Khamis, November 19, 2009

Buku-buku bergambar berdasarkan isi blogspots?

Buku-buku kecil yang pernah dibuat 2 tahun lalu, setiap satu berdasarkan satu artikel sahaja dari blogspot ini...

Assalamualaikum semua. Hari ini 19 November 2009 (ada 191, 19/11/2009, satu lagi nombor yang ada makna buat saya) bersamaan 1 Zulhijjah adalah tarikh yang sangat sesuai bagi saya menanam azam untuk menjayakan satu projek baru. Adapun 2-3 hari lepas saya telah mula mengumpulkan segala isi dalam blogspots saya untuk dimasukkan ke dalam file Word agar saya memiliki salinan sendiri. Maklumlah, setiap kali tergerak, saya menulis terus ke dalam blogspots. Jika sesuatu berlaku pada blogspots, tak ke naya?

Bayangkan, sejak mula membuka blogspots penghujung tahun 2006, saya telah menulis lebih 1300 artikel sendiri, berdasarkan pengalaman sebenar hidup yang dilalui, menggunakan hampir seratus peratus gambar-gambar yang juga diambil sendiri! Blogspot dwi-bahasa SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) baru sahaja cukup 300 artikel semalam, blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH masuk 408 lebih awal tadi sedangkan blogspot ini sudah mencapai jumlah 596 artikel tidak termasuk ini.

Artikel yang ditulis pula rata-rata boleh tahan panjang. Paling kurang pun ia memaparkan sejumlah gambar yang boleh memanjangkan cerita. Apabila dimasukkan ke dalam Word, tahukah apa yang terjadi? Isi SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) menjadi 1,559 mukasurat A4 cerita, BERPETUALANG KE ACEH menjadi 2,264 mukasurat sedangkan isi blogspot ini sendiri menjadi 3,520 mukasurat !

Dari segi kiraan perkataan pula, artikel-artikel di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) memiliki jumlah 146,427 perkataan, BERPETUALANG KE ACEH 327,050 dan blogspot ini 701,628! Maka lebih 1,300 artikel yang telah ditulis di blogspots setakat ini membentuk jumlah keseluruhan 7343 mukasurat A4 cerita bergambar dengan 1,175,105 perkataan. Ya, lebih sejuta perkataan tanpa perlu lagi mengira ruang mahupun kesan yang mampu dibuat gambar-gambar. Bandingkan dengan buku "Ahlul dan Raja-raja Melayu" yang pernah saya terjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dahulu. Ia memiliki 142,218 perkataan yang dapat mengisi 497 halaman buku sebesar kertas A4. Sedangkan jumlah perkataan dalam blogspots saya kini bersamaan lebih 8 kali isi buku itu...

Tidak dinafikan bukan semua isi dalam blospots saya layak dijadikan buku. Ada bahan yang berulang-ulang, ada juga bahan yang dipinjam dari sumber-sumber lain selain sebahagian isi penulisan yang mungkin kurang memberangsangkan. Tetapi secara rata ia tetap dibuat berdasarkan pengalaman sendiri, satu faktor kuat yang boleh mengenepikan seribu macam cerita yang dibuat semata-mata berdasarkan khayalan dan angan-angan semata.

Katakanlah... katakanlah jika hasil nukilan saya itu 90 peratus 'taik'... masih lagi ada 10 peratus bersamaan 734 mukasurat A4 yang layak dijadikan isi buku bermutu bukan? Apapun, ini adalah ilham dan gerak kerja yang tercetus setelah menyedari fakta-fakta ini. Buat masa ini saya agak sibuk dengan proses penulisan 2 buah buku, satu bakal diterbitkan sendiri satu lagi buku mewah terbitan pihak lain. Selain itu saya harus melayan kerenah anak yang baru lahir. Seterusnya saya diharap agar dapat menulis sebuah buku berbentuk biografi untuk seorang tokoh tertentu.

InsyaAllah selepas atau di celah-celah itu saya akan cuba membuat buku-buku baru berdasarkan isi blogspots ini. Dengan mengolah-balik, menambah-baik dan mengubah yang patut (ya lah takkan dalam buku kertas pun nak ada hyperlink?), rasanya sudah cukup untuk membentuk sekurang-kurangnya buku-buku kecil yang boleh dijadikan bersiri... misalnya koleksi perjalanan di Aceh, masjid-masjid dan makam di negeri Perak, diikuti di Terengganu dan sebagainya. Sekian, selamat malam!

Nota kaki (dibuat selepas tamat perjalanan yang memakan jarak lebih 1,800 km, Ahad 29/12/2009): Nak masuk Hari Raya Aidil Adha baru saya tersedar 19/11/2009 adalah bersamaan 2 Zulhijjah. Harap maklum...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan