Khamis, September 03, 2015

Menyusur Sungai Johor - Mengulangi makam di Kota Tinggi untuk anak-anak

Salam malam Jumaat. Sampai masa untuk menutup siri kecil ini. Bersambung daripada Menyusur Sungai Johor - Bukit Seluyut, Panchor dan Johor Lama.


Sabtu, 29 Ogos 2015. Selepas bermalam di rumah seorang kawan di tempat bernama Pasak kami menghala ke bandar Kota Tinggi lalu masuk ke Jalan Makam.


Bagi mereka yang peka sejarah jalan itu terkenal kerana terdapat sejumlah makam lama tokoh-tokoh penting dalam sejarah empayar Johor-Riau-:Lingga. Sebelum ziarah makam kami bersarapan roti Arab dengan kacang pol di sebuah gerai...






Makam pertama diziarahi ada milik Bendahara Tun Abdul Majid.


Kali terakhir saya datang bersama isteri ke sini, anak kecil kami Johan masih berada di dalam perut. Lihat artikel lama Kembara Johor-Riau - Mencari kesinambungan pemerintahan di Kota Tinggi, Johor


Selepas itu, saya ada datang sekali pertengahan tahun ini tapi bersama orang lain untuk membuat penggambaran dokumentari. Lihat Daulah Melayu -Sekitar Kota Tinggi dan Johor Lama.


Seterusnya kami ke makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.







Tempat seterusnya disinggah bernama Makam Tauhid. Di situ memang ada makam-makam lama selain pernah menjadi salah satu pusat pentadbiran empayar.


Ini makam-makam lama di Makam Tauhid. Sebelum sampai ke sini terlihat makam-makam lama lain di halaman rumah berdekatan. Lihat artikel Makam-makam di hadapan Makam Tauhid (Tombs in front of Makam Tauhid) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Sebelum meninggalkan bandar Kota Tinggi kami singgah di makam Laksamana Bentan...





Kemudian pergi melihat pertandingan memanah tradisional ke luar sikit dari bandar, masih dalam daerah Kota Tinggi lalu terkait juga dengan laluan dan aliran Sungai Johor. Lihat artikel Traditional archery tournament at Kota Tinggi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Sekitar jam 12.30 tengah hari baru kami mengorak langkah meninggalkan persekitaran Kota Tinggi dengan menghala ke bandar Kluang.



Tergerak untuk masuk ke kaki Gunung Lambak, tengok-tengok dah ada waterpark.


Saya ke kaki gunung kerana teringat pernah memanjat ke puncak beberapa kali, pertama ketika berada di Tingkatan 1 tahun 1983, terakhir ketika berjalan pusing Semenanjung menaiki motosikal besar seorang diri tahun 1997. Baru saya tahu waterpark atau taman air tersebut sudah didirikan sejak 10 tahun lalu. Jalan naik ke gunung pula terletak ke tepi...






Di kawasan lain berdekatan kaki gunung saya dan isteri layan sop kambing enak.



Kemudian beli air kopi bungkus di stesyen kereta api, kopi Kluang yang terkenal itu.


Dari Kluang kami ke Ayer Hitam sebelum membelok ke Yong Peng lalu ke Segamat...


Hampir waktu Maghrib sampailah ke Gemas yang terletak di Negeri Sembilan. Singgah di masjid situ (lihat Masjid jamek (Main mosque of) Gemas) kemudian bawa anak-anak ke stesyen lama kereta api yang meninggalkan boleh tahan banyak kenangan buat saya yang suka mengembara sejak zaman remaja. Lihat  Going around Gemas old train station. Malam itu kami bermalam di rumah kakak isteri di Jelai lalu menghadiri majlis perkahwinan anak buah di sana. Selepas beberapa lama baru kembali ke rumah. Sempatlah berjalan-jalan melihat pemandangan kampung di Seri Menanti sebelum mandi jeram bersama anak-anak di Ulu Bendol. Tamat cerita siri... :]



Rabu, September 02, 2015

Menyusur Sungai Johor - Bukit Seluyut, Panchor dan Johor Lama



Dengan mendaratnya kami di jeti Bukit Seluyut bermulalah proses ziarah ke makam-makam lama.


Dari jeti kami berjalan kaki masuk ke dalam hutan.


Dalam perjalanan dah boleh jumpa beberapa buah makam.


Untuk ke makam-makam bersejarah yang telah dikenalpasti kepentingannya kami harus masuk lebih jauh ke dalam hutan sambil mendaki bukit.


Alhamdulillah, anak-anak saya termasuk Johan yang sudah berumur 3 tahun setengah tiada masalah mengikut rentak orang dewasa berjalan...


Setelah beberapa lama kelihatan bangunan makam ini.


Selamat datang ke makam Tun Isap Misai, Bendahara Johor pertengahan hingga penghujung abad ke-16 Masihi.


Beliau adalah nenda kepada sasterawan terkenal Tun Sri Lanang yang menjadi Bendahara Johor kemudian. Makam dipercayai didirikan di atas tapak rumah Tun Isap Misai. Dan di sinilah Tun Sri Lanang dilahirkan. Lihat artikel Makam (Tomb of) Bendahara Tun Isap Misai, Bukit Seluyut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Perjalanan diteruskan untuk mendaki Bukit Seluyut hingga ke puncak.








Di situ pula terletak makam Sultan Muzaffar Syah yang membuka kota di Bukit Seluyut ketika memerintah 1564-1570. Lihat Makam Sultan Muzaffar Syah dan keluarga (Tomb of Sultan Muzaffar Syah and family), Bukit Seluyut.








Selesai ziarah kami kembali ke bot untuk menyambung perjalanan, kali ini dengan berpatah balik ke arah hilir Sungai Johor.









Turun di Panchor yang juga pernah menjadi sebuah pusat pentadbiran kerajaan lama Johor. Lihat artikel Views of Sungai Johor from Panchor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Di sini cabarannya berlainan. Jika di Bukit Seluyut kami harus meredah hutan, di Panchor ini kami harus berjalan kaki dalam panas terik matahari untuk ke makam-makam.





Papan maklumat tentang sejarah Kota Panchor...



Oh. Antara kami ini terdapat seorang wakil daripada Jabatan Warisan Johor. Beliaulah yang memberikan penerangan sepanjang program menyusuri Sungai Johor ini berjalan.


Kami dibawa ke puncak bukit untuk menziarahi makam seorang serikandi wanita yang katanya suka berpakaian hitam seperti Ninja ketika menangani ancaman orang jahat. Lihat Makam (Tomb of) Tengku Dara Puteh, Panchor.





Ke bawah bukit terdapat makam Sultan Abdul Jalil IV, keturunan Bendahara Johor yang pertama naik menjadi sultan lalu membuka pusat pemerintahan baru di Panchor.


Cuma baginda sebenarnya mangkat dalam satu serangan di Kuala Pahang. Yang ini katanya makam tanda. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Abdul Jalil IV.


Kembali ke Johor Lama kami terus naik kereta masing-masing untuk ke muzium yang terletak berhadapan tinggalan kota di atas bukit. Lihat Group visit to Johor Lama museum. Oh, sebelum itu saya ada tersilap mengambil jalan lalu menuju ke luar kawasan. Terjumpa pula sebuah makam yang entah kenapa sebelum ini tidak pernah saya sedari kewujudannya. Walhal letaknya di tepian jalan masuk ke Johor Lama. Lihat Makam Temenggung Johor atau makam Bidan (Temenggung Johor or Bidan mausoleum).




Inilah sebahagian daripada tinggalan kota Johor Lama. Kelihatan Johan seronok bermain-main di salah satu bonggolan tanah yang membentuk kota pertahanan ini...


Kali terakhir saya membawa keluarga berjalan ke sini adalah pada penghujung 2011. Ketika itu Johan masih berada di dalam perut ibunya. Lihat artikel lama Kembara Johor-Riau - Menjejak Sultan Alauddin II di Johor Lama dan Sayong Pinang sebelum berkejar ke Tanjung Sedeli. Pertengahan tahun ini pula saya datang tanpa keluarga kerana memenuhi tuntutan kerja. Ketika itu saya mengikut tim dokumentari yang mana saya menjadi penyelidik dan hos untuk meninjau tempat-tempat bersejarah yang mahu dimasukkan ke dalam program.  Lihat Daulah Melayu -Sekitar Kota Tinggi dan Johor Lama.


Masuk waktu solat Jumaat kami ke masjid jamek Johor Lama untuk menunaikan solat berjemaah...





Selesai solat bergegas ke pekan Teluk Sengat 3 km ke selatan lalu terus ke jeti.


Kami naik bot lagi tetapi untuk ke sebuah rumah rakit di tengah Sungai Johor.


Di situ kami makan tengah hari enak.


Saya pula seronok menikmati hidangan istimewa belangkas yang susah hendak didapati di tempat lain. Tak semua orang makan atau tahu makan. Selepas itu saya diminta untuk memberikan sedikit perkongsian ilmu. Lihat Lunch in the middle of Johor River off Teluk Sengat.