Rabu, Disember 24, 2008

Projek buku masjid - akhirnya, cukup tujuh wali...

Assalamualaikum. Seperti dijanjikan dalam artikel Projek buku masjid - perjalanan terbaru ke utara... yang dibuat 2 hari lalu, mari dimulakan cerita...

Dalam perjalanan terakhir saya ke Kedah yang dibuat beberapa bulan lalu untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Jitra (sila lihat artikel Lawatan ke Jitra, penceritaan perjalanan terbaru Perak dan apa-apa perkara yang muncul ), saya telah lalu ke kawasan Titi Gajah ketika mahu kembali ke Kuala Lumpur melalui Alor Setar. Terus saya teringat dalam sebuah buku bertajuk "7 Wali Melayu" bahawa terdapat seorang ulamak bertaraf wali yang dikenali sebagai Tuan Hussein Kedah @ Tuan Hussein Al-Banjari yang katanya dimakamkan di Titi Gajah.

Adapun buku ini menyenaraikan tujuh orang ulamak besar bertaraf wali yang menyinari Tanah Melayu penghujung abad ke 19 hingga ke 20. Selain Tuan Hussein, mereka yang disenaraikan adalah Habib Nuh di Singapura, Tuan Tulis dan Sheikh Muhammad Said Linggi di Negeri Sembilan, Tok Ku Paloh di Terengganu, Tok Kenali di Kelantan dan Sheikh Muhammad Nur di Selangor. Sejak saya sibuk mengkaji salasilah keluarga bermula penghujung 2001, saya sudah beberapa kali menziarahi makam Tuan Tulis, Sheikh Muhammad Said, Tok Ku Paloh, Tok Kenali dan Sheikh Muhammad Nur sedangkan makam Habib Nuh dikunjungi 2-3 kali dalam satu sesi lawatan tak disangka ke Singapura penghujung 2006. Untuk melihat cerita berkaitan, sila buat search mana-mana nama ini di ruangan kiri teratas blogspot ini.

Dalam perjalanan dari Jitra ke Alor Setar beberapa bulan lepas dan apabila terlihat papan-tanda menyebut nama tempat Titi Gajah, timbul rasa ingin menziarahi makam Tuan Hussein pula. Tetapi ketika itu saya membawa ahli keluarga yang ingin kembali ke Kuala Lumpur secepat mungkin, jadi tak dapatlah singgah mencarinya.

Hujung minggu baru-baru ini baru saya berpeluang menziarahi makam itu. Dalam perjalanan dari Jitra ke Alor Setar, sekali lagi saya mengambil jalan yang sama, lalu di tepian lapangan terbang. Nampak papan-tanda Titi Gajah terus saya masuk ke tepian kampung dan bertanyakan orang. Rupa-rupanya memang ada sebuah masjid diberi nama Masjid Tuan Hussein Titi Gajah, satu lagi nama panggilan bagi ulamak besar ini.

Saya diberitahu bahawa makam Tuan Hussein terletak di belakang ini. Tetapi apabila masuk ke dalam, kelihatan begitu banyak kubur-kubur, tiada pula diletak apa-apa papan-tanda, batu peringatan atau apa-apa bentuk lain yang jelas kelihatan menandakan makam orang penting seperti biasa dilihat di kebanyakan tempat.

Yang sedikit terserlah adalah sepasang batu nesan bercat kuning ini. Tetapi saya lihat di bahagian lain kawasan perkuburan ini juga terdapat sepasang lagi batu nesan bercat kuning.

Walaupun ada gerakan hati yang menyatakan inilah makam yang dicari, logik akal saya pula menyuruh agar bertanyakan orang sekeliling.



Oh... untuk makluman, Sheikh Hussein ada seorang pelopor besar sistem persekolahan pondok di Kedah dan menjadi rujukan masyarakat mahupun istana dalam hal-hal agama. Beliau dikatakan berasal dari keturunan ulamak besar yang juga bertaraf wali, Sheikh Muhammad Arshad Al-Banjari. Tetapi seingat saya, ada percubaan untuk memperkecilkan kredibiliti beliau apabila ulamak ini tidak bersetuju untuk mengeluarkan fatwa yang menghalalkan beberapa perkara.

Antaranya adalah menghalalkan pelbagai bentuk instrumen pelaburan yang kini sudah menjadi perkara biasa akibat 'dihalalkan' pelbagai ulamak suk atau ulamak cari makan. Sedangkan dahulu ia amat dipersoalkan para ulamak yang masih berpegang kuat pada cara lama kerana instrumen yang dimaksudkan mengandungi unsur-unsur riba' yang cuba dihalalkan melalui hujah-hujah Fiqah yang kelihatan logik menepati kehendak Syariat tetapi batinnya ternyata dusta.



Walaupun batu nesan ini terang-terang menunjukkan nama Tuan Hussein, saya tetap pergi lagi mencari orang untuk memastikan kedudukan makam Tuan Hussein yang dicari. Akhirnya baru saya dapat kepastian dan baliklah saya ke makam ini.

Dengan ini cukuplah saya telah menziarahi makam ketujuh-tujuh wali yang disenaraikan dalam buku "7 Wali Melayu". Lebih menarik, isteri saya dapat turut sama menziarahi.

Saya juga pernah diberitahu bahawa ulamak moden yang banyak menulis buku-buku sendiri serta artikel-artikel dengan ulamak silam di dada-dada akhbar, Ustaz Wan Mohd Saghir turut dimakamkan di sini. Tetapi saya tidak sempat mencarinya kerana perlu berkejar untuk membuat kerja. Apapun, Al-Fatihah untuk mereka dan semua yang memperjuangkan Islam...

2 ulasan:

  1. Menurut cerita bapa saya,anak kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Tuan Guru Ahmad Tuan Hussin adalah merupakan antara 3 tokoh yg menetapkan tarikh kemerdekaan Negara.Tunku tidak memberitahu apa yg diberitahu oleh antara 3 orang ini kepada yg lain tetapi tarikh yg dinyatakan adalah sama iaitu 31 ogos.Dua orang lagi ialah Haji Abdullah Fahim dan seorang Imam dari Kuala Kedah yg tak dapat dipastikan namanya.

    BalasPadam
  2. Ustaz Wan Mohd Saghir dimakamkan berdekatan dengan Almarhum Pak Chu Him Gajah Mati, Pendang, Kedah...

    BalasPadam