Ahad, Februari 24, 2008

Apa ada kat P131 Rembau?

Gambar hiasan... Saya telah cuba mencari gambar Gunung Datuk di Rembau seperti yang biasa dilihat apabila melalui jalan lama Negeri Sembilan ke Melaka, gunung yang kelihatan memenuhi ruang di belakang barisan kedai di simpang dari Pedas ke Tampin dan Alor Gajah. Tetapi google image search yang dibuat menggunakan keywords "gunung datok" dan "gunung rembau" tidak berjaya menemukan gambar yang sesuai. Tiba-tiba pula muncul rasa untuk mencuba image search "bendera aceh" pula lalu terjumpa gambar di atas.

Tadi sekitar jam 12 tengahari, setelah lama melepek dalam bilik di sebuah rumah keluarga di Kajang, baru saya terasa ingin turun ke ruang tamu lalu membuka televisyen. Kebetulan terbuka RTM 1 dan seketika itu juga ada rancangan siaran langsung penamaan calon untuk Pilihanraya Malaysia ke 12 yang musimnya sedang rancak bermula.
Kebetulan (atau dirancang?), siaran terus membawa kepada proses penamaan calon di Kepala Batas. Ini boleh diterima kerana yang dicalonkan di sana adalah Perdana Menteri yang sedang memegang kuasa, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ataupun Pak Lah. Tetapi apabila siaran seterusnya beralih ke Rembau di mana menantunya Khairy Jamaluddin dicalonkan buat pertama kali dalam pilihanraya, hati ini tertanya-tanya juga, kenapa terus ke sana? Kenapa tidak ke tempat lain di mana terdapat calon-calon yang boleh dikira lebih berkuasa seperti para menteri. Khairy cuma Naib Ketua Pemuda, kenapa pula dia menerima perhatian lebih?
Malah selepas Rembau, barulah ditunjukkan proses penamaan calon di Pekan di mana Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertahankan kerusinya... Mengapa penamaan Khairy ditunjukkan lebih dahulu daripada Najib? Apakah yang tersirat di sebalik ini? Apakah ini bukti bahawa menantu Pak Lah itu lebih berkuasa malah pencatur sebenar di sebalik pelbagai perkara melibatkan politik peringkat tinggi semenjak beberapa tahun kebelakangan?
Lebih menarik lagi, apabila masuk ke siaran langsung di Pekan, tiba-tiba pula boleh ada masalah audio... Lalu berkumat-kamit lah mulut pengacara yang saya rasa sedang menyebut nama-nama calon tetapi tanpa suara... Masalah audio ini terus melanda sehingga wajah Najib dan penyokongnya ditunjukkan... Apakah ini memang masalah teknikal yang tidak disengajakan atau ia satu hint atau percubaan untuk meremehkan kedudukan Najib?
Apapun, saya bukanlah peminat politik atau ahli komentarnya. Yang saya lebih minat adalah keadaan budaya sosio-politik, bagaimana sesuatu tempat dan masyarakat itu bertindak-balas dengan suatu keadaan semasa dan yang tentunya paling hangat kini adalah demam pilihanraya.
Dalam pada itu, baru saya tersedar bahawa kawasan parlimen Rembau yang akan ditanding oleh Khairi itu adalah kawasan P131 atau kerusi parlimen nombor 131. Terus saya terpana sekejap... Kerana nombor 131 itu mempunya makna yang tersendiri bagi saya... Cuba baca artikel 13 haribulan 11 dan 131... Sesuatu yang istimewa... untuk sedikit penerangan tentang kegilaan saya terhadap nombor ini. Atau tadi mungkin saya tersilap pandang?
Hmm... Nanti. Mungkin saya boleh mengesahkan samada betul Rembau in kawasan P131 apabila masuk Internet petang nanti. Nanti...
Sekitar jam 12.30 saya masuk ke bilik air menunaikan hajat lalu mandi. Selesai ini, saya membuka televisyen lagi, masih RTM 1. Seketika itu juga flash di bahagian bawah paparan televisyen (yang keluar perkataan bergerak kanan ke kiri tu...) menunjukkan perkataan Rembau P131... Nampaknya ada sesuatu yang hendak diberitahu oleh "pihak atasan" kepada saya.
Saya bertafakur sebentar lalu teringat akan Gunung Datuk yang boleh kelihatan apabila menghampiri Pedas. Dahulu sebelum wujud Lebuhraya Plus, saya dan keluarga selalu melalui Pedas (dahulu terkenal dengan kolam air panasnya) yang terletak di jalan utama Seremban ke Melaka apabila hendak pergi atau kembali antara Kuala Lumpur ke Muar.
Sewaktu zaman kanak-kanak dahulu, saya begitu peka akan apa yang kelihatan di luar kereta terutama gunung-ganang dan sungai. Antara yang paling menarik perhatian adalah pemandangan Gunung Datuk apabila menghampiri sempadan Negeri Sembilan, Melaka... Di satu simpang tiga yang membawa ke Tampin di timur dan Alor Gajah di selatan.
Hmm... Baru teringat, sejak kecil lagi saya ada menyimpan hasrat untuk melawat kawasan sekitar itu, ada juga rasa ingin mendaki Gunung Datuk yang tingginya menghampiri 3,000 kaki. Kata orang, di atas sana ada tinggalan tapak kaki misteri. Ada yang menyebut itu adalah tapak kaki Hang Tuah yang dibuatnya dalam perjalanan dari Tanjung Tuan di Port Dickson.
Adapun Gunung Datuk ini terletak di dalam daerah Rembau. Teringat juga Yam Tuan Negeri Sembilan yang pertama iaitu Raja Melewar telah ditabalkan di Kampung Penajis di Rembau lebih 200 tahun lalu. Makamnya masih wujud di Astana, Rembau tetapi sehingga kini saya belum menziarahinya. Teringat juga cerita-cerita orang bahawa makam Raja Melewar ini dijaga oleh seekor harimau yang tempang satu kaki, kalau tak salah ingatan dikenali sebagai harimau tangkis oleh orang Negeri... Keadaannya hampir sama dengan cerita harimau tepok yang juga tempang satu kaki, harimau jelmaan yang dikatakan menjaga makam-makam ramai ahli keluarga saya dahulukala terutama Makam Keramat Kuala Bidor di Teluk Intan.
Hmm.. Mungkin P131 Rembau itu adalah isyarat untuk saya menziarahi tempat-tempat ini? Kebetulan pula semalam saya baru membuat artikel bertajuk Dari Tangkak ke Kuala Lumpur... Sangkut sebentar di Linggi... di blogspot ini di mana saya menyebut nanti harus bermalam di makam lama di Pengkalan Kempas (lihat The megalithic stones of Pengkalan Kempas ). Teringat juga yang saya sudah lama tidak ke Tanjung Tuan, rasanya sudah 5 tahun atau lebih...
Mungkin saya harus melawat tempat-tempat ini dalam satu perjalanan nanti? Mungkin... Insyaallah selepas selesai perjalanan ke Pantai Timur yang akan dibuat tidak lama nanti... Saya sekadar menurut gerak hati yang setakat ini agak tajam dan tepat dalam menentukan apa yang perlu dibuat pada sesuatu ketika... Termasuk meletakkan gambar bendera di atas.
Mungkin apa yang ingin saya luahkan ini, baik tentang P131, baik tentang Pantai Timur juga ada makna yang tersirat kaitannya dengan bendera tersebut? Ia bukanlah bendera Aceh, ia cuma satu bendera yang muncul apabila saya membuat google image search menggunakan keywords "bendera Aceh".
Hmm... Kenapa pula saya tergerak membuat search "bendera Aceh" setelah gagal menemui gambar yang sesuai daripada search "Gunung Datuk" dan "Gunung Rembau". Apa kena mengena Aceh dengan P131? Kenapa pula terasa mahu menggunakan gambar bendera dengan pedang dan beberapa kalimah sedangkan gambar bendera Aceh berwarna merah dengan bulan bintang muncul lebih dahulu dalam search itu? Hmm... :]

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum wbh,
    Hmm..agaknya ramai orang yang ada harimau keluarga..keluarga saya pun ada but at that time couldn't think of any significance having a guardian tiger, after all, there are a lot of mystifying deeper knowledge of the ancients abounding..ia muncul sekali sekala..sewaktu arwah atuk sebelah mak hampir meninggal dunia di kampung kami di NS, ada harimau tidur sebelah dia. Esok pagi kami nampak kesan tapak harimau di tanah. A few decades later, my youngest sister, who is quite fearless, saw the tiger during a family feast. My Kak Ngah joked, "Dia saja nak tengok2.."My younger brother has the eyes to see supernatural things, so does my youngest sister and now my nephew has it too..strange, strange..

    BalasPadam