Selasa, Ogos 19, 2008

Laporan ringkas perjalanan terbaru ke Perak... Meriah woo tapi penat!


Gambar makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin seperti yang tertera dalam artikel In Perak's royal mausoleum to give justice to Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang dibuat setengah tahun lalu . Tiada beza dengan gambar yang diambil dalam lawatan terbaru Ahad lalu sempena perjalanan keliling Perak kecuali kini terdapat satu papan kecil tertera nama Laksamana dalam tulisan Rumi...

Assalamualaikum dan alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan bahawa perjalanan terbaru ke Perak yang dilakukan sambil membuat klip video hujung minggu ini telah selamat selesai dengan penyertaan ramai juga warga setia blogspot ini. Maka di sini biar diberi sedikit laporan ringkas ya... Ringkas kerana saya sebenarnya belum kembali ke rumah lagi kerana bermalam di pinggiran Lembah Kelang sedangkan selepas ini, saya kembali pun cuma dapat berehat sebentar sebelum harus bersiap untuk pergi ke rumah seorang ibu saudara... Esok, saya perlu menjadi supir membawa kereta untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Jitra, Kedah...

Rasanya paling cepat saya boleh membuat apa-apa bentuk ulasan lebih panjang mungkin hujung minggu ini, silap-silap minggu depan! Begitu juga paparan klip-klip video yang ambil... Perlu di edit sedikit, ambil sedutan mana yang patut kerana jumlah keseluruhan rakaman menjangkau 4 jam! Mana nak letak semua woo? Rasanya kena pilih yang sesuai. Itupun satu kerja tu... Nak potong pun satu hal. Rasanya untuk rakaman video lengkap, perlu dapatkan DVD ringkas yang kami akan buat dan jual nanti ya! Sementara itu dipersilakan mereka-mereka yang turut serta untuk membuat posting-posting berkenaan di blogspot sendiri. Tak apa... Tak perlu tunggu saya. (Saya dah lihat http://radencilik.blogspot.com/. Tahniah... Ada gambar-gambar yang cantik).

OK... Ini cerita ringkas perjalanan ya...

Saudara Zaidi @ PerpatihTulus yang bertindak sebagai cameraman rasmi datang mengambil saya di Kajang selepas jam 8.30 pagi. Kami pun berkejar ke hadapan stesyen bas Pekiling di pusat bandaraya Kuala Lumpur untuk mengambil seorang lagi peserta dan warga setia blogspot ini, saudara Dong lalu masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui Jalan Duta. Sampai ke persimpangan Tanjung Malim, kami keluar dari lebuhraya. Singgah sebentar mengambil berkat di Masjid Sheikh Ismail, Ulu Bernam, Selangor sebelum bergerak 200 meter sahaja ke hadapan untuk ke jambatan menyeberangi Sungai Bernam yang menjadi sempadan negeri sebelum masuk ke Tanjung Malim, Perak.

Seterusnya kami singgah di hadapan (hadapan saja, tak masuk pun), masjid jamek lama Tanjung Malim sebelum berhenti di hadapan UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) sebelum terus menyusuri jalan lama untuk ke Teluk Intan. Dalam perjalanan, kami singgah di masjid lama Sungkai setelah tergerak untuk masuk ke kawasan Kampung Changkat Sulaiman, sebelum masuk balik ke jalan utama untuk ke Teluk Intan melalui Bidor.

Apapun, kami sampai di Teluk Intan sekitar jam 1.45 tengahari begitu, terus menuju ke masjid lama Kampung Batak Rabit. Semasa menunaikan solat Zuhur dan Asar, muncul seorang lagi peserta iaitu saudara Zam yang bekerja di Shah Alam tetapi kembali ke kampungnya di Chenderong Balai, 20km dari Teluk Intan untuk menghadiri satu majlis keluarga. Di situ kami mendapat berita saudara RadenCilik dan seorang anak buahnya juga mahu turut sama tetapi baru berlepas dari Kuala Selangor kerana ada masalah teknikal. Kebetulan pula saudari Anggun dan 2 orang anaknya dalam perjalanan ke Sabak Bernam untuk menghadiri satu majlis perkahwinan. Oleh kerana Sabak Bernam terletak cuma 35km sahaja daripada Teluk Intan, tanpa dirancang dia pun turut serta bersaing dengan RadenCilik untuk ke Batak Rabit sementara saya, PerpatihTulus, Dong dan Zam makan.

Dipendekkan cerita mereka sampai waktu Asar, sempat bersolat jemaah sebelum perjalanan sebenar dimulakan. Maka sekitar jam 5 petang, selepas membuat klip video di hadapan masjid dan kawasan pemakaman keluarga Laksamana Raja Mahkota di sebelah, kami pun bergegas ke Teluk Intan.

Hmm... Panjang juga cerita 'ringkas' ni... Tapi kalau diringkaskan lagi, takut hilang langsung pula rasa mood pengembaraan. Ah... Bantai aje lah! :]

Kami singgah ke Menara Condong Teluk Intan sebelum pergi ke makam Sultan Perak ke 22, Sultan Abdullah Muhammad Shah I di Durian Sebatang. Kemudian ke makam Keramat Kuala Bidor di Kampung Bahagia sebelum masuk ke kawasan "jin bertendang" untuk ke masjid lama (seperti terpapar dalam posting Perjalanan ke Perak hujung minggu ini... Mari bersiap-sedia memeriahkannya! , juga di http://radencilik.blogspot.com/ baru tadi) di Teluk Memali, makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah dan kawasan perkuburan J.W.W. Birch masuk waktu Maghrib. Kemudian kami menziarahi makam Raja Ahmad (lihat side-bar kanan blogspot) waktu malam sebelum berehat dan bermalam di masjid jamek baru Kampung Gajah, Masjid Sultan Azlan Shah sementara Zam balik ke Chenderong Balai dan Anggun dan anak-anaknya ke kampung di Banting, Selangor.

Esoknya saya, PerpatihTulus, Dong, RadenCilik dan anak buahnya pergi ke rumah Zam untuk menyimpan kereta Raden yang ada masalah sedikit. Lalu perjalanan disambung dengan kami berlima (Zam tak ikut kerana ada majlis) naik kereta PerpatihTulus menghala kembali ke Kampung Gajah, singgah sebentar di Pulau Juar untuk menziarahi makam Sultan ke 23 Perak, Sultan Jaafar. Selesai itu baru ke Kampung Gajah balik untuk menyeberang Sungai Perak ke Pasir Salak. Jalan-jalan sebentar di sekitar Kampung Bandar Tua sebelum melihat kesan sejarah di Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Selesai itu, kami memulakan perjalanan ke Taiping untuk ke Kota Ngah Ibrahim. Dalam perjalanan, singgah di Muzium Beruas sebelum ke Kampung Kota melawat makam Raja-raja Beruas dan berhenti berehat di masjid Kampung Kota. Hujan yang turun lebat mengganggu sedikit perjalanan. Apabila sampai ke Kota Ngah Ibrahim, ngam-ngam jam 5 petang... Ternyata kota yang telah dijadikan muzium itu telah tutup tetapi dengan kuasa Allah, penjaganya yang baru sahaja hendak menunggang motosikal keluar sanggup membukanya kembali untuk rombongan kami!

Seterusnya kami ke pusat bandar Taiping dengan niat nak makam kuey teoy Doli... Dah, kedai tu pula sibuk sampai tak cukup meja dan ramai orang menunggu, maka kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, bandar diraja Kuala Kangsar. Singgah di Bukit Berapit baru kami makan tengahari (makan tengahari hapa... Dah jam 6.15 petang gitu!), sampai di makam Sheikh Abdul Qadir (lihat Makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Kuala Kangsar, Perak?) jam 7 di mana saudara Badrul @ Wak Tempe dari Ipoh dan Syahir @ Ultraman dari Sungai Siput sedia menunggu. Alhamdulillah sempat pula kami masuk ke makam diraja untuk menziarahi makam Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah Muhammad Shah I dan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang sama-sama pernah dibuang ke Pulau Seychelles akibat terlibat dalam pembunuhan Birch 1875.

Malam itu kami bersolat di Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan dengan perasan yang amat lega. Di situ juga saya ditegur saudara Raizul yang baru dikenali melalui talifon beberapa hari sebelum itu... Asalnya Raizul yang bekerja di Petaling Jaya mahu bertemu saya di Kuala Lumpur Isnin (hari ini) atau Selasa. Siapa sangka boleh bertemu di Bukit Chandan pula ! Rupa.-rupanya dia dalam perjalanan untuk kembali ke KL dari kampung di Taiping bersama dua orang saudara.

Kami semua pun membuat perjalanan tambahan, pergi ke makam Daeng Selili di Kampung Padang Changkat dengan menggunakan lampu kereta sebagai penyuluh makam... Meriah! Sempat singgah ke rumah Pak Mazin, seorang pandai besi dan tukang membuat keris yang terkenal sebelum ke makam kemudian Wak Tempe dan Ultraman harus berlepas kerana ada hal lain.

Seterusnya kami kembali ke makam Sheikh Abdul Qadir sebelum ke makam Tok Temong di Kampung Temong lalu melihat batu tanda Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah di dalam masjid Kota Lama Kanan, tempat baginda dikatakan ghaib ketika bersolat Jumaat... Sempat juga ke makam Sultan ke 24 Perak, Sultan Ali di Sayong Tengah dan makam Sultan ke 27 Perak, Sultan Yusuf di sebelah masjid Sayong di mana rombongan Raizul berpecah untuk kembali ke KL, saya, PerpatihTulus, Dong, RadenCilik dan anak buahnya menghala ke Chenderong Balai.

Oleh kerana perjalanan ke Chenderong Balai itu melalui Bota Kanan, kami singgah sebentar ke makam Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III. Malam itu hampir jam 1, baru RadenCilik dan anak buahnya berpecah menaiki kereta sendiri kembali ke Kuala Selangor, tinggal saya, PerpatihTulus dan Dong pergi bermalam di masjid Kampung Bahagia sebelum kembali ke Kuala Lumpur hari Isnin (semalam), sempat singgah di Sungkai.

OK. Rasanya itu sahaja ya... Boleh tahan panjang pula laporan 'ringkas' ini sedangkan saya harus kembali ke rumah untuk berehat sebentar sebelum bersiap untuk ke Jitra, Kedah. Selamat! :]