Rabu, Mac 25, 2009

Dari atas highway Karak hingga ke Pulau Tawar... singgah sebentar ke makam Mat Kilau

Alhamdulillah... dapat juga mengagih-agihkan sejumlah gambar untuk membentuk 3 artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 2 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sekarang bolehlah saya mengolah cerita tentang perjalanan ke Jengka baru-baru ini di sini pula. Mari...


Petang Jumaat 13 Mac (hmm... Friday the thirteenth rupanya...) saya dan isteri bergegas meninggalkan Kuala Lumpur. Setelah menikmati masakan Minang di sekitar Greenwood, Gombak, timbul rasa untuk mengambil jalan lama ke Pahang lalu dapat menikmati pemandangan sebegini. Sila lihat artikel Views from above the Karak highway yang baru dibuat di BERPETUALANG KE ACEH tadi...


Dipendekkan cerita, kami bermalam di rumah almarhum Nenek di Raub. Esoknya selepas menikmati masakan gulai ikan sembilang (ke ikan keli? kadang-kadang saya pun tak pasti yang mana ikan ini yang mana ikan itu) di Simpang Kallang, kami pun mengambil jalan ke Kuala Lipis. Singgah sebentar di bandar itu, teringin pula melihat kuala sungai Lipis yang bertemu Sungai Jelai. Sila lihat artikel The mouth of the Lipis river... the place where Kuala Lipis began.


Kemudian kami mengorak langkah ke Jerantut. Singgah sebentar di Kuala Tembeling, pintu masuk ke Taman Negara. Sila lihat artikel Kuala Tembeling, the doorway to Taman Negara....


Seterusnya kami singgah ke pekan Jerantut, sempat membeli bantal kekabu murah. Dari sana kami mengambil jalan menyeberang Sungai Pahang yang dikenali sebagai Jerantut Ferry untuk menghala ke Jengka. Memandangkan jalan ke Pulau Tawar, tempat almarhum pahlawan Mat Kilau terletak tidak jauh dari perjalanan ini, kami pun singgah lalu menziarahi makam beliau. Sila lihat artikel Makam (tomb of) Mat Kilau... di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Oh... pada satu bangunan wakaf di luar makam terdapat di dindingnya satu tanda-tangan besar dengan nama Adiputra tertera serta tarikh berserta tahun 2008. Lupa pula mahu mengambil gambar... rasanya mungkin Adiputra kanak-kanak Melayu yang dikenali sebagai genius itu. Saya pernah berjumpa dengannya serta berbual panjang dengan kedua ibu bapanya... saya tahu Adiputra suka menziarahi makam-makam lama terutama makam para wali.

Apa yang menarik, di sekitar belakang makam kelihatan banyak kerbau-kerbau yang kelihatan liar. Tiba-tiba teringat cerita raja Merah Silu @ Sultan Malikus Salih di Aceh lebih 700 tahun lalu... kerana baginda diketahui suka menangkap dan membela kerbau-kerbau liar. Terfikir pula mungkin Mat Kilau ada kena-mengena. Hmm... hehe! :]


Hujan mula turun gerimis ketika saya meninggalkan Mat Kilau. Kami singgah pula ke masjid jamek Pulau Tawar di mana hujan mula bertukar lebat. Selepas bersolat jamak Zuhur dan Asar, timbul rasa sesuatu tentang masjid ini. Lihat nukilan yang terkeluar melalui artikel Masjid jamek (main mosque of) Pulau Tawar, Pahang tadi.


Kami meninggalkan masjid dalam hujan masih lebat. Ada satu perkara lagi yang terasa tidak puas hati, saya belum melihat Sungai Pahang dari sebelah sini. Nasib baik kami terlihat sebuah masjid lain yang terletak betul-betul di tepian sungai. Dapatlah mengambil gambar ini sambil mengelak hujan. Sekian... nanti akan disambung penceritaan dengan meletakkan gambar-gambar di Gua Kota Gelanggi, rasanya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dahulu ya. Selamat malam! :]


p/s: Ini adalah posting yang ke 474 di sini. Tengahari tadi seorang rakan lama saya, saudara Siza yang baru ditemui kembali sebulan lalu setelah lebih 20 tahun tidak bersua muka dan bertanya khabar berita menalifon mencadangkan agar saya mengambil tempat menjual buku di sekitar PWTC sempena perhimpuan UMNO minggu ini. Saya keberatan kerana menyampah dengan dunia politik. Lagipun saya kurang sihat beberapa hari ini. Entah kenapa bahagian dada dan belakang terasa sakit amat seperti ketika baru jatuh terhempas dari ketinggian lebih 8 kaki sambil dihempap sebatang pokok yang patah di Tanjung Emas, Muar lebih setahun lalu, baru semalam terasa ada sedikit kelegaan yang menyenangkan.

Tetapi kata Siza ini tidak perlu melibatkan politik, ramai orang ada menjual buku di kaki lima. Isteri turut mencadangkan perkara yang sama kerana katanya inilah peluang baik untuk menyatakan perjuangan tentang Melayu Islam dan mengingatkan mereka yang lupa, tak perlu mempedulikan jika ada pihak lain sekadar pandai bertopeng melaung-laungkan semangat muluk sedangkan mereka cuma pandai beretorik sambil menjual agama, bangsa dan negara demi meraih kekuasaan dan menaikkan diri sendiri.

Maka itu jika tiada aral melintang, saya dan motosikal besar saya akan 'menempel' di mana-mana tempat yang sesuai bersama poster dan siri buku "Berpetualang ke Aceh". Untuk mereka yang ingin bertemu, silakan mencari... saya pun tak tahu lagi belah mana. Silap-silap harus sentiasa bergerak untuk melarikan diri, hehe! Untuk mereka yang ingin bertemu dalam suasana lebih formal dan terjamin keharmoniannya, insyaallah saya akan muncul bersama penerbit buku Karnadya pada majlis pelancaran beberapa buah buku termasuk buku masjid nukilan saya, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009, pada jam 3 petang 20 April...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan