Isnin, Disember 19, 2011

Diperkenalkan : Kembara Johor-Riau


Alhamdulillah, kembali kita bertemu di ruang perkongsian pengalaman dan buah fikiran ini. Sukacita dimaklumkan saya, isteri dan anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid baru sahaja kembali awal pagi tadi... dari satu pengembaraan lebih seminggu di mana saya harus lagi memandu kereta sejauh lebih 1,600 km. Pengembaraan yang dimulakan dengan bermalam di Melaka kemudian Muar ini dibuat mengelilingi negeri Johor apabila kami kemudian turun ke Batu Pahat seterusnya Pontian sebelum masuk ke Singapura melalui Tuas. Selepas menginap satu malam di negara republik pulau itu kami masuk ke Johor Bahru melalui Woodlands... kemudian berkejar ke Stulang Laut untuk mendapatkan feri ke Tanjung Pinang di Pulau Bentan, Indonesia.

Syukur alhamdulillah, di sana kami berpeluang menziarahi makam ramai watak-watak utama sejarah berkaitan. Untuk pengetahuan Pulau Bentan yang termasuk di dalam kepulauan Riau, sebahagian daripada Empayar Johor-Riau-Lingga yang merupakan warisan empayar Melaka pernah menjadi tempat Sang Nila Utama membesar sebelum membuka kerajaan Singapura, katanya sekitar 1,000 tahun lalu. Menurut sesetengah sumber seperti Hikayat Hang Tuah pula ia pernah menjadi tempat pahlawan Melayu tersohor Hang Tuah menimba ilmu dan mengenal liku-liku kehidupan sebelum berkhidmat dengan Sultan Melaka pertengahan abad ke 15 Masihi. Selepas kejatuhan kota Melaka tahun 1511 ia menjadi tempat penting Sultan-sultan Empayar Johor-Riau-Lingga berlindung dan bermastautin. Penghujung abad ke 17 dan seterusnya ia pernah dijadikan pusat pemerintahan Sultan sedangkan mulai awal abad ke 18 ia menjadi pusat pentadbiran Yang dipertuan Muda Riau, anak cucu raja-raja Bugis yang menjadi orang kedua paling berkuasa dalam empayar selepas Sultan.

Kami berpeluang menziarahi makam ramai kerabat diraja Bugis terutama nama-nama besar seperti Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Raja Haji. Kami juga dijemput menghadiri majlis memperingati 333 tahun Riau dijadikan pusat pemerintahan empayar, majlis yang diadakan di hadapan makam Sultan Ibrahim, ayahanda kepada Sultan Mahmud mangkat dijulang (yang terkenal akibat peristiwa ditikam mati oleh Laksamana Bentan atau Megat Seri Rama tahun 1699). Ah. Tentu Bentan turut terkenal akibat nama laksamana yang berasal dari pulau itu. Maka ini selepas 3 hari 3 malam di Bentan kami menyambung ziarah ke Kota Tinggi di mana terdapat makam laksamana tersebut serta makam Sultan Mahmud.

Dipendekkan cerita kami turut menjejak sejarah di sekitar Tanjung Belungkor iaitu di kuala Sungai Johor juga di Kota Tinggi, Kota Johor Lama dan Sayong Pinang yang terletak berdekatan Bandar Tenggara menghampiri bandar Kluang. Perjalanan turut membawa ke Tanjung Sedili, Mersing dan Endau sebelum memasuki Pahang lalu ke Rompin, Bandar Muadzam Shah, Bera dan Temerloh. Dengan ini diumumkan satu siri baru yang dipanggil "Kembara Johor-Riau" akan dimulakan di blogspot ini. Penceritaan akan diselang-selikan dengan siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'" yang masih berjalan sekarang (cuma agak lambat dikemas-kinikan) seperti mana lebih setahun lalu siri "Petualang Al-Rasyid ke Aceh" pernah diselang-selikan dengan siri "Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar". Lihat Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh dan Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula... . Tunggu... :]



7 ulasan:

  1. Semoga bahagia bersama keluarga melakukan perjalanan-perjalanan sejarah sambil menikmati suasana dan kebudayaan suatu daerah. Amiinnn

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum...

    Saya sangat kagum dengan abg Radzi ketika mengeluarkan kata2 dan pendapat dalam bengkel penerbitan DBP. Tidak sangka sy bertemu dgn isteri abg Radzi di surau Hotel Vistana. Perbualan kami hanya sekejap saja tapi Kak Fika sempat beritahu tentang blog abg Radzi ni. Sy pantas mencari. Setelah sy baca penulisan dan pengalaman abg Radzi di dalam blog ni sy bertambah2 kagum lagi. Hebatnya... Mahu shj dapatkan smua karya abg Radzi sbb sy jg peminat sejarah. Salam kenal drpd sy. Kirim salam kpd Kak Fika.

    BalasPadam
  3. Terima kasih Ded. Semoga pembaca sekalian dapat mengambil manfaat dari cerita-cerita perkongsian pengalaman kami kemudian turut memanjangkan dakwah. Sesungguhnya dakwah itu bukan semata-mata bercerita tentang solat dan zakat, halal dan haram tetapi termasuk juga memperkasakan pengetahuan ramai mengenai warisan sejarah bangsa yang boleh menjadi asbab menguatkan pemahaman Islam.

    Wassalam Adik Yana. Kalau berminat hendak beli buku beritahulah. Kalau sudi panjang-panjangkanlah cerita tentang perkongsian kami di blogspot ini kepada kawan-kawan. Oh, bukan Kak Fika sebaliknya Kak Fida... :]

    BalasPadam
  4. Oh silap dengarlah namanya tadi, maaf. Kak Fida ya. Insya-Allah.Kalau nak beli bukunya macam mana?

    BalasPadam
  5. Boleh beli secara pos. Tengok sini... http://merahsilu.blogspot.com/2007/06/cara-cara-membeli-buku-bka.html.

    Atau buat appointment dengan Kak Fida kat mana2 yang sesuai.

    BalasPadam
  6. Salam bro Radzi. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman & cerita. Alhamdulillah setelah membaca buku2 bro & mengikuti blog ni, saya telah 2x ke Aceh. Memang menarik..

    BalasPadam
  7. Wassalam. Alhamdulillah kerana penulisan saya dapat memberi faedah kepada pembaca... :]

    BalasPadam