Khamis, November 08, 2007

Sinopsis BKA III



“Akan datang Panji-Panji Hitam dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka umpama kepingan-kepingan besi. Barangsiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbai’ahlah kepada mereka sekalipun merangkak di atas salji.”

- Sabda Rasulullah SAW mengenai akhir zaman!


Jika buku satu “Berpetualang ke Aceh” dengan tajuk kecil “Mencari Diri dan Erti” boleh diibaratkan sebagai perjalanan permulaan masuk ke hutan tebal untuk mendaki sebuah gunung yang tinggi lagi mencabar dalam keadaan teraba-raba mencari jalan, buku kedua yang menyusul hampir setahun kemudian dengan tajuk kecil “Membela Syiar yang Asal” pula boleh diibaratkan sebagai tanda kejayaan si pengembara menawan puncak gunung idaman setelah lama berhempas-pulas mencuba sedaya-upaya. Tetapi ini tidak akan bermakna jika dia tidak dapat kembali dengan selamat ke kampung halaman... Maka siri novel unik ini perlu dilengkapkan dengan buku ketiga yang boleh diibaratkan sebagai perjalanan menuruni gunung keluar hutan sebelum kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga!

Masalahnya, perjalanan ini tidaklah semudah yang disangka... Selain kepenatan amat akibat lama melangkah membelah hutan belantara, masih terdapat banyak lagi ranjau di sepanjang jalan pulang. Maka itu buku ketiga pun diberi tajuk kecil “Sirih Pulang ke Gagang?” dengan tanda soal di belakang, tanda yang menunjukkan mungkin perjalanan itu akhirnya selesai, mungkin juga tidak!

Jika “Mencari Diri dan Erti” cuba merungkai makna besar Melayu sebagai gabungan bangsa-bangsa bersatu yang diikat oleh agama Islam berserta budaya Melayu seperti yang tersurat dan tersirat di dalam perlembagaan, “Membela Syiar yang Asal” pula cuba menyusuri makna Islam yang lebih luas... Islam yang bermula sejak Nabi Adam AS muncul sebagai manusia pertama entah puluhan ribu tahun lalu, bukan setakat Islam syariat Nabi Muhammad SAW, syariat akhir zaman yang bermula sekitar 610 Masihi.

Ini disertai pemahaman mendalam Islam bertunjangkan amalan Tasawuf sejati sehingga nyatalah kaitan persaudaraan setiap manusia di mukabumi yang harus diikat kembali melalui penghayatan Islam yang tulin. Lalu ternyata juga kenapa ada pihak jahat seperti puak Yahudi Zionis mahu menghancurkan semua ini... Dengan mencipta pelbagai fahaman palsu yang akhirnya memecah-belahkan manusia. Kerana mereka mahu menguasai dunia dan ini cuma boleh dilakukan melalui cara pecah dan perintah!

Setelah beberapa konsep dan pemahaman sejarah dirombak semula, barulah cerita boleh diteruskan dengan buku ketiga. Lalu sejarah bumi Melayu yang pernah menyaksikan kota Melaka dijajah Portugis 1511 diikuti kejatuhan Samudera-Pasai beberapa tahun kemudian dapat dilihat dalam konteks lebih luas! Konteks yang melibatkan Perang Salib di Timur-Tengah yang melarat ke bumi Melayu demi memadamkan syiar Islam sejati di mukabumi.

Ditambah pemahaman tentang penghijrahan ramai Ahlul Bait anak cucu Nabi ke bumi Melayu sejak 1,200 tahun lampau akibat pelbagai faktor terutama pergolakan politik Islam di Timur Tengah, akan ternyata juga kenapa penjajah Barat begitu rakus mahu menakluki rantau ini. Keturunan berdaulat yang bermastautin di sinilah yang akan menjadi penyebab akan kemunculan Panji-panji Hitam dari Timur yang disebut Nabi. Apakah kita sudah bersedia untuk menyambutnya nanti?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan