Sabtu, November 22, 2008

Projek buku masjid - Terengganu dalam kurang 24 jam

OK. Sekarang baru boleh dihuraikan lebih teliti cerita perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang dibuat hujung minggu lalu... dalam kerangka kerja untuk menerbitkan sebuah buku mewah atau cofee-table book mengenai masjid-masjid di Malaysia. Mari...

Ini adalah Pulau Kapas, kelihatan daripada tepian jalan di satu kawasan sekitar daerah Marang, Terengganu. Oleh kerana jurugambar Shamsul Yunos cuma ada masa yang terhad untuk keluar mengembara dalam projek ini sedangkan belanjawan projek juga memerlukan kami berdikit-dikit berbelanja selain bijak merancang arah perjalanan dan masjid-masjid yang ingin diketengahkan, saya membuat keputusan agar kami pergi terus ke Kuala Terengganu sebelum naik ke Kota Bahru, Kelantan. Kemudian baru kembali ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang, masuk melalui Kuala Lipis, Pahang seterusnya ke Raub untuk mengambil gambar masjid-masjid yang boleh dikatakan mewakili negeri Pahang.

Kami bertolak dari Kuala Lumpur sebaik sahaja masuk tengah malam, Sabtu 15 haribulan. Setelah keluar semalaman bersama orang tersayang, saya ke stesyen minyak Caltex di Jalan Ipoh, tempat yang dijanjikan untuk bertemu dengan Shamsul.

Shamsul muncul lebih kurang setengah jam kemudian. Asalnya dia merancang untuk membawa isteri dan 3 orang anak paling besar bersama (Shamsul memiliki 6 orang anak, 3 daripadanya kembar yang baru dilahirkan awal tahun ini kalau tak salah ingatan). Sebaliknya dia muncul bersama 2 orang anak paling besar sahaja. Mungkin kerana tidak dapat kereta yang lebih besar untuk dipandu-uji? Untuk makluman, Shamsul juga adalah seorang auto-journalist atau wartawan permotoran...

Kami pun meninggalkan Kuala Lumpur, masuk ke lebuhraya Karak terus ke lebuhraya Kuantan. Kami cuma berhenti berehat di sekitar Maran untuk tidur sebentar... Sekitar jam 3 pagi begitu baru perjalanan disambung terus ke Terengganu.


Ini adalah jalan di sekitar Marang di mana kami berhenti untuk sarapan. Sebelum itu, perjalanan disambung terus dari Maran, sehingga ke kawasan loji penapisan minyak dan gas di Kertih, di mana Shamsul ternyata sudah tidak tahan lagi memandu kerana kepenatan dan mahu tidur lalu saya mengambil alih sebentar. Sampai di kawasan ini dan selesai sarapan pagi baru Shamsul memandu kembali...

Kami terus masuk ke daerah Kuala Terengganu untuk menziarahi masjid pilihan pertama dalam perjalanan ke Pantai Timur ini, Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai, juga dikenali sebagai masjid terapung. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) semalam.

Adapun dalam perjalanan sebelum itu saya ada memberitahu Shamsul bahawa jika kami dapat menyelesaikan ziarah serta mengambil gambar di masjid-masjid terpilih di Terengganu dalam tempoh masa yang sesuai, maka saya ingin membuat ziarah ke makam Tok Pulau Manis selepas itu. Tetapi sebaik sahaja selesai mengambil gambar di masjid terapung, Shamsul pula mencadangkan agar kami terus pergi ke makam itu. Katanya tiada gunanya sibuk mengambil gambar masjid-masjid buat masa ini kerana cuaca sedang mendung. Maka eloklah diselesaikan dahulu hajat di hati...


Kami pun pergi ke makam Tok Pulau Manis... dengan memotong jalan dari Kuala Ibai masuk ke Bukit Payung untuk ke lokasinya di Kampung Pulau Manis, sekitar 25km ke barat-daya bandaraya Kuala Terengganu. Semalam, ketika mahu memulakan penulisan tentang semua ini seraya memilih gambar-gambar yang sesuai untuk diagih-agihkan ke ketiga-tiga blogspots saya, baru saya tersedar bahawa saya tidak pernah membuat apa-apa posting tentang makam ini di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Sebaliknya cerita berkaitan Tok Pulau Manis ada disebut sekurang-kurangnya 2 kali dalam blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH , dalam artikel From Kuala Berang to Pulau Manis... dan Enter Tok Pulau Manis . Dalam blogspot ini pula ia telah disebut beberapa kali. Tetapi untuk cerita yang lebih khusus, sila baca artikel Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17...

Apapun, semalam telah dibuat satu cerita pendek tentang ulamak besar Terengganu bertaraf wali ini untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pula. Sila lihat artikel Makam (tomb of) Tok Pulau Manis...

Selesai ziarah ke makam Tok Pulau Manis, kami pun menghala ke bandaraya Kuala Terengganu. Kami sengaja mengambil jalan kampung paling dekat menyusur tepian Sungai Terengganu. Dapatlah melihat sebentar bagaimana pasir sungai dikorek keluar untuk dijadikan bahan binaan...

Adapun dalam rancangan asal perjalanan, masjid yang sepatutnya diziarahi selepas masjid terapung di Kuala Ibai ialah Masjid Abidin di tengah bandaraya Kuala Terengganu. Tetapi disebabkan kami telah mengambil jalan lain untuk ke makam Tok Pulau Manis dan dari situ pula kami akan menghampiri kawasan Chabang Tiga dan Losong sebelum dapat masuk ke bandaraya, rasanya lebih elok kami ke masjid-masjid di sekitar itu terlebih dahulu.

Oleh kerana kami juga belum mandi pagi, saya rasa elok juga ke Masjid Tok Ku Paloh dan mandi air perigi di sana. Memang masjid ini termasuk di dalam senarai masjid pilihan kami untuk projek buku dan kami juga sempat menziarahi makam Tok Ku Paloh selepas itu. Sila baca artikel New trip to the East Coast - Tomb and mosque of Tok Ku Paloh revisited yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH semalam.

Selesai itu, kami ke Masjid Kristal yang terletak di atas Pulau Wan Man, sekitar 2km sahaja daripada Masjid Tokku Paloh. Kami juga turut masuk ke Taman Tamadun Islam untuk melihat replika masjid-masjid terkenal dunia di sana. Tetapi biar ceritanya dibuat dalam satu artikel tersendiri untuk blogspot ini kemudian ya. Ada sesuatu yang ingin saya luahkan... tentang betapa kali ini hati saya lebih lembut melihat keadaan berbanding lawatan lalu di mana saya sering marah-marah kerana terlihat kaitan pembangunan baru di Terengganu dengan permainan politik wang tangan-tangan cemar yang pada saya terkait dengan agenda pihak Yahudi Zionis untuk menjatuhkan orang Melayu Islam.




Kemudian baru kami ke Masjid Hiliran yang lebih dekat ke satu persimpangan jalan, persimpangan yang menyebabkan timbulnya nama Chabang Tiga. Sila lihat artikel Masjid Hiliran (the Hiliran mosque), Kuala Terengganu... di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .





Seterusnya kami ke Masjid Abidin di tengah bandaraya Kuala Terengganu. Untuk cerita berkaitan, anda boleh membaca artikel Di dalam Masjid Abidin (Inside the Abidin Mosque), Kuala Terengganu... dan Makam diraja Terengganu di Masjid Abidin (Terengganu royal mausoleum at the Abidin mosque) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Dengan itu, selesailah kerja untuk masjid-masjid di Terengganu, bolehlah kami mengatur langkah untuk ke Kelantan pula.


Oh... semasa berada di Masjid Kristal, Shamsul ada menyuarakan hasrat mahu mengambil gambar masjid itu dari seberang sungai. Memandangkan kami sudah siap kerja dan ada lebihan masa, kami pun pergi ke Pulau Duyung. Sila lihat artikel Views from Pulau Duyung, Terengganu... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Sekian... :]




Tiada ulasan:

Catat Ulasan