Selasa, Oktober 20, 2015

Melangsaikan 'hutang' Raub demi kelangsungan buku

Dipersembahkan, satu cerita mengenai 'hutang' dan penulisan...


Semalam tengah hari Isnin 19 Oktober 2015 saya membawa keluarga untuk satu perjalanan agak spontan ke Pahang.


Dah lama kami tak buat perjalanan secara tiba-tiba begini. Sejak 2-3 tahun kebelakangan kami biasa merancang untuk membuat suatu perjalanan paling lewat pun seminggu sebelum keluar...


Gerak untuk ke Pahang timbul pada malam sebelumnya. Ia berlaku setelah kesekian kalinya saya tersangkut lagi dalam penulisan untuk buku pertama yang akan membuka siri baru "Siri Pemikiran Merah Silu". Tentang siri dan penulisan sudah disebut beberapa kali di blogspot ini. Sudah banyak perkara dilakukan untuk merungkai kekusutan tapi saya masih lagi tersangkut walaupun hampir semua fakta sokongan yang diperlukan sudah ada dalam tangan.


Sudah menjadi kebiasaan, kalau sangkut dalam penulisan maka ini bermakna harus membuat perkara-perkara lain kemudian baru kembali pada penulisan.


Tapi penulisan buku ini sudah tersangkut begitu banyak kali. Sedangkan saya diminta menyiapkan manuskripnya paling lewat pertengahan November agar buku dapat diterbitkan Disember ini.


Ahad malam Isnin, baru terfikir. Mungkinkah penulisan buku ini  tersangkut kerana ada 'hutang'? Kerana ada perkara patut dilakukan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan tetapi masih belum melakukannya. Saya pun memerah otak dan ingatan untuk mencari jawaban. Setelah beberapa lama baru tersedar - Saya pernah berfikir untuk kembali ke rumah almarhum Nenek di Raub, Pahang, ibu kepada bapa sejak bulan puasa lalu lagi tetapi menundanya kerana muncul hal lain. 

Sampaikan undangan untuk majlis perkahwinan adik sepupu yang merupakan peluang untuk bertemu saudara mara sebelah bapa, peluang yang jarang-jarang muncul bagi saya yang lebih rapat keluarga sebelah ibu pun diketepikan untuk memenuhi komitmen lain dalam tempoh itu. Kembali beraya tahun ini pun tidak malah tahun lepas pun tak balik. Semakan yang dibuat tadi menunjukkan kali terakhir saya menziarahi makam Nenek tidak jauh dari rumah adalah pada Mei 2014. Lihat Perjalanan kecil ke Kelantan : Antara Tanjung Sepat, Gua Musang dan Bachok.

Ah. Bagaimana boleh terlupa semua ini lantaran kesibukan dengan hal-hal lain? Sedangkan buku yang mahu ditulis melibatkan hal Kesultanan Perak dan almarhum Nenek adalah orang yang membuka cerita kaitan keluarga kami, keluarga sebelah bapa dengan kesultanan kepada saya sekitar 14 tahun lalu.


Kebetulan malam itu juga saya dan isteri baru mendapat tahu bahawa sekolah-sekolah di Selangor telah ditutup akibat jerebu teruk. Maka apabila menyedari betapa lama sudah 'berhutang' untuk kembali ke rumah Nenek, saya pun membuat keputusan mahu bertolak ke sana siang Isnin. Sebelum itu saya memikirkan cuma akan kembali ke Raub setelah selesai penulisan buku. Tapi nak tunggu sampai bila lagi sedangkan tulisan asyik tersangkut? Khamis ini pula saya harus bertolak ke Surabaya di Jawa Timur untuk pengambaran dokumentari "Daulah Melayu".  Kami dijadualkan akan berada di sana sehingga Isnin minggu hadapan. Hujung minggu itu ada acara di Melaka, hujung minggu selepas itu di Putrajaya. Kalau terus menunggu bila pula akan ada kesempatan?



Isteri sampai sanggup mengambil cuti emergency leave agar kami dapat pergi ke Raub bersama. Kalau saya pergi dengan anak tanpa beliau terasa tak kena. Teringat bagaimana saya pernah berjumpa Nenek bersendirian hujung 2001 setelah 3 tahun tidak bertandang kerana isteri terdahulu kurang gemar balik ke Raub. Beberapa bulan selepas itu kami bercerai kerana memang sudah lama tidak sehaluan. Apalagi ketika itu saya semakin kalut dalam pencarian diri dan erti menjejaki salasilah keturunan keluarga demi memahami pelbagai perkara yang berlaku dalam hidup, satu perjalanan penuh rintangan yang telah diluahkan dalam siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007.

Walaupun antara saya dan isteri sekarang tiada masalah memang terasa tak manis jika ke rumah almarhum Nenek tanpa membawa beliau setelah sekian lama tidak bertandang. Lagipun kami sama-sama mahu menikmati hidangan istimewa ikan keli gulai asam rong yang sudah lebih setahun tidak dikecapi, satu makanan istimewa orang Raub. Maka sampai sahaja ke sana kami terus mencari kedai makan yang ada menghidangkan. 


Nah. Beginilah rupa makan tengah hari kami.


Selepas makan, baru ziarah ke rumah beberapa orang saudara mara sebelum pergi ke makam Nenek.



Selesai itu baru ke rumah peninggalan beliau untuk bermalam, Petang itu sempat mendaki bukit di belakang rumah, satu perkara yang sudah bertahun-tahun tidak dilakukan. Kali ini saya mendaki bersama anak kecil. Lihat artikel Climbing the hill behind my late grandma's house with Johan. di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Kalau tidak kerana membawa anak tentu saya akan masuk lebih jauh ke dalam hutan.

Subuh keesokannya kami kembali ke Lembah Klang kerana isteri harus kembali bekerja. Saya ni lain le, ikut suka hati bila nak bekerja kecuali bila ada hal seperti mesyuarat, majlis dan penggambaran. Adapun kali terakhir kami bermalam di rumah ini adalah lebih 2 tahun lalu. Lihat Sekitar misi memakan ikan keli gulai asam rong sempena cuti Hari Malaysia. Menariknya, apabila saya telah menetapkan fikiran mahu ke Raub lalu bersiap untuk bertolak pagi Isnin, ketika itulah saya mendapat ilham penting bagaimana hendak membuka dan membentuk cerita buku baru. 

Hati ini mengingatkan, jujurlah bercerita. Luahkan apa yang perlu, jangan cuba hendak disembunyikan. Bukan saya tidak jujur sebelum ini tapi fikirnya mahu membuat penulisan buku baru tanpa menyentuh kaitan keluarga dengan Kesultanan Perak. Sekarang, ini tidak dapat dielakkan kalau mahu ilham dan gerak penulisan mengalir cantik. Apapun syukur alhamdulillah kerana sudah ditunjukkan jalan...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan