Jumaat, Januari 30, 2015

Forum "Melayu Bukan Pendatang" di UKM

Salam Jumaat. Sedikit cerita daripada aktiviti semalam...


Pagi Khamis 29 Januari 2015 saya ke Bangunan Canselori di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.


Ada Forum Bicara Bestari ATMA ( Institut Dunia dan Tamadun Melayu) mengenengahkan 3 orang tokoh akademik menangani tajuk "Melayu Bukan Pendatang"...


Acara diadakan di Bilik Senat, Aras 5.


Apabila saya sampai jam 10.15 bilik kelihatan penuh.


Nampaknya ramai berminat dengan tajuk forum.





Saya sampai sedikit lewat. Ketika itu ahli panel pertama, Prof Emeritus Dato' Dr Nik Hassan Shuhaimi yang merupakan felo penyelidik utama ATMA sedang berkongsi pengetahuan. Yang sempat saya tangkap beliau menyanggah teori evolusi yang dinisbahkan kepada Charles Darwin. Walaupun kajian sains telah menemukan fosil atau tulang manusia-manusia purba yang hidup berpuluh malah beratus ribu tahun dahulu beliau menegaskan itu adalah bentuk-bentuk manusia awal yang tidak ada kena-mengena dengan manusia Homo Sapiens seperti kita. Dengan itu juga beliau menyatakan manusia-manusia purba seperti Neanderthal Man dan Homo Erectus tidak ada kena-mengena dengan makhluk Adam yang kita kenali di dalam kitab Al-Quran sebagai manusia pertama diturunkan ke muka bumi.


Seterusnya giliran Prof. Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, pengerusi Lembaga Pengelola DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) juga Ombudsman dan Profespr di USM (Universiti Sains Malaysia). Daripada beliau baru saya dapat mendengar lebih terang hujah-hujah dan dalil yang menyatakan Melayu bukan pendatang kerana memang turun temurun berasal daripada kawasan Asia Tenggara terutama pada satu zaman yang lampau di mana paras air laut adalah lebih rendah lalu Selat Melaka dan Laut Cina Selatan masih sebahagian daripada satu daratan besar yang dikenali sebagai Sundaland.


Secara rata persembahan Prof Salleh adalah serupa apa yang saya dengar daripada beliau pada satu majlis di DBP Oktober tahun lepas. Lihat artikel Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan dan Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Sudah terang lagi bersuluh!. Biar diberitahu sejak mendengar pencerahan tersebut saya sudah cukup puas dengan definisi yang diberikan tentang apa itu Melayu dan cukup terang kenapa kita bukan pendatang. Maka itu saya datang ke majlis bukanlah untuk menagih sangat ilmu baru tetapi untuk melihat jika ada perkara yang belum pernah saya dengar.


Sesungguhnya pembentangan daripada Prof Salleh juga Prof Nik Hassan sudah beberapa kali saya hadiri dan hadam. Cuma pembentangan daripada ahli panel ketiga, Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin, pengarah penyelidikan Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal USM sahaja belum pernah saya hadiri sebelum ini.


Saya setakat pernah membaca bahawa kajian Prof Zafarina tentang DNA orang Melayu berbanding DNA kaum-kaum lain sangat menarik dan konklusif.





Secara rata kajian DNA beliau menunjukkan semua manusia purba yang serupa bentuk dengan manusia sekarang bermula daripada Afrika sekitar 170,000-200,000 tahun kemudian bergerak mengikut pesisir pantai sehingga sampai ada ke Asia Tenggara sekitar 70,000 tahun.


Di Asia Tenggara yang ketika itu daratan besar Sundaland ramai menetap beranak-pinak lalu membentuk tamadun kerana keadaan cuaca dan persekitaran yang sesuai. Itulah golongan yang membentuk DNA Melayu asal. Setelah beberapa lama ada menyebar ke Cina dan sebagainya, yang pasti bukan daripada Cina turun ke Asia Tenggara. Data di atas mengesahkan ini, Ia menunjukkan orang Melayu telah ada sejak 60,000 tahun lalu, Sedangkan orang Asia Timur (termasuk Cina, Jepun dan Korea) muncul 20,000 tahun kemudian. Yang pasti Melayu sudah ada jauh lebih lama di Asia Tenggara dan bukanlah pendatang seperti didakwa pihak yang jahil juga berniat jahat mahu membasmi keistimewaan orang Melayu dan Islam seperti diperuntukkan di dalam perlembagaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan