Rabu, September 02, 2015

Menyusur Sungai Johor - Bukit Seluyut, Panchor dan Johor Lama



Dengan mendaratnya kami di jeti Bukit Seluyut bermulalah proses ziarah ke makam-makam lama.


Dari jeti kami berjalan kaki masuk ke dalam hutan.


Dalam perjalanan dah boleh jumpa beberapa buah makam.


Untuk ke makam-makam bersejarah yang telah dikenalpasti kepentingannya kami harus masuk lebih jauh ke dalam hutan sambil mendaki bukit.


Alhamdulillah, anak-anak saya termasuk Johan yang sudah berumur 3 tahun setengah tiada masalah mengikut rentak orang dewasa berjalan...


Setelah beberapa lama kelihatan bangunan makam ini.


Selamat datang ke makam Tun Isap Misai, Bendahara Johor pertengahan hingga penghujung abad ke-16 Masihi.


Beliau adalah nenda kepada sasterawan terkenal Tun Sri Lanang yang menjadi Bendahara Johor kemudian. Makam dipercayai didirikan di atas tapak rumah Tun Isap Misai. Dan di sinilah Tun Sri Lanang dilahirkan. Lihat artikel Makam (Tomb of) Bendahara Tun Isap Misai, Bukit Seluyut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Perjalanan diteruskan untuk mendaki Bukit Seluyut hingga ke puncak.








Di situ pula terletak makam Sultan Muzaffar Syah yang membuka kota di Bukit Seluyut ketika memerintah 1564-1570. Lihat Makam Sultan Muzaffar Syah dan keluarga (Tomb of Sultan Muzaffar Syah and family), Bukit Seluyut.








Selesai ziarah kami kembali ke bot untuk menyambung perjalanan, kali ini dengan berpatah balik ke arah hilir Sungai Johor.









Turun di Panchor yang juga pernah menjadi sebuah pusat pentadbiran kerajaan lama Johor. Lihat artikel Views of Sungai Johor from Panchor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Di sini cabarannya berlainan. Jika di Bukit Seluyut kami harus meredah hutan, di Panchor ini kami harus berjalan kaki dalam panas terik matahari untuk ke makam-makam.





Papan maklumat tentang sejarah Kota Panchor...



Oh. Antara kami ini terdapat seorang wakil daripada Jabatan Warisan Johor. Beliaulah yang memberikan penerangan sepanjang program menyusuri Sungai Johor ini berjalan.


Kami dibawa ke puncak bukit untuk menziarahi makam seorang serikandi wanita yang katanya suka berpakaian hitam seperti Ninja ketika menangani ancaman orang jahat. Lihat Makam (Tomb of) Tengku Dara Puteh, Panchor.





Ke bawah bukit terdapat makam Sultan Abdul Jalil IV, keturunan Bendahara Johor yang pertama naik menjadi sultan lalu membuka pusat pemerintahan baru di Panchor.


Cuma baginda sebenarnya mangkat dalam satu serangan di Kuala Pahang. Yang ini katanya makam tanda. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Abdul Jalil IV.


Kembali ke Johor Lama kami terus naik kereta masing-masing untuk ke muzium yang terletak berhadapan tinggalan kota di atas bukit. Lihat Group visit to Johor Lama museum. Oh, sebelum itu saya ada tersilap mengambil jalan lalu menuju ke luar kawasan. Terjumpa pula sebuah makam yang entah kenapa sebelum ini tidak pernah saya sedari kewujudannya. Walhal letaknya di tepian jalan masuk ke Johor Lama. Lihat Makam Temenggung Johor atau makam Bidan (Temenggung Johor or Bidan mausoleum).




Inilah sebahagian daripada tinggalan kota Johor Lama. Kelihatan Johan seronok bermain-main di salah satu bonggolan tanah yang membentuk kota pertahanan ini...


Kali terakhir saya membawa keluarga berjalan ke sini adalah pada penghujung 2011. Ketika itu Johan masih berada di dalam perut ibunya. Lihat artikel lama Kembara Johor-Riau - Menjejak Sultan Alauddin II di Johor Lama dan Sayong Pinang sebelum berkejar ke Tanjung Sedeli. Pertengahan tahun ini pula saya datang tanpa keluarga kerana memenuhi tuntutan kerja. Ketika itu saya mengikut tim dokumentari yang mana saya menjadi penyelidik dan hos untuk meninjau tempat-tempat bersejarah yang mahu dimasukkan ke dalam program.  Lihat Daulah Melayu -Sekitar Kota Tinggi dan Johor Lama.


Masuk waktu solat Jumaat kami ke masjid jamek Johor Lama untuk menunaikan solat berjemaah...





Selesai solat bergegas ke pekan Teluk Sengat 3 km ke selatan lalu terus ke jeti.


Kami naik bot lagi tetapi untuk ke sebuah rumah rakit di tengah Sungai Johor.


Di situ kami makan tengah hari enak.


Saya pula seronok menikmati hidangan istimewa belangkas yang susah hendak didapati di tempat lain. Tak semua orang makan atau tahu makan. Selepas itu saya diminta untuk memberikan sedikit perkongsian ilmu. Lihat Lunch in the middle of Johor River off Teluk Sengat.

2 ulasan:

  1. Ni orang ajak. Tapi boleh aje cuba cari kat Facebook dan sebagainya. Kot2 ada orang nak buat...

    BalasPadam