Sabtu, Julai 04, 2015

Misi Pulau Pinang dan Perak - Semalam di pulau, nasi kandar di 3 tempat

OK. Pada artikel  Jejak Kalimantan Barat - Melihat istana dan masjid diraja Pontianak sebelum berlepas... yang ditulis Ahad lalu ada disebut bahawa sebentar lagi iaitu selepas selesai menyajikan artikel saya harus bergerak ke Pulau Pinang untuk satu urusan. Urusan yang dimaksudkan melibatkan satu misi di Pulau Pinang diikuti misi di Perak dan ini semua dapat diselesaikan dengan jayanya lalu saya kembali untuk berbuka puasa di rumah petang Khamis. Namun saya harus membuat lagi perjalanan jauh dalam masa terdekat. Selain itu saya disibukkan dengan kerja-kerja penulisan buku-buku baru. Jadi biar cerita perjalanan Pulau Pinang dan Perak itu disajikan secepat mungkin apabila ada peluang dan kelapangan bermula dengan ini...


Petang Ahad 28 Jun 2015. Saya keluar dari rumah sekitar jam 3.30 lalu mengambil Lebuh Raya PLUS ke utara.



Saya dijadualkan untuk mengikuti satu acara tertentu di Seberang Perai pagi Isnin lalu mahu bermalam dahulu di Georgetown. Tapi tak terus ke sana. Sampai di Sungkai, Perak saya keluar mengambil jalan biasa.


Ini kerana saya mahu ke Beruas untuk melihat persediaan bagi acara ke-15 HIKMAH yang akan berlangsung 8 Ogos. Dari Sungkai saya memotong ke Langkap sebelum masuk ke Kampung Gajah lalu ke Bota Kiri. 


Saya berada di Beruas sampai jam 6.46 gitu. Ketika orang lain sedang sibuk membeli juadah untuk berbuka puasa saya masih melihat-lihat keadaan tanpa membawa apa-apa bekalan.


Daripada Beruas saya mengambil jalan dalam ke Taiping. Terlihat beberapa buah masjid dan pemandangan menarik tetapi tidak berhenti mengambil set gambar lengkap seperti kebiasaan apabila melihat masjid menarik kerana kesuntukan masa...











Sejurus sebelum sampai ke Taiping saya mengambil kembali Lebuh Raya PLUS. Ketika itu tinggal beberapa minit sahaja untuk berbuka puasa.


Saya membuka puasa sekadar dengan syarat menjilat jari sendiri, sekitar 15 minit kemudian baru makan sedikit di RnR Gunung Semanggol. Selepas itu terus ke Pulau Pinang dengan mengambil jambatan baru masuk ke pulau.


Sampai di bandar raya Georgetown jam 9.24.


Terus mencari Masjid Kapitan Keling, singgah untuk mandi kemudian bersolat.


Jam 10.18 gitu baru saya betul-betul makan. Layan nasi kandar apa ke nama tu, Nasi Kandar Beratur ke hapa yang kat sebelah Masjid Kapitan Keling tu.


Sekitar 20 minit kemudian baru saya "check-in" ke tempat penginapan. Tidur di Masjid Lebuh Aceh sebab memang dah niat nak iktikaf kat situ. Dah bertahun tak bermalam di masjid yang pertama kali menjadi tempat penginapan saya awal 2004, sebelum membuat perjalanan nekad ke Aceh yang sedang dilanda perang ketika itu. Kisah ini ada diceritakan panjang lebar dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Lihat sedutan berkenaan pada artikel lama Mencari jejak Merong : Lebuh Aceh dan faktor 555 di Pulau Pinang.



Tidak berapa lama kemudian terasa ingin keluar berjalan-jalan melihat suasana malam di Georgetown sambil mendapatkan kembali orientasi atau kedudukan tempat-tempat di bandar raya itu. Setelah lebih 30 minit berjalan baru dapat menilai balik arah tempat-tempat juga jalan-jalan untuk dipadankan balik dengan ingatan lama. Ketika itulah terjumpa satu lagi kedai nasi kandar yang popular iaitu Line Clear. Dah layan lagi satu pinggan... :]


Untuk sahur jam 5 pagi pula pekena satu round kat Restoran Kassim Mustafa.


Selepas tu pusing-pusing lagi Georgetown. Ketika itulah baru tersedar kat Lebuh Chulia ada masjid kecil di celah. Lihar artikel Masjid (Mosque of) Alimsah Waley di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sekitar 6.15 pagi saya meninggalkan Georgetown dengan menaiki feri ke Seberang Perai.


Cukuplah satu malam di pulau, sempat gak pekena nasi kandar di 3 tempat. Sekarang fikiran harus ditumpukan pada urusan pagi Isnin. Itulah yang menjadi sebab misi di Pulau Pinang...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan