telah ditulis dalam artikel Dari Shah Alam ke Pedas - Melestarikan keindahan kebudayaan Melayu sejagat yang dipersembahkan 2 hari kemudian. Yang tak disebut acara di Pedas itu mendapat liputan wartawan televisyen. Sekarang baru mahu diceritakan...


Acara di Pedas itu diliputi wartawan RTM untuk siaran program Selamat Pagi Malaysia. Siang semalam iaitu pada pagi Rabu 13 Julai 2016 ia pun disiarkan.


Tentunya saya seronok melihat diri sendiri juga kelibat isteri dan anak-anak turut terpapar.


Saya sempat melihatnya di televisyen kerana berada di rumah ketika ia disiarkan selepas jam 8. Namun tak terfikir pula untuk membuat rakaman. Ambil gambar pun dalam 5 keping, sipi-sipi terlepas bahagian yang ada menunjukkan diri sendiri mahupun ahli keluarga.


Nasib baik malam tadi saya mendapat tahu segmen berkenaan yang memakan masa 6 minit lebih telah dimuatnaik ke Youtube lalu boleh dicapai dan ditonton oleh semua pihak tak kira masa.


Paling menarik bagi saya adalah apabila terlihat gelagat anak kecil saya Johan yang berumur 4 tahun lebih dengan selambanya berjalan mundar mandir ke kiri dan ke kanan ketika wartawan sedang membuat rumusan. Hal ini saya beritahu kepada isteri petang tadi tetapi beliau sedikit kecewa kerana tidak dapat menonton. Nasib baik ada rakaman di Youtube.




Nah. Anda boleh lihat sendiri melalui video yang dilekatkan. Seronok melihat begitu ramai berbusana dalam majlis penuh beradat. Dan tentunya lebih seronok melihat diri dan keluarga mendapat ruang dalam siaran...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan