Merujuk pada artikel Menyahut panggilan Kalimantan - Semoga semua baik-baik sahaja yang dipersembahkan 20 hari lalu. Sukacita dimaklumkan perjalanan yang dimaksudkan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Saya dan isteri selamat kembali ke Semenanjung selepas tengah malam semalam. Tapi petang tadi baru sampai kembali ke rumah, setelah bermalam di rumah biras berdekatan lapangan terbang di Sepang.
Artikel Menyahut panggilan Kalimantan - Semoga semua baik-baik sahaja tidak memberitahu bilakah perjalanan dibuat. Dalam artikel seterusnya iaitu Artikel ke-2,882, ulang tahun kelahiran anak dan Merah Silu live edisi 41 hingga 45 yang dipersembahkan pada 8 Oktober Khamis malam Jumaat baru dinyatakan mahu berlepas ke Kalimantan pagi Jumaat, iaitu pada 9 Okt. Gambar ini diambil ketika berehat di tengah jambatan di tempat bernama Tayan, menyeberangi Sungai Kapuas, sungai terpanjang di Kalimantan malah seluruh Indonesia. Ketika itu 18 Oktober, kami sedang membuat perjalanan menunggang motosikal (kelihatan dalam gambar) selama 5 hari 6 malam.
Itu sahaja meliputi jarak 1,338km. Belum dicampur 101km motosikal dibawa menaiki kapal melalui delta Sungai Kapuas hampir ke kuala untuk sampai ke tempat bernama Teluk Batang. Gambar ini menunjukkan kedudukan jambatan Tayan berbanding Pontianak di mana pengembaraan dengan motosikal dimulakan. Ditanda sekali jangkauan utama keseluruhan perjalanan di Kalimatan Barat, utara di Sambas, selatan di Ketapang dan timur di Sintang.
Pada 5 hari terawal kami cuma berjalan-jalan di sekitar Pontianak. Itupun meliputi jarak 190km. Pada hari ke-6 iaitu Rabu 14 Okt baru keluar jauh untuk ke Mempawah, Singkang dan Sambas menaiki kereta. Esoknya memulakan perjalanan dengan motosikal untuk menuju ke Ketapang kemudian Sintang.
Artikel Menyahut panggilan Kalimantan - Semoga semua baik-baik sahaja ada menyatakan kebimbangan harus menghadapi keadaan berjerubu selain bercadang untuk meliput jarak perjalanan darat tidak kurang 2,000km. Benar memang ada masalah jerebu. Belum campur keadaan jalan yang sangat teruk di beberapa tempat. Namun sukacita dimaklumkan. Bukan sahaja jarak cadangan berjaya ditempuhi. Malah didapati dapat meliputi 3,450km!
Ini kerana turut mencari kesan-kesan sejarah di beberapa tempat dari Kuching ke Sibu dan sebaliknya. Kira-kira terperinci berdasarkan apa yang dapat dilakar kembali atas peta melalui Google Map dicampur meter motosikal dan kereta menunjukkan 2,414.29km telah diliputi di Kalimatan Barat, 1,036.27km di Sarawak.
Apapun ini cuma pengenalan sebelum dikongsikan cerita perincian perjalanan dari hari ke hari. Di sini biar diambil peluang untuk berkongsi video yang dibuat Selasa malam Rabu 13 Oktober iaitu sebelum bergerak ke Sambas selepas Subuh pagi berikutnya.
Ia adalah untuk siaran langsung "Merah Silu Live" di Tiktok, edisi ke-46. Saya dan isteri bertekad untuk melaksanakan walaupun menghadapi masalah isyarat Internet kurang baik. Ini kerana harus memancarkan dari luar demi menyantuni undangan seorang kenalan agar mengikuti persembahan nyanyian anaknya di sebuah kafe kopi besar di Pontianak. Kalau dibuat di rumah tempat kami menginap jauh lebih stabil dan mudah.
Kami bertekad untuk melaksanakan kerana tarikh 13 Okt itu adalah hari ulang tahun ke-17 kelahiran anak kami yang bernama Muhammad al-Aminul Rasyid. Lalu apabila didapati hasil pancaran dari luar tidak memuaskan kami menyambung kembali apabila sampai ke rumah lewat malam. Padahal cuma beberapa jam lagi akan berjalan jauh hingga ke Sambas. Dengan itu dapatlah meliputi perjalanan-perjalanan lama dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 seperti berikut :-
89. Misi HIKMAH IX di Pulau Pinang Feb 2014 - 1,700 km. Lihat Kehilangan pesawat MH370 dan selesainya misi HIKMAH IX di Pulau Pinang.
90. Aceh Mac 2014 - 1,280 km. Lihat Berjayanya misi HIKMAH Aceh.
91. Kelantan Jun 2014 - menghampiri 1,300 km. Lihat Perjalanan 'kecil' ke Kelantan pertengahan 2014.
Cerita harian perjalanan akan mula dikeluarkan setelah selesai beberapa hal. Sabar ya... :]


