Selasa, Disember 16, 2014

Trip anak-beranak ke Desaru - Akibat mengejar hidangan belangkas di Sedili

Kembali pada perjalanan di selatan tanah air awal bulan Disember. Bersambung daripada Trip anak-beranak ke Desaru - Mencari makam Si Bongkok Tanjung Puteri.


Isnin 8 Disember 2014. Hari ketiga kami berada di Desaru. Setelah 2 malam berehat di pusat peranginan yang selesa sudah sampai masanya untuk kembali menghala ke rumah. 


Hari ini kami layan puas-puas mandi di kolam renang lalu ke pantai.


Tengok tu, saya kena tanam dengan anak-anak...


Ada 'lanun' kecik memerhatikan... :]


Kami check-out lambat. Lepas 2.30 petang baru meninggalkan tempat peranginan.


Singgah sebentar pantai umum Desaru. Buat masa ini pelbagai pembangunan sedang dilaksanakan di sekitar dan ini agak mengganggu kedatangan ke pantai umum. Yang tinggal bahagian pantai private property di bawah kendalian pusat-pusat peranginan dan hotel berbayar. Masuk juga sebentar ke Bandar Penawar, pekan terdekat di Desaru dan singgah di masjidnya. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Bandar Penawar di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kemudian kami mengambil jalan kecil menyusuri pantai ke utara. Singgah melihat Tanjung Balau yang katanya menjadi tumpuan utama pengunjung awam menggantikan pantai umum Desaru yang sekitarnya sedang dibangunkan lagi. Lihat artikel The beach at Tanjung Balau di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tujuan utama kami mengambil laluan ini adalah untuk menikmati hidangan istimewa masakan telur belangkas yang katanya ada di Sedili Kecil. Kami pernah melihat paparan dokumentari tentang satu tempat membela belangkas di kawasan terpencil tepi pantai ini sekitar tahun 2011 kalau tak salah. Turut ditunjukkkan telur belangkas dimasak begitu enak di situ. 

Sebelum ini kami sempat menikmati masakan istimewa tersebut di Kota Tinggi. Lihat artikel Kembara Johor-Riau - Mencari kesinambungan pemerintahan di Kota Tinggi, Johor yang ditulis hampir 3 tahun lalu. Tapi kami masih belum berpuas hati selagi belum merasa yang terdapat di Sedili. Susulan daripada sesi makan di Kota Tinggi kami pernah cuba mencari hidangan sama di Tanjung Sedili. Tetapi disebabkan beberapa hal kami sampai lewat lalu kelihatan kedai-kedai makan sudah ditutup. Lihat Kembara Johor-Riau - Menjejak Sultan Alauddin II di Johor Lama dan Sayong Pinang sebelum berkejar ke Tanjung Sedeli.


Alhamdulillah, setelah berapa lama menyimpan hajat sampai juga kami ke tempat penternakan belangkas yang pernah dilihat dalam TV3 lama dahulu. Lihat Horseshoe crab farm at Sedili Kecil. Bayangkan keadaan kami meninggalkan Desaru jam 2.30 tanpa makan tengah hari, sampai di sini sejam kemudian dengan perut lapar mengidamkan hidangan telur belangkas yang enak.


Kemudian baru kami dapat tahu di sini tidak ada masakan, cuma ada jualan belangkas segar. Kalau kebetulan ada telur maka dapatlah telur. Tapi kalau nak menikmatinya sila masak sendiri atau bagi orang lain masak. Malah kami diberitahu tidak pernah ada jualan masakan telur belangkas baik di Sedili Kecil mahupun sepanjang perjalanan hingga ke Tanjung Sedili yang terletak lagi 13 km perjalanan ke utara. Kalau begitu kenapa ditunjukkan dalam TV3 tanya saya? Jawab seorang pembantu itu masakan khas untuk ditunjukkan dalam TV. Kalau nak makan telur belangkas harus ke Kota Tinggi. Selain itu ada di Teluk Sengat dalam perjalanan ke Kota Tinggi dari Desaru tadi.


Aduh! Agak hampa kami suami isteri. Kalau tahu begini tentu kami terus ke Kota Tinggi mengambil jalan darat menghala ke barat laut. Kalau ikut jalan tepian pantai melalui Sedili Kecil sudah mencapah jauh ke utara. Harus naik ke Tanjung Sedili kemudian baru boleh turun balik 30 km barat-daya ke Kota Tinggi. Dari Desaru ke Kota Tinggi terus jaraknya sekitar 45 km, ke Teluk Sengat sekitar 16-20 km sahaja kalau tak salah. Kalau lalu Sedili Kecil yang nak tak nak mesti lalu Tanjung Sedili, harus memakan jarak 80 km untuk ke Kota Tinggi. Akhirnya kami singgah di tepian pantai sebelum Tanjung Sedili, makanlah apa yang ada. Lihat The beach at Telok Mahkota/Jason Bay.
  

Nak tak nak kami mesti menghala ke Kota Tinggi juga kerana tempat seterusnya yang mahu disinggahi adalah Kluang yang boleh dikatakan terletak di tengah-tengah negeri Johor.


Sekitar 16 km sebelum Kota Tinggi terlihat persimpangan ke Jemaluang. Menyangkakan ia terletak antara Kluang di tengah Johor dan Mersing di pantai timur saya pun mengambil simpang ini. Fikirnya nak potong tak perlu lalu Kota Tinggi. Semasa gambar ini diambil pun sudah jam 5 petang sedangkan rancangnya selepas singgah di Kluang sebentar mahu mencari makam lama di Bukit Inas, Parit Sulong sebelum bermalam di rumah ibu bapa di Muar.


Di suatu tempat terlihat pelangi berkembar...


Jalan yang diambil agak sunyi kerana sering melalui hutan dan ladang. Bila dah dekat Jemaluang baru saya tersedar bahawa ia sebenarnya cuma sekitar 20 km daripada Mersing. Jalan ini telah membawa kami mencapah jauh lagi ke timur-laut iaitu menjauhi Kluang di tengah...


Ini menyebabkan kami harus berjalan tambahan 30 km untuk sampai ke Kluang berbanding kalau melalui Kota Tinggi. Akibatnya kami sampai ke tempat ini waktu Maghrib.


Mana terkejar nak cari makam di Bukit Inas, Parit Sulong? Kami pun membuat keputusan untuk bermalam di Kluang.


Apapun saya anggap mesti ada hikmah atas setiap yang berlaku. Sekurang-kurangnya dapatlah bermalam di Kluang tempat saya membesar semasa zaman belajar di Sekolah Menengah Sains Johor 1983-1986. Malam itu saya keluar berjalan kaki sorang-sorang pusing bandar. Duduk termenung lama di stesyen kereta api mengingatkan pelbagai perkara yang berlaku zaman remaja 30 tahun dahulu.


Teringat zaman saya memberontak bermula Tingkatan Tiga. Sejak itu saya selalu keluar panjat pagar asrama sekolah berjalan ke bandar seorang diri mencari ketenangan. Akibat mengejar hidangan belangkas di Sedili saya bermalam di bandar ini lagi setelah kali terakhir melakukannya 7 tahun lalu. Tentang perjalanan lama itu akan dipautkan pada artikel sambungan menunjukkan kami sekluarga masuk sebentar ke sekolah lama itu sebelum mencari makam di Bukit Inas, Parit Sulong, dalam daerah Batu Pahat. Nanti... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan