Rabu, April 17, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Satu pengenalan



Merujuk pada artikel Ke Tanah Suci menyahut panggil Ilahi... juga panggilan leluhur... yang dibuat 31 Mac 2013 sukacita dimaklumkan saya dan isteri sudah pun kembali dari Tanah Suci petang Jumaat lepas. Cuma saya terasa penat amat apalagi diserang demam dan batuk selsema. Petang ini baru terasa dapat memulakan sedikit penulisan pengenalan. Dalam beberapa hari itu saya ada juga memberitahu sedikit perkembangan ringkas di Facebook. Sekarang biarlah diberitahu. Seperti biasa setelah membuat sesuatu perjalanan yang terasa bermakna saya akan membuat siri penceritaan di blogspot ini dengan artikel-artikel sokongan dibuat di blogspots saya yang lain. Dengan itu biar diberi sedikit ringkasan apa yang akan dipersembahkan.

Adapun perjalanan ziarah dan umrah ini dijadualkan berlangsung 1-12 Mac 20 di mana kami harus sampai ke Madinah 2 Mac sebelum ke Mekah beberapa hari kemudian. Tetapi disebabkan satu perkara yang akan diceritakan nanti kami cuma sampai ke Madinah pagi 3 Mac. Kali ini saya banyak berjalan kaki di Madinah berbanding lawatan tahun 2005 (rujuk senarai cerita lama yang terdapat pada artikel Ke Tanah Suci menyahut panggil Ilahi... juga panggilan leluhur...) di mana perjalanan rata-rata dibuat dari hotel ke Masjid Nabawi dan sebaliknya. Lawatan ke Masjid Nabawi itu memang sudah patut kerana ia masjid Nabi, di situlah terdapatnya makam Nabi Muhammad SAW diikuti makam khalifah pertama umat Islam iaitu Saidina Abu Bakar RA dan khalifah kedua, Saidina Umar RA. Apapun senarai tempat-tempat yang dilawati di Madinah boleh dibuat begini :-


1) Masjid Nabawi

2) Masjid Qiblatain (dua kiblat)

3) Masjid Quba' (masjid pertama didirikan Nabi Muhammad SAW)

4) Masjid Imam Bukhari

5) Masjid Abi Zar al-Ghifari

6) Masjid Ali

7) Masjid Abu Bakar

8) Masjid Ghamamah (tempat muncul satu awan melindungi orang dari panas terik)

9) Masjid Umar

10) Masjid Bilal

11) Masjid Ijabah (tempat Nabi meminta 3 perkara di mana 2 dari 3 dimakbulkan satu tidak)

12) Sokaifat Bani Saedah (tempat Saidina Abu Bakar dibai'at sebagai khalifah)

13) Jabal Uhud (lokasi Perang Uhud)

14) Makam Saidina Hamzah

15) Tanah perkuburan Baqi' (di sebelah Masjid Nabawi, menempatkan jasad penduduk Madinah termasuk 10,000 para sahabat sejak zaman Nabi)

16) Makam Saidina Hassan (bersama Ahlul Bait terkemuka seperti Ali Zainal Abidin ibni Saidina Hussein, Muhammad Al-Baqir ibni Ali Zainal Abidin dan Imam Ja'afar as-Sadiq ibni Muhammad Al-Baqir, terletak dalam Baqi')

17) Makam Saidina Uthman al-Affan (khalifah ketiga Islam)

18) Makam Ibrahim bin Rasulullah SAW (anak lelaki Nabi Muhammad SAW yang meninggal dunia kecil)

19) Ladang kurma Bani Hashim (antara sedikit tanah yang masih dipegang keturunan Nabi Muhamad SAW turun-temurun)


Sukacita dimaklumkan tempat-tempat ini saya dapat ambil gambar dari berbagai sudut. Untuk ziarah dan umrah ini saya sampai sanggup membeli telefon bimbit baru berkamera kerana takut ditahan dari membawa kamera masuk ke dalam Masjid Nabawi. Namun Alhamdulillah, walaupun beg saya beberapa kali digeledah saya dapat juga membawa kamera masuk lalu dapat mengambil banyak gambar-gambar elok di tempat-tempat penting seperti makam Nabi, Raudah, mimbar dan mihrab Nabi dan kawasan ahli sufah.

Sampai ke Mekah saya dapati dah mula sakit-sakit kaki selain dilanda demam, batuk dan selsema yang bermula di Madinah. Saya rasa tenaga tidak sekuat semasa umrah 2005 namun masih juga berkesempatan membuat 5 kali umrah (tahun 2005 saya buat 11 kali), menziarahi sejumlah tempat malah kali ini dapat membawa isteri bermalam di Gua Hira' setelah mendaki Jabal Nur pada jam 2 pagi. Di sini biar disenaraikan antara tempat yang dilawati di sana...


1) Masjidil Haram

2) Masjid Jin (tempat kaum jin mendengar bacaan Al-Quran lalu memeluk Islam. Masjid terpecah dua dan berjarak sekitar 50 meter antara satu sama lain akibat peristiwa tertentu)

3) Masjid Syajarah (tempat sepohon kurma berjalan ke arah Rasulullah SAW apabila dipanggil sebelum kembali ke tempat asal)

4) Masjid Tan'im (tempat miqat, berniat menunaikan umrah/haji terdekat)

5) Masjid Jiranah (tempat miqat)

6) Masjid Hudaibiyah (tempat miqat)

7) Bekas masjid lama Hudaibiyah (tapak tempat berlakunya Perjanjian Hudaibiyah)

8) Tanah perkuburan Ma'ala (perkuburan utama di Mekah di mana terdapat juga makam sejumlah sahabat)

9) Makam Siti Khadijah (isteri pertama Nabi Muhammad SAW dan satu-satunya yang memberikan keturunan)

10) Rumah tapak kelahiran Nabi Muhammad SAW

11) Jabal Nur dan Gua Hira' (tempat wahyu pertama diturunkan)

12) Padang Arafat

13) Jabal Rahmah

14) Mina

15) Mudzalifah


Di Mekah juga saya berpeluang mengambil gambar dari pelbagai sudut. Di Masjidil Haram sendiri kumpulan gambar boleh dipecahkan membentuk beberapa artikel atas nama tempat-tempat berikut :-


1) Masjidil Haram itu sendiri

2) Kaabah dari beberapa sudut (pandangan dari Hijir Ismail, pancuran emas, Rukun Yamani, Hajaratul Aswad, Multazam dan pintu Ka'bah)

3) Hijir Ismail itu sendiri

4) Makam Ibrahim (di mana terdapat tapak kaki Nabi Ibrahim AS)

5) Tempat Saie antara Safa dan Marwah

6) Puncak Bukit Safa

7) Puncak Bukit Marwah


Insyaallah nanti semua tempat-tempat ini bersama sejumlah tempat yang belum disebut akan ditunjukkan dalam cerita yang diolah bersama pengalaman dan rasa. Selepas tidak mengambil walau satu pun gambar semasa ziarah dan umrah 2005 (kecuali 2-3 gambar yang orang lain ambil di mana muka saya ada termasuk sama) saya memang telah bertekad akan mengambil sebanyak gambar yang mungkin kali ini. Sedar tak sedar saya telah mengambil lebih 1,400 gambar. Memang niat saya, selain beribadah dan merapatkan diri pada Ilahi saya mahu membuat penceritaan yang dapat dikongsikan dengan lebih elok kepada semua. Sekian buat masa ini... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan