Ahad, Mac 22, 2015

Forum Menafasi Pusaka Kekuatan Umat Melayu Akhir Zaman di Perpustakaan Shah Alam

Sedikit cerita majlis ilmu untuk membentuk artikel ke 1,300 di blogspot ini...



Semalam saya dan isteri pergi ke bangunan baru perpustakaan Shah Alam di Seksyen 13.


Ini adalah kali pertama kami ke sini.


Ada majlis Forum Menafasi Pusaka Kekuatan Umat Melayu Akhir Zaman...






Ketika kami sampai panelis pertama, Puan Tun Suzana Othman sedang membentang.





Beliau berkongsi ilmu tentang peri pentingnya memahami sejarah untuk mengangkat kepentingan ummah.









Antara yang perlu untuk membangkitkan semangat dan jati diri orang Melayu adalah tahu asal usul daripada keturunan yang terpilih.





Kita juga harus faham orbit atau kedudukan masing-masing, di manakah letaknya umarak iaitu pemimpin, di manakah ulamak, pembesar dan sebagainya. Kalau tidak ia ibarat planet-planet berlanggar lalu bercelarulah kosmos peradaban Melayu.


Panelis kedua Ustaz Abu Zaki Yusof as Sanggafuri (merujuk pada Singapura rupanya) pula bercakap terus tanpa bantuan slaid.


Beliau bercakap tentang betapa pentingnya kembali kepada keMelayuan waima apabila bercakap tentang agama sekalipun. Ini kerana kita ada nilai-nilai tersendiri yang sudah lama diatur dan difatwakan oleh ulamak-ulamak kita zaman berzaman. Jangan kerana seseorang itu balik daripada pengajian agama di Mesir, Jordan dan Arab Saudi misalnya terus mahu menghukum segalanya dengan neraca penilaian sana, penilaian orang Arab. Kerana kita ada kemaslahatan sendiri yang tidak serupa dengan apa yang ada sana tetapi tetap sesuai dengan tuntutan agama Islam menurut syariat.



Panelis ketiga, Shayk Sidi Mohamad Zaid Dor juga bercakap terus tanpa bantuan slaid untuk memberikan pesan tentang apa yang patut dilakukan orang Melayu untuk menangani cabaran akhir zaman.


Beliau banyak membuka perkara-perkara sulit yang merupakan rahsia yang biasanya cuma diketahui dalam lingkungan ahli Tasawuf, misalnya tentang kedatangan Imam Mahdi dan siapakah yang bakal membentuk tentera baginda. Untuk perkongsian di sini biar saya cakap perkara yang mudah. Menurut Shaikh untuk memajukan Melayu biar dimulakan dengan memantapkan bacaan dan pemahaman tulisan Jawi. Dengan cara itu kita boleh menggali kembali banyak ilmu lama yang berguna termasuk rahsia-rahsia sulit yang sebenarnya telah diperkatakan para ulamak Melayu dalam kitab-kitab kuning atau kitab tradisonal zaman berzaman.


Sesekali masuk berlari turun naik tangga malah merangkak pun ada dua anak kecil saya.





Selesai forum saya sempat mengadakan 2 mesyuarat, satu tentang kerja dokumentari televisyen yang sedang diusahakan sekarang, satu lagi tentang acara terbaru HIKMAH yang akan berlangsung 13 hari lagi di Negeri Sembilan. Lihat artikel Mengangkat Daulah Melayu pada HIKMAH Seri Menanti 4 April ini di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Selepas itu baru membawa anak-anak menikmati kemudahan yang ada di perpustakaan canggih ini. Antaranya satu ruang kreativiti yang mengandungi pokok ala-ala alam fantasi Smurf... 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan