Ahad, November 11, 2012

Sumber-sumber Portugis berkaitan sejarah Malaysia dan hal-hal lain


OK. Kita beralih sebentar ke satu cerita baru.




Beberapa hari lepas saya mendapat undangan ini.


Sampai masanya hari Sabtu saya pun bergegas ke lokasi bersama anak-anak dan isteri. Kami sampai setengah jam lewat namun dapat juga mengikuti acara yang termasuk dalam program "Sembang-sembang Sejarah" anjuran Persatuan Sejarah Malaysia, kalau tak salah diadakan dua tahun sekali.

Sesuai dengan fungsi asal majlis, pembentang iaitu Tuan Haji Yahaya banyak bersembang tentang pengalaman hidupnya ke sana ke mari mengikuti pelbagai program penghayatan sejarah, ada juga dengan belanja sendiri ke pelbagai tempat di luar negeri. Tentunya beliau pernah pergi ke Lisbon, ibu negara Portugal iaitu negara orang-orang Portugis. Lalu dapat meneliti sejumlah manuskrip lama yang menceritakan hal keadaan orang dan kerajaan di Tanah Melayu.

Menurut Yahaya, rekod-rekod Portugis sangat teliti namun sering memperkatakan perkara daripada sudut kepentingan mereka. Dalam hal ini memang tercatat misi penjajah datang ke Tanah Melayu bukan sekadar merebut harta kekayaan terutama melalui perniagaan rempah tetapi adalah untuk membawa Kristianisasi. Menurut beliau hal ini terbukti apabila Pope atau ketua tertinggi agama Kristian zaman itu merayakan kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511 Masihi. Kata Yahaya, Portugis bukan sekadar berlegar di sekitar Melaka malah pergi ke tempat-tempat seperti Patani untuk mengkaji hal-ehwal keadaan masyarakat sehingga tercatat nama-nama buah seperti durian dan lain-lain.

Kata Yahaya lagi rekod-rekod Portugis membuktikan Melaka adalah satu kerajaan yang gah dan terbukti kuat, memiliki senjata api dan bukan sekadar memakai keris dan pedang seperti diwar-warkan ramai sejak beberapa lama. Rekod-rekod tersebut juga membuktikan orang Melayu kalah akibat pembelotan, bukan disebabkan kurang kekuatan.




Kelihatan dalam gambar Yahaya di kiri menerima cenderamata daripada pengerusi PSM, Tan Sri Omar Hashim. Omar ada bertanyakan apakah rekod Portugis ada menyebut nama Hang Tuah sebagai Laksamana besar kerajaan Melayu. Tetapi Yahaya setakat boleh menjawab mungkin ada tersebut nama Laksamana tetapi tidak Hang Tuah.

Kemudian saya mencadangkan, mungkin nama Hang Tuah tidak ada dalam rekod Portugis kerana beliau sudah hilang atau meninggal dunia ketika penjajah dari Barat itu mula datang ke Melaka tahun 1500an. Selepas itu saya bertanyakan jika rekod-rekod Portugis ada memberitahu apakah yang terjadi kepada angkatan tentera laut Melaka ketika kota Melaka diserang? Kenapa ia seolah-olah hilang... tau-tau sahaja kapal-kapal Portugis telah menghampiri pantai dan membedil bertalu-talu.

Yahaya sekadar menceritakan keadaan serangan Portugis yang kemudian turun ke darat tanpa menjawab persoalan sebenar yang saya kemukakan. Saya rasa tak perlulah dipanjangkan cerita. Kebanyakan yang Yahaya sebut sudah saya baca dalam buku bertajuk "Albuquerque Caesar Timur  - Teks-teks Pilihan daripada Afonso Albuquerque dan Anaknya" terbitan Universiti Malaya.


Selepas majlis kami singgah ke Perpustakaan Negara yang terletak di sebelah Wisma Sejarah iaitu ibu pejabat PSM, terus ke bahagian kanak-kanak.


Petangnya kami ke Gombak untuk bertemu seorang rakan lama yang sedang menginap di rumah salah seorang anak murid merangkap pengikutnya. Kebetulan malam itu akan diadakan tahlil awal demi menyambut kedatangan bulan Muharam atau tahun baru Hijrah. Selain bertemu, kami mahu menghadiahkan satu salisan salasilah besar raja-raja dan bangsawan Aceh seperti pernah dipinta rakan tersebut ketika kami pertama kali bertandang ke rumah ini setahun lalu. OK, cukuplah cerita...




1 ulasan:

  1. Salasilah besar, org2 besar yg memang besar kertas kajangnya..... Teringin nak belek2 senarai salasilah tu....

    BalasPadam