Rabu, Mac 26, 2008

Salam daripada Dungun! Singgah sebentar sebelum ke Kuala Terengganu?

Ish, ish, ish!!! Apa daa... Asyik ingat mata aje aku ni... Dah, letak mata Lord of the Rings pulak kat sini... Ish, ish, ish!

Salam semua... Saya kini berada di Dungun sekitar 80km utara daripada Kemaman. Semalam di Kemaman, saya tidur di sebuah hotel dengan nama yang agak menarik, Hotel Wali... Wali woo... Siap dapat bilik VIP lagi, nanti le satu hari saya cerita, hehe! :]
OK... Adapun tujuan saya pergi ke Dungun adalah satu, saya sudah sangat lama tidak singgah ke sini. Seringkali, apabila pergi ke Pantai Timur, saya samada akan pergi terus ke Kota Bahru daripada Kuala Lumpur atau pergi ke Raub, atau Kuala Lipis kemudian baru ke Kota Bahru... Satu lagi laluan ialah daripada KL terus ke Kuala Terengganu dengan bas ekspress biasanya melalui tepian Kuantan, atau pergi ke Kuantan dahulu sebelum ke KT. Daripada destinasi-destinasi ini barulah saya pergi ke tempat-tempat lain, misalnya Kuala Berang, lebih kurang 40km di barat-daya KT atau Pasir Mas, juga lebih kurang 40km tapi di barat daya KB.
Dalam perjalanan kali ini pula, setelah meninggalkan Jalan Penarikan di Negeri Sembilan tengahari Jumaat lalu sampai ke Pekan, saya memilih untuk naik bas henti-henti untuk menyusuri Pantai Timur... Dari Pekan ke Kuantan seterusnya Kemaman dan kini Dungun.
Sebenarnya setelah melihat peta Terengganu saya merancang, seterusnya mahu ke Kuala Berang yang terletak di pendalaman, rasanya sekitar 60km ke barat-laut Dungun iaitu berhampiran tasik dan empangan Kenyir. Seperti disebut awal tadi, biasanya saya akan ke Kuala Berang melalui KT. Kalau menurut jalan ini daripada Dungun, saya harus menghala ke utara menyusuri pantai rasanya sekitar 80km kemudian "berpatah-balik" ke selatan tetapi sedikit ke barat untuk masuk ke pendalaman.
Maka itu saya terasa mahu cuba pergi ke Kuala Berang melalui Dungun pula... Dari segi milage, rasanya dapat menjimatkan jarak perjalanan... Dan mungkin juga laluan yang belum pernah saya ambil ini lebih menarik perhatian... Siapa tahu?
Malangnya ternyata tidak ada apa-apa perkhidmatan bas ke mana-mana menghala ke sana. Yang ada samada turun balik ke Kemaman atau naik KT sahaja... Kalau naik teksi, rasanya sudah tentu kena "cekik" nanti sedangkan kalau nak hitchike, rasanya sejak beberapa bulan ini saya kurang larat berbanding dahulu... Maklumlah, umur pun sudah masuk 38 tahun. Buat tetap buat kerana ada masanya ia perlu... Tetapi kalau boleh saya kurangkan kerana tenaga saya mungkin lebih cepat susut berbanding dahulu sedangkan seumur hidup pun saya belum lagi mendapat home sweet home sebenar yang amat didambakan lalu mampu memberikan kerehatan yang diidamkan....
Berapa ramai manusia dalam lingkungan umur begini yang ada buat kerja mengembara dengan cara begini seorang diri keluar masuk negeri dan kampung orang, tanpa memiliki kenderaan sendiri, tanpa ada jaminan tempat tidur, makan-minum apa lagi keselamatan jiwa dan raga? Sedangkan orang muda belia 20 tahun yang sepatutnya lebih cergas dan tangkas pun belum tentu sanggup mengharungi perjalanan sebegini waima untuk 3 hari sahaja pun!
Hmm... Tengoklah bagaimana nanti. Kalau selepas siap posting ini dan posting seterusnya, masih ada lagi perkhidmatan bas ke KT maka ke sanalah saya sebentar lagi. Kalau tidak, mungkin harus bermalam di sini dan kita tunggu "ilham" untuk gerak seterusnya...
Oh... Ingat tak semalam saya telah membuat sebuah posting bertajuk Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! di sini tetapi tidak sempat menyiapkannya kerana Cyber-Cafe di Kemaman telah tutup... Dan komputer di sana pula sangatlah perlahan sehingga menyakitkan hati dan mengganggu rentak penceritaan? Hari ini di sebuah Cyber-Cafe di Dungun pula, komputernya lebih laju. Maka cerita bolehlah diteruskan dengan lebih ceria. Cuma saya telah membuat keputusan, bahagian cerita yang belum siap eloklah disambung dalam satu posting baru selepas ini... Teruskan membaca! :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan