Isnin, Jun 20, 2011

Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Bermalam Tahun Baru di Kuala Besar

Sampai masanya untuk menamatkan cerita perjalanan hari ke-7 di Pantai Timur. Bersambung dari Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Chik Siti Wan Kembang dan Tuan Tabal.

Dari Banggol kami menyambung kembali perjalanan menghala ke Pantai Cahaya Bulan.


Tetapi gerak hati menyuruh saya mengambil simpang ke Kuala Besar terlebih dahulu... menuju ke kuala utama Sungai Kelantan.


Kenapa saya sebut kuala utama? Kerana kuala Sungai Kelantan sebenarnya 'terpecah-pecah' oleh delta iaitu bentuk pulau-pulau dalam lingkungan satu segi tiga besar yang membuka ke Laut Cina Selatan. Bahagian utara delta yang merupakan kuala sungai juga menghampiri Tumpat namun bahagian selatan delta iaitu di Kuala Besar lebih nyata berbentuk kuala sungai dengan keluasan yang setimpal, maka itu dipanggil Kuala Besar. Oh. Kami singgah makan petang di sebuah warung tepian jalan. Kalau tak salah ingatan ia terletak tidak jauh dari simpang.



Perjalanan diteruskan melepasi beberapa buah kampung.




Tidak lama kemudian sampai ke penghujung jalan besar yang menandakan masuk ke kawasan Kuala Besar.


Kami sampai hampir jam 7 petang. Terasa perlu mandi bertukar pakaian agar lebih segar. Kami pun singgah ke masjid terdekat. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Pantai Che Latiff di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ke hadapan sedikit kelihatan anak-anak kampung bermain di bahagian jalan kecil yang dilanda banjir. Entah daripada bila punya hujan...


Sementara isteri dan dua anak tertua mandi, saya yang sudah siap bertukar baju baru membawa anak kecil kami Al-Rasyid yang juga sudah selesai dimandikan berjalan ke kompleks perikanan Kuala Besar.



Di sini boleh kelihatan pemandangan menarik kuala Sungai Kelantan yang luas...


Rasyid pun seronok. Lihat artikel Revisiting Kuala Besar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Kemudian kami kembali ke masjid.




Solat Maghrib dan Isyaq di sini. Malah sempat makan jamuan bersama jemaah di serambi.




Namun entah kenapa isteri terasa tidak selesa duduk di jamuan. Walhal orang-orang masjid termasuk kaum perempuan asyik mengajak. Sementara saya makan dia dan anak-anak menunggu di kereta. Kami pun keluar jam 9.




Pergi ke Pantai Cahaya Bulan yang dahulu dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi. Kelihatan separuh jalan di hadapan pantai dilanda banjir.




Selepas makan malam kami berehat di tepian pantai dalam kegelapan malam...



Namun keadaan terasa begitu selesa dengan angin laut kuat begitu menyegarkan.






Jam 11 malam kami kembali ke masjid. Sebenarnya sebelum Maghrib timbul gerak hati agar kami bermalam di sini dan selepas solat saya pun mendapatkan kebenaran. Alhamdulillah orang masjid tiada masalah. Kalau ikut rancangan asal, petang itu kami harus 'memulangkan' dua anak tertua, Erin dan Haziq ke rumah bapa saudara mereka di Kota Bahru kerana Ahad nanti mereka akan naik sekolah. Selepas itu saya harus berlepas ke mana yang patut. Tetapi anak-anak mahu berjalan lebih lama bersama kami. Hmm. Apa salahnya. Gembira sungguh mereka apabila saya menyatakan akan bermalam di masjid bersama mereka.


Oh. Sudah disebut dalam artikel terdahulu bahawa hari itu Jumaat 31 Disember 2010. Maka malamnya adalah malam Sabtu dan tengah malam nanti masuklah 1 Januari, tahun baru 2011. Kalau ikutkan kami boleh turut menyambut perayaan bersama orang ramai di Pantai Cahaya Bulan. Tetapi rasanya lebih elok kami berehat mengumpul kekuatan untuk berjalan lagi esoknya, hari terakhir bersama anak-anak sebelum mereka dipulangkan lantaran tamatnya cuti sekolah panjang... :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan