Selasa, Julai 28, 2009

Makam Keramat Kuala Bidor, Marhum Durian Sebatang dan sekitar Teluk Intan...

Dari makam Raja Ahmad, saya dan isteri menghala kembali ke Teluk Intan untuk memasuki satu kawasan di Kampung Bahagia...


Di sini terdapat makam watak legenda yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor...

Adapun kisah mengenai Keramat Kuala Bidor sudah banyak kali disebut di blogspot ini. Jadi tak perlulah dipanjangkan. Keadaan sekitar makam pula sama seperti ketika lain-lain lawatan sebelumnya. Yang berbeza cuma perigi lama berdekatan makam telah diletak tembok batu ini...


Saya tak berapa tahu cerita mengenai perigi ini. Apa yang saya ingat, ia tidak pernah kering. Dan kalau tak salah ingatan ada ular putih besar menjaganya dahulukala...



Bertafakur sebentar di makam Keramat Kuala Bidor, kemudian baru kami beredar untuk kembali ke bandar Teluk Intan.



Sampai di pinggir bandar, kami singgah sebentar di bekas istana Raja Muda Perak. Nampaknya ia tetap terbiar seperti dahulu. Sila lihat artikel lama Istana Raja Muda (The regent's palace), Teluk Intan, Perak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) yang dibuat hampir 2 tahun lalu .

Seperti biasa, apabila berada di Teluk Intan saya mesti menziarahi makam Marhum Durian Sebatang @ Sultan Abdullah Muhammad Shah I, Sultan ke 22 Perak.

Ternyata makam ini juga masih teruk bersemak seperti pernah saya lihat beberapa kali dalam tempoh 2 tahun kebelakangan malah nampaknya lebih teruk lagi!


Dalam pada itu, isteri saya pula yang tergerak untuk membersihkannya. Kami pun bersama-sama bergotong-royong melakukannya. Saya cuba menggunakan parang yang ada dalam kereta... tumpullah pulak sedangkan batang pokok-pokok ini liat. Boleh le menebas sedikit-sebanyak tetapi rupa-rupanya lebih senang mematahkan lalu mencabut pokok-pokok kecil dengan tangan sahaja. Dapat juga sedikit sebanyak menerangkan kawasan ini...



Nah. Cukuplah membersihkannya setakat ini. Kami pun perlu berjalan jauh lagi. Cuma saya pelik sedikit. Dalam hal menerangkan kubur ini, isteri saya kelihatan lebih bertenaga. Apakah kerana ada pengaruh baby dalam perut?









Selepas itu baru kami pergi berehat makan tengahari di tengah bandar, di kawasan gerai berhadapan menara condong. Makan tengahari pun dah dekat jam 4 petang, selepas ini ada beberapa tempat lagi yang perlu disinggahi...


Selesai makan baru kami singgah ke masjid lama di Batak Rabit. Walaupun malam sebelumnya kami telah bermalam di rumah saudara yang terletak berdekatan, lepas jam 4.30 petang hari Ahad baru kami singgah...



Rupa-rupanya ada hikmah kami pergi kemudian. Adapun semasa membersihkan makam Sultan Abdullah I di Kampung Durian Sebatang, kami sempat berkenalan dengan orang di rumah sebelah makam. Cerita punya cerita, rupa-rupanya tuan punya rumah adalah sepupu ayah saya! Masyaallah...

Daripadanya baru saya tahu, seorang sepupu mereka, kiranya antara sepupu ayah yang lebih saya kenali baru sahaja meninggal Isnin sebelum itu. Lalu jenazahnya dibawa dari tempat tinggalnya di Selayang, pinggir bandaraya Kuala Lumpur kembali ke kampung di Batak Rabit untuk disemadikan di kawasan pemakaman keluarga di sebelah masjid lama. Dapatlah saya menziarahi makamnya selain menziarahi makam datuk dan moyang juga saudara-mara saya yang lain. Cukup untuk bahagian cerita ini...


1 ulasan:

  1. kerajaan negeri tak jaga ke Makam Raja ni. Takde keprihatinan ke dorg ni.

    BalasPadam