Isnin, Februari 23, 2015

Melacak Daulah Shalihiyyah di Sumatera


Pada artikel Perjalanan ke-7 di Aceh - Memberi rasa dan cinta kepada penggiat muda yang disajikan separuh hari tadi saya ada menunjukkan gambar mesyuarat silaturrahim bersama sejumlah aktivis budaya dan sejarah Aceh. Salah seorang daripada mereka adalah Ustaz Taqiyuddin Muhammad, seorang pakar epigraf, boleh membaca segala macam bentuk tulisan khat yang rumit-rumit pada batu nesan Aceh yang sering menandakan makam raja-raja, para bangsawan, panglima dan ulamak besar di Alam Melayu. Beliau telah menulis buku di atas lalu meletakkan beberapa naskah di atas meja. Kami yang datang daripada Malaysia berenam pun membelinya.

Buku ini saya dapat tahu kewujudannya beberapa bulan lepas lalu menyimpan hajat untuk memilikinya sekian lama. Tajuk Daulah Shalihiyyah merujuk kepada Sultan Malikus Saleh yang dikatakan mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai (kemudian diserap ke dalam Aceh) lebih 700 tahun lalu dan keturunannya yang mewarisi takhta. Saya mula membacanya selepas hari ke-3 berada di Aceh dalam perjalanan ke-7 itu. Ketika kembali ke Malaysia petang Khamis saya sudah membaca dan menelaah lebih separuh 308 muka surat yang ada.

Pembacaan akhirnya dapat ditamatkan petang tadi dalam kereta ketika menghantar seorang anak kembali ke asrama di Sungai Besar, Selangor. Oleh kerana ketika itu saya agak sibuk mahu mengikuti perkembangan projek tertentu melalui komputer, isteri saya pun memandu. Saya duduk di sebelah menelaah apa yang patut. Selesai kerja itu saya menyambung pembacaan buku. Dengan selesainya bacaan saya rasa harus memberikan sedikit maklum balas sebelum dapat beralih kepada beberapa kerja lain.

Penulis cuba mengenengah satu teori baru asal-usul Sultan Malikus Saleh berdasarkan bacaan pada beberapa batu nesan yang dikira ada kena-mengena. Baginda cuba dikaitkan dengan dinasti raja-raja Islam yang pernah memerintah India 800 tahun lalu. Walaupun tidak bersetuju dan ada teori lain tentang asal-usul Malikus Saleh saya kira ia percubaan yang menarik, memiliki hujah yang tersendiri. Yang pasti buku ini memiliki kekuatan kerana dapat melacak perjalanan pemerintahan kerajaan Samudera dan Pasai berdasarkan bukti bertulis daripada batu nesan yang dipadankan dengan sumber-sumber lain termasuk hikayat dan cerita-cerita lisan.

Paling menarik saya kira berdasarkan catatan pada batu nesan adalah kewujudan satu watak bernama Manshur atau Mansur, dipercayai anak kepada seorang Sultan Pasai bernama Zainal Abidin Ra-Ubahdar (ada sekurang-kurangnya 4 orang pemerintah sana memakai nama Zainal Abidin). Dipadankan dengan beberapa peristiwa sezaman berkenaan perkembangan Islam di Alam Melayu penulis percaya Manshur ini tidak lain adalah Sultan Mansur yang memerintah Melaka, 1456-1477 mengikut kiraan yang digunakan sejak lama, 1379-1451 gitu menurut kiraan baru yang diketengahkan kerajaan Melaka 4-5 tahun lalu berdasarkan tempoh pemerintahan raja-raja yang disebut di dalam kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu. Penulis nampaknya membuat telahan berdasarkan tarikh pemerintahan lama. Beliau menjelaskan Sultan Mansur diarahkan oleh bapanya Zainal Abidin untuk menjaga Kota Melaka yang menurut beliau sebenarnya adala bahagian daripada kerajaan Samudera Pasai.

Saya sendiri pernah mencapai kesimpulan bahawa Melaka terbit daripada kegemilangan Pasai. Lihat artikel Melaka di dalam Samudera-Pasai sebelum Sultan Mansur Syah menaiki takhta 1379 Masihi? yang ditulis setahun setengah lalu. Namun saya sekadar mengatakan Melaka adalah bawahan Pasai yang memerdekakan diri selepas Mansur menjadi raja. Belum terfikir pun baginda mungkin adalah anak Sultan Zainal Abidin Pasai. 

Selepas ini saya harus mengkaji perkara ini dengan lebih teliti dan mendalam. Ternyata buku ini, walaupun ada bahagian seperti dakwaan asal-usul Malikus Saleh saya tidak setuju, adalah buku yang baik untuk melacak perjalan pemerintahan Daulah Shalihiyyah, keturunan raja agung yang memiliki tempat istimewa dalam perkembangan agama Islam di Alam Melayu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan