Jumaat, Mei 14, 2010

Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Satu makam Sultan di Teluk Intan dan satu makam yang menjadi punca segalanya buat saya

Assalamualaikum semua. Sementara masih adalah satu setengah jam sebelum masuk bulan Jamadil Akhir ini biarlah disiapkan artikel penutup bagi siri ini. Bersambung dari Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan yang susah diziarahi di sekitar Pulau Besar.


Selepas hampir 2 jam meninggalkan anak dan isteri untuk menziarahi makam Sultan Shahabuddin dan Sultan Iskandar Zulkarnain saya pun kembali ke jeti.


Adapun selepas itu tinggal 3 sahaja makam yang perlu diziarahi... satu milik satu-satunya Sultan Perak yang tinggal dalam senarai iaitu Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah II di Teluk Intan, 2 lagi makam milik manusia yang dianggap keramat. Dua makam itu ialah makam Keramat Kuala Bidor, 6 km melalui jalan darat ke timur bandar (tak sampai 1 km kalau lalu sungai) dan makam Keramat Sungai Durian, 17 km melalui darat ke barat bandar.


Dari Kampung Bandar rasanya lebih dekat jika pergi terus ke makam Keramat Sungai Durian. Tetapi adab berziarah menghilir Sungai Perak menyebabkan saya harus berpatah-balik utara ke Pasir Salak sebelum menyeberangi sungai masuk ke Kampung Gajah. Kemudian turun selatan menghala ke Teluk Intan masuk ke Kampung Bahagia untuk menziarahi makam Keramat Kuala Bidor terlebih dahulu...

Adapun Keramat Kuala Bidor ini disebut sebagai orang yang sama dengan Nakhoda Hitam, Laksamana pertama Perak yang merupakan bapa mertua kepada Keramat Sungai Durian. Maka memang sesuailah sangat saya ke sini dahulu apalagi kajian peribadi saya menunjukkan beliau juga memiliki satu identiti lain, identiti yang menunjukkan beliau sebagai ayahanda kepada seorang Sultan malah beliau sendiri pernah menjadi Sultan! Lihat artikel Makam (Tomb of ) Keramat Kuala Bidor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Lagipun laluan ini membawa ke Teluk Intan. Cuma apabila sampai ke sana sekitar jam 6:45 petang keadaan lalulintas agak sesak dan melambatkan. Sedangkan masih ada 2 buah makam yang perlu diziarahi sebelum masuk waktu Maghrib.



Untuk mengelakkan kesesakan, saya secara spontan mengambil satu simpang ke kanan. Tak sangka pula ia membawa ke hadapan bekas istana Raja Muda yang sudah lama tidak digunakan...


Dari situ sudah dekat untuk ke Kampung Terengganu (dahulunya sebahagian dari Kampung Durian Sebatang) di mana terdapatnya makam Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah I (memerintah 1851-1857). Kami pun berziarah. Dengan ini cukuplah jumlah 28 makam Sultan Perak campur satu makam tanda diziarahi dalam tempoh 2 hari. Kini tinggal makam Keramat Sungai Durian 17 km melalui jalan darat (5 km sahaja jika boleh menembus terus air dan daratan) ke barat Teluk Intan.

Asalnya saya bercadang untuk singgah makan di hadapan menara condong. Maklumlah sejak jam 8 pagi tak makan apa-apa lagi, asyik alas perut dengan air sahaja. Tetapi ketika itu sudah masuk 7 petang dan saya perlu sampai ke makam Keramat Sungai Durian...

Kedudukan makam masih agak jauh selain terletak di dalam kawasan belukar yang agak sukar ditembusi. Saya pun bertanyakan isteri jika dia boleh tahan lapar sehingga segalanya selesai. Isteri saya mengangguk tersenyum. Saya pun meneruskan perjalanan.





Sekali-sekala kelembapan lalu-lintas membuat saya terasa amat gelisah.

Sambil itu saya terfikirkan hutan belukar dengan duri yang perlu diredah untuk sampai ke makam. Lihat artikel Latest visit to the tomb of Keramat (saintly figure of) Sungai Durian di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.






Dipendekkan cerita saya berjaya sampai ke makam Keramat Sungai Durian @ Toh atau Tok Jambu sebelum masuk Maghrib. Biarlah dimaklumkan bahawa watak inilah yang menjadi sebab utama saya berjalan ke Perak membawa isteri dan anak sehingga menziarahi kesemua 28 makam Sultan yang ada berserta sejumlah makam lain. Kajian peribadi yang menunjukkan beliau juga memiliki identiti lain yang lebih rapat dengan istanalah yang membuatkan saya teringin menziarahi makam seorang Sultan yang tak terfikir akan dijejaki. Alang-alang mahu ke makam Sultan di satu ceruk yang belum pernah diterokai, biar diziarahi sekali setiap makam Sultan...

Dahulu saya menyangkakan Keramat Kuala Bidor dan Nakhoda Hitam sebagai punca segalanya buat susur-galur keturunan saya. Namun penemuan seterusnya menunjukkan Nakhoda Hitam lebih kepada kerabat diraja Bugis sedangkan Keramat Sungai Durian lebih pada kerabat diraja Aceh. Apapun hajat untuk menziarahi makam-makam tertentu telahpun tertunai. Identiti alternatif Keramat Sungai Durian telah membuat saya terpanggil untuk memulakan perjalanan dan di makamnya juga saya secara rasmi menutup kembara.




Selesai ziarah ke makam Keramat Sungai Durian baru kami anak-beranak makan di tempat rehat bersebelahan jambatan. Setelah itu kami pergi kawasan pemakaman keluarga Laksamana di Batak Rabit untuk menziarahi makam keluarga terdekat...




Di masjid lama sebelah makam baru saya dapat mandi untuk menyegarkan badan. Setelah bersolat jamak Maghrib dan Isyaq kami pergi ke rumah seorang saudara, tengah malam baru kembali ke Lembah Kelang. Sekian penceritaan! :]

4 ulasan:

  1. Assallamualaikum,

    Kagumnya kakak.
    Akak baca setiap baris dan mengikuti perjalanan itu.
    Bangganya anak Malaysia.

    BalasPadam
  2. Waalaikussalam kak. Saya cuma menurut gerak naluri sahaja... :]

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum Tuan ni sorang kawan yg jumpa kat PWTC tu..ingat tak ttg pulau chermin yg sya tanya tuan tempoh hari..ikut salahsilah sya salah sorang abg kepada moyang sya landed ke mukim hulu teluk anson dlm abad 18-19 masehi..sya belum dapat menjejaki waris yg ada di teluk intan..tapi dah dpt clue..in shaa allah di izinkan...mungkin ada perkuburan yg ada kaitan dgn dgn waris2 ini.

    BalasPadam
  4. 💪Bangga dan terharu dengan usaha tuan.

    BalasPadam