Isnin, Mei 09, 2011

Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Menyusuri Sungai Golok hingga ke Rantau Panjang

OK. Kita selesaikan terus cerita untuk hari ketiga perjalanan. Bersambung dari Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Sekitar Tumpat ke Pengkalan Kubor.



Sampai ke Pengkalan Kubor saya terus memandu ke bangunan immigresyen.


Bukan apa. Mahu bawa anak dan isteri melihat Takbai yang terletak di selatan Thailand juga Sungai Golok yang menjadi sempadan antara negara. Di sini sungainya terletak berdekatan muara dan pemandangannya pun cantik. Lihat artikel Sungai (river of) Golok at Pengkalan Kubor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Lagipun menurut rancangan Cikgu Najib inilah laluan yang akan digunakan nanti untuk ke Patani. Katanya kami akan menaiki kereta seorang rakan tetapi anak dan isteri tak boleh ikut, boleh tinggal di rumahnya. Keadaan di selatan Thailand kebelakangan itu sangat gawat dengan pertempuran demi pertempuran antara para pejuang yang menyokong pembebasan wilayah Patani dengan polis dan tentera Thailand, sering ada orang mati ditembak atau terkena letupan bom.


Lalu kami cuma melihat-lihat di sekitar termasuk kawasan bebas cukai yang ternyata sudah tutup ketika itu. Maklumlah kami sampai ke Pengkalan Kubor pun dah masuk 6 petang. Ya. Sebelum memulakan perjalanan ke Pantai Timur pagi Krismas saya pernah merancang untuk membawa anak dan isteri naik berkereta masuk Thailand melalui Takbai naik singgah ke Patani (dahulunya merujuk kepada sebuah kerajaan besar hingga ke sempadan Kelantan, sekarang merujuk ke satu daerah sahaja utara dari Takbai). Perjalanan dirancang mahu dibuat hingga ke Songkhla sebelum turun ke Hatyai untuk kembali ke Malaysia samada melalui Perlis ataupun Kedah.

Tetapi atas nasihat Cikgu Najib yang katanya ada mendapat laporan perisikan pihak keselamatan negara kami terpaksa melupakan rancangan tersebut. Ini diubah dengan rancangan untuk masuk bersama Cikgu Najib dan seorang kenalan lelaki yang sudah biasa selok-belok tempatan di selatan Thailand, itupun kena tunggu masa yang sesuai untuk bergerak...


Oleh kerana tidak dapat membawa isteri dan anak-anak masuk ke Takbai saya ingin membawa pula mereka berjalan-jalan di Rantau Panjang. Saya diberitahu ada jalan baru ke sana yang menyusuri aliran Sungai Golok. Saya pun mencarinya...


Ternyata ia adalah sebuah jalan yang elok dan lebar, baru siap beberapa tahun lalu kalau tak salah ingatan. Saya ada melihat jalan yang sama melalui Google Earth. Tak tahulah gambar satelit yang dipaparkan adalah dari tahun berapa kerana kelihatan di dalamnya jalan belum diturap, masih tanah merah...


Menariknya anda boleh melihat Sungai Golok yang menjadi sempadan antara negara Malaysia dan Thailand sepanjang jalan. Itu yang membuat saya sanggup berhenti di beberapa tempat mengambil gambar. Ah... sekali lagi isteri dan anak-anak terpaksa bersabar dengan kerenah saya. Lihat artikel-artikel berikut...



Sesekali-sekala perjalanan melalui kawasan pendalaman dengan sedikit kampung-kampung ini, perjalanan yang perlu melepasi beberapa pos kawalan tentera dilambatkan oleh binatang seperti kerbau. Kami juga perlu meredah hujan. Nasib baik ketika itu tidak banjir. Walhal perjalanan ke Pantai Timur ini yang dimulakan pagi Krismas dibuat setelah banjir besar melanda Kelantan baru surut. Dan katanya ketika itu penduduk sedang bersiap-sedia menunggu kedatangan gelombang banjir kedua...


Kami sampai ke Rantau Panjang waktu Maghrib.


Kelihatan kompleks imigresyen untuk keluar masuk Thailand dengan bandar terdekatnya Golok dikenali ramai sebagai syurga dunia (atas sebab tertentu...) menjadi tumpuan ramai pengunjung terutama dari Malaysia. Sekurang-kurangnya di sini ada jambatan untuk menyeberangi Sungai Golok. Bolehlah membawa kereta terus masuk.


Tapi kami diberitahu keadaan di Golok, ancaman serangan bomnya lebih teruk berbanding Takbai dan laluan ke Patani. Kalau ikutkan memang nak bawak isteri dan anak-anak masuk tapi kena tunggu petunjuk. Biar dicari tempat untuk menginap dahulu di Rantau Panjang. Ternyata kedai-kedai di sini tutup cepat menjadikannya kelihatan seperti bandar koboi.


Kawasan stesyen teksi dan bas di pusat bandar Rantau Panjang.


Selepas mendapat tempat menginap, mandi dan solat kami keluar lalu terlihat satu bahagian Sungai Golok berdekatan...

Di sini kami dapat melihat orang-orang tempatan berulang-alik membawa barangan. Maklumlah walaupun ia sempadan antara dua negara hakikatnya penduduk di kedua belah tebing saling berjiran dan duduk sangat dekat. Di sini Sungai Golok lebarnya lebih kurang 30 meter sahaja, lebar sedikit dari bahagian Sungai Klang di sekitar Central Market hingga ke Masjid Jamek Kuala Lumpur (lebih kurang 20 meter, saya semak dengan program Google Earth). Melaung dari tebing belah Malaysia orang di tebing Thailand boleh dengar. Jadi logik le jika penduduk tempatan dibenarkan berulang-aling tanpa menggunakan paspot...

Daripada mereka yang berulang-alik inilah saya mendapat tahu keadaan di bandar Golok dikira terkawal. Ya. Memang ada kes letupan bom baru-baru itu yang katanya mengorbankan beberapa nyawa. Berbanding Takbai, Golok lebih teruk menjadi sasaran kerana ia adalah sarang maksiat yang menimbulkan kemarahan para pejuang Islam tempatan. Tapi ia bukanlah seteruk dan sekerap yang dinyatakan orang. "Kiranya kami boleh kata di Golok masih selamat untuk berjalan-jalan. Tapi kalau keluar dari Golok kami tidak boleh jamin," kata seorang dalam loghat Kelantan.


Selepas makan kami berjalan ke pinggir bandar. Kelihatan di sini adalah masjid baru dengan binaan berciri Cina yang dipanggil ramai sebagai Masjid Beijing. Insyaallah dalam artikel seterusnya siri ini akan dibentangkan gambar-gambar waktu siang malah gambar dari dalam menara azan yang sebenarnya cuma boleh dinaiki oleh pekerja khas yang menjaga bangunan.


Lewat malam selepas isteri dan anak-anak tidur saya terasa kehausan lalu turun mencari kedai minum. Ketika itulah tersedar ada sesuatu yang pelik tentang isi beg pinggang saya. Allah! Rupa-rupanya saya terbawa kunci masuk ke lubang kubur suluk berdekatan makam Tok Selehor! Sebaliknya yang 'dipulangkan' pada penjaga yang duduk di sebuah rumah kampung setengah kilometer dari lubang kubur adalah kunci rumah kami di Bandar Tasik Puteri. Rujuk artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Makam Tok Janggut, Kampung Laut dan masuk lubang kubur di makam Tok Selehor...

Adus! Pecah kepala. Ini bermakna nak tak nak nanti kami harus pergi ke kawasan sekolah pondok Tok Selehor sekali lagi. Kalau ikutkan hati yang rasa tak senang kerana ada memegang barangan milik orang, malam itu juga saya mahu ke sana. Tapi mana boleh? Dari Rantau Panjang ke sekolah pondok tu bukan selangkah dua. Laluan terdekat pun hampir 40 km jarak dengan kondisi jalan harus memakan masa satu jam perjalanan juga sedangkan saya sudah merancang selepas puas melihat Rantau Panjang (dan mungkin masuk sebentar ke Golok) akan membawa isteri dan anak-anak berjalan di beberapa tempat sehingga masuk ke Terengganu untuk menggantikan perjalanan Takbai-Patani-Songkhla-Hatyai yang asalnya dirancang untuk mereka tetapi tidak dapat ditunaikan.

Jadi bagaimana ini? Nanti kita cerita dalam artikel siri akan datang. Buat masa ini sempena selesainya penceritaan hari ketiga perjalanan saya akan memaparkan beberapa artikel selingan. Antaranya tentang perjalanan ke Singapura yang baru dibuat 9 hari lalu di mana esoknya saya mendapat maklumat bahawa keluarga sebelah ibu nasabnya sampai kepada Daeng Parani, saudara sulung anak-anak raja Bugis yang dikenali sebagai Daeng Lima Bersaudara (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi).


1 ulasan:

  1. Assalamualaikum En Radzi!

    Semoga anda sekeluarga akan lebih diberkati Allah dan dilimpahi rezeki yang melimpah ruah.... dan bersedekah la selalu..

    1)Nak sampai kt Pengkalan kubur tu singgah la ke jeti nelayan Pengkalan Kubur kat tepi sungai (sebelah kanan)... makan nasi goreng sotong..banyak betul sotongnya..

    2)Jalan Pengkalan Kubur ke Rantau Panjang tu saya sekeluarga lalu pada April 2010 ..masa tu baru nak turap...sangat cantik pemandangannya..Tapi disebelah Thai rumah2 org melayu kita sangat daif... lawan lagi PULO,BRN dan pejuang2 syahid yg lain!

    2)Sampai kt Rantau Panjang..naik la sampan pergi Golok.. tinggalkan IC kat Pondok askar Thai kt tebing sungai tu..hotelnya lebih baik dan murah..sewa motor 5 jam..pusing2 Golok...pekan besar la jugak..

    Opppp sory la panjang la cerita saya..sekali lagi terima kasih kpd awak sekeluarga krn berkongsi segala cerita ...dan moga di limpahi rezeki yg banyak dan agar awak dapat kembangkan jejak kembara keluarga ke Kepulauan Melayu pula...

    BalasPadam