Jumaat, Februari 20, 2015

Perjalanan ke-7 di Aceh - Satu lagi tawaran tak disangka


Pada artikel Misi HIKMAH Beruas - Jejak Malikul Mansur yang dibuat 9 hari lalu saya ada menulis begini :-


Salam semua. Ketika menulis artikel Misi HIKMAH Beruas - Faktor Tok Sego Aceh lewat malam tadi tiba-tiba saya mendapat tawaran untuk berangkat ke satu tempat menarik dalam masa terdekat. Dengan itu eloklah cerita perjalanan ke Perak hujung minggu lalu diselesaikan secepat mungkin.


Tempat menarik yang dimaksudkan adalah Aceh. Tiba-tiba seorang hamba Allah menalifon malam itu mengajak saya untuk bertolak ke sana 13 Februari bersama satu kumpulan dengan segala kos perjalanan, penginapan dan makan minum ditanggung beres. Cuma kumpulan itu akan berada sehingga 15 Februari sahaja sedangkan saya merasakan itu terlalu singkat. Tak mengapa kata hamba Allah tersebut. Saya boleh memilih untuk kembali lebih lewat, pada mana-mana tarikh yang difikirkan sesuai.

Saya pun memilih untuk kembali pada hari Khamis 19 Februari iaitu semalam. Alhamdulillah, perjalanan ini selesai dengan jayanya, setelah 7 hari 6 malam saya berada di sana. Banyak perkara dilakukan termasuk menziarahi beberapa buah makam yang belum pernah saya ziarahi sebelum ini. Saya juga diminta berkongsi ilmu dalam satu majlis yang diadakan oleh kawan-kawan di Aceh, majlis  yang diadakan secara tiba-tiba untuk mengambil kesempatan atas kehadiran saya di bumi Serambi Mekah.

Biar dimaklumkan ini adalah kali ke-7 saya ke Aceh. Pembaca yang setia mengikuti tulisan saya tentu sedar betapa saya sering menyebut tentang wilayah itu kerana memiliki hubungan darah dengannya. Seperti biasa selepas selesai satu perjalanan yang bermakna dan cukup lama saya akan membuat satu siri artikel tentangnya. Artikel pengenalan ini diberi tajuk kecil "Satu lagi tawaran tak disangka" kerana mengingatkan betapa beruntungnya rasa telah dibawa ke beberapa tempat setelah diberi tawaran tak disangka, antaranya ke Brunei dan Mekah. 

Saya juga pernah mendapat tawaran tak disangka ke Aceh iaitu ketika diajak mengikuti satu majlis perasmian masjid dan maulud di Perlak awal 2010. Tetapi perjalanan kali ini terasa jauh lebih istimewa kerana sejak beberapa bulan kebelakangan timbul rasa kuat untuk ke Aceh tetapi saya kekurangan belanja untuk ke sana. Perjalanan ini juga terasa istimewa kerana saya mendapat tawaran ketika menulis artikel Misi HIKMAH Beruas - Faktor Tok Sego Aceh Februari 11 iaitu 2 hari sebelum berlepas. Lebih menarik, saya mendapat panggilan sebaik sahaja nama "Tok Sego Aceh" disentuh iaitu selepas gambar ke-5 dalam artikel. Terasa seperti ada satu kaitan tertentu hendak ditunjukkan kepada saya. Insyaallah ini akan dihuraikan lebih lanjut nanti ya. :]