Jumaat, Mac 27, 2015

Wacana "Asas Pembinaan Negara Menurut Perlembagaan"

Lagi tentang majlis ilmu...


Semalam, petang Khamis 27 Mac 2015 saya ke Dewan Bahasa Pustaka lagi untuk satu majlis.


Jika 17 hari lalu saya ke institusi ini untuk majlis pelancaran buku tetapi di tingkat paling atas bangunan (lihat Buku "Sejarah Melayu" dari Batam - Membuka langkah menelaahnya), kali ini saya ke dewan di tingkat 2 di mana lebih selalu diadakan acara-acara ilmu.


Kali terakhir saya menghadiri majlis di tingkat ini adalah pada 2 bulan lalu. Lihat Wacana "Kekuatan Melayu Asas Kestabilan Negara" di DBP. Majlis ini termasuk dalam apa yang dipanggil Siri Wacana Ummah, Tajuk kali ini adalah "Asas Pembinaan Negara Menurut Perlembagaan".


Ketika saya sampai pembentang iaitu Tan Sri Abdul Aziz, pengerusi Biro Perlembagaan, Majlis Perundingan Melayu (MPM) sedang menghuraikan bagaimana Suruhanjaya Reid membawa kepada pembentukan perlembagaan negara Malaysia, dahulunya Persekutuan Tanah Melayu.


Kali ini baru saya tahu bila Wasiat Raja-raja Melayu yang terkenal dengan 7 perkara melibatkan kepentingan orang Melayu itu diisytiharkan iaitu pada 5 Ogos 1957. Saya mula mendengar tentang 7 wasiat ini sekitar 3 tahun lalu apabila ia mula disebut oleh Sultan Perak sekarang, Sultan Nazrin Shah (ketika itu Raja Muda) dalam satu majlis. Tetapi ketika itu dan buat beberapa lama saya tidak pernah mendengar bila masakah dalam sejarah wasiat ini muncul. Lalu ada pihak yang tidak senang dengan hak istimewa orang Melayu menyatakan ia cuma dokumen rekaan yang diwar-warkan baru-baru itu untuk menyokong hak keistimewaan orang Melayu.


Saya cuma mendapat kepastian bahawa 7 Wasiat Raja-raja Melayu memang bertanggungjawab membentuk perlembagaan apabila mendengar huraian daripada penasihat undang-undang negeri Selangor dalam satu majlis di Shah Alam 4 bulan lalu. Lihat Seminar Kesultanan Selangor dalam Arus Sejarah Malaysia - Peranan raja dalam undang-undang tubuh negeri. Alhamdulillah semalam baru tahu bilakah ia diisytiharkan dan perkara mana dalam perlembagaan mendapat sentuhan keselamatan akibat wasiat itu. Untuk pengetahuan, kalau tidak kerana wasiat juga beberapa cadangan lain (dipanggil Minority Reports) yang harus dipersetujui British  perlembagaan yang dibentuk akan merugikan kedudukan orang Melayu dan Islam.


Setelah beberapa lama sesi soal jawab pun dibuka, Seperti biasa saya sempat melontarkan beberapa persoalan :-

 1. Tentang perlembagaan British, apakah benar ia tidak bertulis seperti diberitahu kawan-kawan lulusan undang-undang tetapi dikuatkuasakan berdasarkan Convention atau kebiasaaan... sedangkan perlembagaan kita yang katanya menurut sistem British atau lebih tepat Westminster System (merujuk pada parlimen British yang terletak di Westminster, London) pula dibuat bertulis.

2. Saya pernah menghadiri satu majlis 2 tahun lalu di mana mantan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz menyebut bahawa peruntukan dalam perlembagaan sedia ada pun sebenarnya sudah cukup untuk mengangkat undang-undang Syariah mengatasi undang-undang sivil. Cuma buat masa ini undang-undang sivil ciptaan Barat berdasarkan apa yang dipanggil Common Law British berkuatkuasa kerana wujud apa yang dianggap kekaburan dalam undang-undang syariah (yang semasa awal dahulu tidak bertulis sebaiknya seperti halnya Common Law, kemudian tidak selaras pula antara negeri). Lihat  Seminar Memartabatkan Islam Agama Negara di Pusat Islam. Lalu saya minta pandangan Abdul Aziz.

3. Seorang hamba Allah yang duduk berdekatan meminta saya bertanya apakah pendapat Abdul Aziz atau apakah yang diperlukan untuk mendapatkah majoriti undi 2/3 parlimen supaya boleh mengubah perlembagaan agar lebih membela kepentingan orang Melayu dan Islam.

Oh. Baru teringat. Abdul Aziz ada menyebut bahawa penggubalan undang-undang hudud oleh Kelantan baru-baru ini adalah tidak sah menurut perlembagaan kerana tertera dalam perkara 75 kalau tak silap ingatan bahawa Penal Code atau hukuman untuk kesalahan tertentu seperti mencuri dan membunuh telah siap dinyatakan. Maka itu tidak boleh ada undang-undang baru yang memberikan hukuman berlainan (misalnya potong tangan untuk mencuri).

Jawaban beliau :-

1. Ya, memang benar perlembagaan British tidak bertulis. Kerana mereka sudah lama zaman berzaman mengaplikasikan undang-undang sedangkan kita baru lagi, baru 60 tahun. Beliau tidak menyebut ini tetapi kita sedia faham yang dimaksudkan tentunya adalah undang-undang Barat. Walhal kita di Alam Melayu dah lama mengaplikasikan undang-undang tetapi menurut Syariah, maka tidak masuk perkiraan mereka apabila disebut apa itu undang-undang. Hal ini sama seperti orang yang pandai baca Jawi tapi tak tahu baca Rumi disebut sebagai buta huruf...

2. Abdul Aziz kata tak berapa ingat soalan saya yang ini. Kalau nak jawaban boleh berbual-bual kemudian.

3. Jawaban beliau tidak ada cara untuk mendapatkan 2/3 majoriti kecuali menang besar dalam pilihanraya. Maksudnya tunggu pilihanraya seterusnya, kalau dapat 2/3 baru boleh ubah perlembagaan.

Selepas majlis rupa-rupanya ada PC atau Press Conference. Ketika itulah saya mengambil peluang untuk bertanyakan kembali soalan nombor 2. Beliau cuma berkata apa-apa hal pun kita tetap perlu mengubah perlembagaan. Nampaknya beliau kurang jelas bagaimana perlembagaan sedia ada boleh digunakan untuk mengangkat undang-undang Syariah. Mungkin Majlis Perunding Melayu harus mendapatkan nasihat Tun Ahmad Fairuz...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan