Jumaat, Oktober 21, 2011

Tentang pengedaran buku "Jejak keluarga Yakin" dan bengkel penerbitan DBP

Assalamualaikum semua. Sepatutnya artikel ini sudah dipersembahkan awal pagi Khamis tadi. Tetapi disebabkan kepenatan saya menundanya hingga lewat malam. Kemudian saya disibukkan dengan hal-hal lain, antaranya cuba memahami operasi perakam video HD (High Definition) Sony dengan projektor yang baru dibeli dengan lebih mendalam... bagaimana pula memastikan video yang dirakam boleh diproses dengan komputer riba untuk projek-projek akan datang.





OK. Kini dah masuk awal pagi Jumaat ya. Lewat petang Rabu saya pergi ke gedung Tesco yang terletak berdekatan Istana Kayangan di Shah Alam (bandaraya ini memiliki dua buah Tesco). Ada kedai buku besar milik orang Melayu yang baru dibuka 19 hari sahaja ketika itu...




Tujuan saya ke sana adalah untuk meletakkan sejumlah buku terbaru saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah". Sejumlah novel bersiri "Berpetualang ke Aceh" juga diletakkan sama. Pemilik kedai juga berminat untuk meletakkan buku-buku saya yang lain terutama "Rumah Azan". Tetapi disebabkan untuk buku-buku itu saya cuma bertindak sebagai penulis juga penterjemah, saya memintanya agar menghubungi penerbit berkaitan.

Adapun buku "Jejak keluarga Yakin" baru sahaja keluar dari kilang sekitar 2 minggu lalu tetapi sudah ramai bertanya bagaimana mahu mendapatkannya. Asalnya saya bercadang cuma mahu membuat jualan terus tetapi memikirkan ada permintaan dari pelbagai arah maka saya terpaksa juga berurusan dengan pengedar buku dan pihak kedai. Dengan ini biar dimaklumkan buku boleh didapati di kedai Books etc. di Tesco yang dimaksudkan. Melalui pengedar, buku ini juga telah ditempah rangkaian kedai MPH. Anda boleh bertanya di kaunter jika ia ada di MPH berdekatan.

Ada juga yang bertanya mengenai pembelian secara pos. Maka setelah menyemak di Poslaju saya menetapkan harga buku campur pos di Semenanjung adalah RM140, untuk Sabah dan Sarawak RM145. Ya. Ini memang agak mahal, maklumlah harga buku itu sendiri adalah RM125 senaskah. Tetapi jika anda memegang buku dan merasakan sendiri kualiti persembahan dan isi, dari kertas mahal gabungan gambar hitam putih dan berwarna dengan isi yang mencangkupi pelbagai hal, nescaya anda akan mendapati ia adalah harga yang sedikit untuk pengetahuan yang boleh diperolehi dari buku mewah berkulit keras yang boleh dijadikan koleksi sepanjang zaman.





OK. Adapun saya bergegas ke Shah Alam itu setelah menghadiri satu bengkel penerbitan buku atas jemputan DBP atau Dewan Bahasa Pustaka.



Bengkel diadakan Selasa dan Rabu pagi hingga petang di sebuah hotel agak mewah di Ampang.




Di celah-celah itu saya menginap di rumah seorang sepupu berdekatan Taman Maluri meninggalkan anak dan isteri. Terasa juga rindu 2 malam tidak bersama. Maklumlah, saya jarang sekali meninggalkan mereka, setiap kali berjalan ke mana-mana ada sahaja anak dan isteri menemani kecuali cuma dua tiga kali, itupun ketika keluar membuat perjalanan sambil bekerja untuk buku "Kereta Api Menuju Destinasi".



Alhamdulillah. Banyak ilmu berguna diperolehi. Banyak juga hal dalaman industri yang diperdengarkan samada enak atau tidak. Untuk makluman ini adalah artikel ke 919 di blogspot ini. Hmm... teringat pula tarikh habis kursus petang Rabu iaitu 19/10/11 (ada faktor 191... lihat artikel lama 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?)) di mana pada petangnya saya meletakkan sendiri sejumlah buku "Jejak keluarga Yakin" di kedai diikuti siri "Berpetualang ke Aceh". :]


Ahad, Oktober 16, 2011

Rasyid 2 tahun Batu Arang pula 100 tahun

Kiranya ini bersambung dari artikel Sambutan 100 tahun Batu Arang hujung minggu ini... yang dibuat 3 hari lalu.



Pagi Sabtu 15 Oktober 2011, anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid menyambut hari jadinya yang ke 2.


Sebenarnya Rasyid cukup umur 2 tahun pada hari Khamis 13 Oktober. Tetapi sambutan dibuat pagi Sabtu di rumah pengasuh untuk digabungkan dengan hari jadi beberapa orang anak lagi yang dijaga di rumah yang sama.


Oh. Kalau diperhatikan betul-betul gambar-gambar yang diambil hari itu ada sedikit berkabus. Rupa-rupanya ia akibat Rasyid menghidupkan kamera kemudian jarinya terkena pada lensa.


Apapun selepas Zuhur kami ke pekan Batu Arang untuk melihat karnival sambutan 100 tahun pekan.


Sampai di satu khemah saya tertarik dengan barang pamerannya...




Ada peta sekitar Batu Arang.



Ada gambar-gambar lama. Lihat artikel Remembering the heydays of the quaint town of Batu Arang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Malamnya kami singgah lagi ke tapak karnival.



Nampaknya suasana malam lebih meriah.



Ada pertunjukan kebudayaan serta hiburan.



Difahamkan suasana pagi dan tengahari Ahad tadi pula lebih memberangsangkan.



Ini disebabkan kehadiran Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim merasmikan acara serta mengisyiharkan Batu Arang sebagai bandar warisan. Saya diberitahu 400 motosikal besar dan penunggang didatangkan dari seluruh negara untuk memeriahkan lagi suasana tetapi tidak melihatnya sendiri. Ini kerana entah kenapa, siang tadi kami anak beranak terasa begitu malas hendak keluar apa lagi kemudian hari hujan. Lewat petang baru ke Batu Arang, sempatlah masuk ke satu bahagian terowong peninggalan dari zaman melombong arang batu berpuluh tahun lalu.