Jumaat, April 10, 2015

Melihat keris berdiri di Kompleks Kraftangan



Selepas solat Zohor di Masjid Negara saya ke Kompleks Kraftangan di Jalan Conlay untuk melihat satu pameran yang dibuat kawan-kawan aktivis budaya Melayu. Sebetulnya saya tidak tahu bahawa pameran itu adalah sebahagian daripada aktiviti Hari Kraf Kebangsaan 2015 yang akan tamat malam itu. Patutlah bila bertanya pada seorang kawan di Facebook dia memberitahu pameran kumpulannya akan tamat hari Selasa.


Seperti hal majlis gambus di Muzium Negara pagi itu saya ke sini juga untuk menunjukkan sokongan kepada kawan-kawan. Oleh kerana saya menetap lebih 40 km ke utara Kuala Lumpur saya takkan masuk meredah kesesakan ibu kota jika tidak ada sebab yang kuat, apalagi dalam keadaan begitu penat setelah menganjurkan acara ke-13 HIKMAH Seri Menanti hari Sabtu kemudian ke Pulau Pinang hari Isnin.


Selalu bila akan melakukan beberapa perkara apabila keluar. Dalam hal ini ke acara gambus diikuti pameran kawan.


Saya tidak berapa mengendahkan pameran lain yang ada walaupun banyak. Saya sekadar mahu mencari pameran kawan-kawan lalu mula bertanyakan orang.


Soalan saya, ada nampak tak satu kumpulan berbusana Melayu tradisional bertanjak, bersampin. Ketika itu saya sendiri berpakaian begitu tapi jalan berseorangan.


Setelah beberapa lama baru terjumpa orang yang dapat memberitahu. Rupa-rupanya kawan-kawan membuat pameran di dalam Muzium Kraf. Walaupun sudah beberapa kali ke Kompleks Kraftangan baru kali itu saya tahu ada muzim. Saya pun melihat apa yang ada. Lihat artikel Muzium Kraf (Craft Museum), Jalan Conlay di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Tu dia pameran kawan-kawan dalam satu sudut muzium yang agak samar-samar. Rupa-rupanya mereka telah diminta mengendalikan demonstrasi cara-cara mendirikan keris. Ini bukanlah menggunakan apa-apa cara mistik. pakai jin, penunggu. khadam keris atau apa-apa yang sejenisnya. Sebaliknya ia adalah tentang mencari keseimbangan dan keris yang buatannya baik harus seimbang. Apabila kita dapat mencari titik keseimbangan itu maka keris dapat didirikan...

Oh. Sebagai peringatan untuk saya yang ada gila-gila nombor. Kamera yang dipakai untuk mengambil gambar-gambar ini, kamera pinjam kerana kamera saya sendiri hilang sekitar seminggu lalu ketika masuk hutan berdekatan di kawasan rumah menyatakan nama fail gambar sebagai DSC08888.JPG. Cukup.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan