Selasa, Jun 02, 2015

Daulah Melayu - Recce trip ke Terengganu

Salam malam Nisfu Syaaban, salam keberkatan untuk seluruh umat Melayu dan Islam. Pagi semalam saya telah membuat artikel bertajuk Panggilan Pasir Salak - Penangan penjurit kepetangan lalu menyebut begini :-


Selamat pagi semua. Sebentar lagi saya harus bersiap untuk membuat satu perjalanan ke Terengganu kemudian turun ke Pahang sebelum pusing Johor. Sebelum itu biar dikongsikan cerita aktiviti hujung minggu baru ini.


Selepas itu saya sempat membuat 3 lagi artikel berkaitan lalu memulakan perjalanan. Setelah selamat sampai ke bandar raya Kuala Terengganu selepas Maghrib tadi baru saya berkesempatan menghimpunkan links semua artikel tersebut dalam satu penulisan yang meringkaskan keadaan. Lihat artikel Sekitar WB River Fest 29-31 Mei 2015 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Biar ditambah, perjalanan yang dimaksudkan adalah untuk membuat kerja-kerja recce atau peninjauan melihat tempat-tempat yang dicadangkan harus dimasukkan dalam projek dokumentari Daulah Melayu (rujuk artikel-artikel sebelum ini, Daulah Melayu - Penggambaran untuk crowd funding diikuti Daulah Melayu - Penggambaran untuk crowd funding lagi...) juga memastikan jika ada sudut-sudut lain boleh/perlu ditambah. Ia dijadualkan berlangsung sehingga 9 Jun tetapi saya sendiri hanya akan bersama sehingga 6 Jun sahaja. Ini disebabkan saya dijadualkan berlepas ke Pontianak, Kalimantan 8 Jun untuk mengikut perjalanan lain melihat tempat-tempat bersejarah di sekitar sana. Pada 6 Jun ahli tim projek yang terlibat akan menurunkan saya di Lembah Klang sebelum mereka meneruskan perjalanan ke negeri Kedah.

Saya dijadualkan berada di Kalimantan sehingga 12 Jun. Sambil dan selepas itu saya ada banyak kerja lain perlu diselesaikan juga. Oleh itu saya telah membuat keputusan akan terus meluahkan atau berkongsi cerita perjalanan secepat mungkin, tidak menunggu sehingga perjalanan selesai seperti selalu dilakukan sebelum ini. Sebab itu pagi tadi saya bertungkus-lumus menyiapkan cerita tentang acara di Pasir Salak sebelum berlepas ke Kuala Terengganu. Dan sementara ada peluang berkongsi cerita menggunakan talian Internet hotel elok dilepaskan cerita siang tadi sekarang...


Tengah hari 1 Jun 2015. Tim projek Daulah Melayu mengambil saya berdekatan Batu Caves sebelum masuk ke Lebuh Raya Karak untuk menuju ke Pantai Timur. 


Dalam kereta terkeluarlah cerita tentang kampung Janda Baik di kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa tidak jauh daripada sempadan negeri Selangor-Pahang. Baru saya tahu 2 antara 3 yang turut bersama dalam perjalanan ini tidak pernah menjejakkan kaki di kampung tanah tinggi itu. Seorang yang pernah sampai pula tidak pernah masuk ke rumah penulis politik terkenal, S.H. Alattas atau Pak Habib. Sedangkan seorang yang tidak pernah masuk Janda Baik itu pernah mencadangkan rumah Pak Habib sebagai satu tempat untuk membuat penggambaran bagi projek.


Rupa-rupanya beliau setakat pernah melihat keindahan rumah dan taman Pak Habib melalui Internet. Memandangkan tidak ada aktiviti lain hari itu kecuali mesti sampai ke Kuala Terengganu lalu masuk hotel saya pun mengajak mereka singgah di Janda Baik.


Pergilah masuk ke rumah Pak Habib, tempat saya pernah menetap 2003-2005, semasa zaman masih sibuk dengan pencarian salasilah keluarga dahulu. Alhamdulillah kebetulan beliau ada di rumah. Kami pun dibawa melihat perkembangan terbaru di situ...





Sempat le melepak tepi sungai sat...



Setelah beberapa lama, sambung perjalanan ke Pantai Timur...


Berhenti makam tengah hari di RnR Temerloh layan gulai tempoyak ikan patin...



Gambar ini pula diambil berdekatan tol Jabor. Ketika ini kami sudah masuk negeri Terengganu. Pelik sungguh, Lebuh Raya Pantai Timur dah siap dah dari Karak sampai ke Kuala Terengganu. Masa belum siap memang kena keluar kat Jabor kemudian ambil jalan lama. La ni ada penghadang menyuruh kami keluar di tol Jabor tapi sejurus selepas itu boleh u-turn masuk kembali ke lebuh raya untuk meneruskan perjalanan ke KT. Kemudian ada pula tempat mengambil tiket sekitar 300 meter ke utara. Tak faham saya kenapa kena buat begini.



Nasib baik perjalanan kembali lancar selepas menyerahkan tiket. Inilah kali pertama saya mengambil laluan tersebut. Sebelum ini saya setakat pernah lalu Karak ke Jabor, masuk jalan lama, kemudian masuk lebuh raya kembali tetapi jauh di Bukit Besi untuk ke KT.



Berhenti lagi untuk buang air dan merenggangkan badan di satu RnR baru, sekitar Kemaman kalau tak salah.


Sampai ke satu tempat kami dapat melihat ramai orang berehat di atas jejantas seperti ada pesta. Cuma saya terlambat mengambil gambar lalu pemandangan orang ramai dikepung oleh cermin akibat kereta bergerak...



Sekitar Bukit Besi kelihatan pemandangan awan diterangi cahaya matahari petang yang menakjubkan. Nampak macam naga membuka mulut pun ada. Tetapi saya melihat ia lebih menyerupai burung legenda Phoenix yang menggambarkan kelahiran atau kehidupan semula satu watak besar...


Kami sampai ke pusat bandar raya KT selepas jam 8 malam. Terus menuju ke hotel kecil yang telah ditempah.



Tapi kami mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan hotel kecil yang mengenakan harga agak mahal tidak setimpal dengan kemudahan yang dimiliki. Nasib baik terjumpa sebuah hotel besar yang saya rasa agak baru berdekatan. Harganya walau lebih mahal terasa amat setimpal lalu kami pun menginap. Kelihatan persekitaran KT daripada tingkap bilik...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan