Selasa, Mei 26, 2026

Hari raya haji dan Merah Silu Live

Salam semua. Malam ini Selasa malam Rabu seperti kebiasaan sejak beberapa lama sepatutnya dilaksanakan satu edisi siaran langsung "Merah Silu Live" melalui Tiktok bermula jam 9.30. Namun disebabkan ia adalah malam raya haji iaitu 10 Zulhijjah bagi tahun Hijriah ini biarlah ditumpukan pada membuat ibadah dan aktiviti kekeluargaan. Sebagai ganti biar disuakan rakaman bagi 4 edisi terakhir kebelakangan ini iaitu seperti berikut...


 Edisi ke-24 (pada 28 April)



36. Aceh Jun 2009 -  1,150 km. Lihat Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur....


Edisi ke-25 (5 Mei)


Perjalanan lama yang diulas :-


37. Raub ke Sepang Julai 2009 - dekat 500 km. Lihat Mencari gulai asam rong di Raub, nombor 66666 dan majlis Ijtimak di Sepang....

38. Linggi Ogos 2009 - lebih 1,050 km. Lihat Mencari makam tertentu di Linggi.

39. Pantai Timur Ramadhan 2009 (September) 1,700 km. Lihat Koleksi artikel "Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan".


Edisi ke-26 (12 Mei)

Perjalanan lama diulas :-


40. Al-Rasyid ke Selatan Nov 2009 - mendekati 1,820.5 km. Lihat Koleksi artikel "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan"....


Edisi ke-27 (19 Mei)

Perjalanan lama diulas :-

41. Jalan-jalan anak beranak Disember 2009 - tidak kurang 700 km. Lihat  Kompilasi "Jalan-jalan anak-beranak".

42.  Aceh Jan 2010 - 1,050 km. Lihat Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh.

43. Tempat-tempat di Selangor tahun 2010 (Jan-Jul)-  1,030 km. Lihat Tempat-tempat di Selangor yang membuka jaringan ilham....

44. Aceh Feb 2010 - 970 km. Lihat Maulidur Rasul di Aceh dari mula hingga tamat...


Sekarang biar diucapkan selamat hari raya haji kepada semua. Insyaallah kami akan kembali bersiaran seperti biasa pada Selasa malam Rabu hadapan 2 Jun.


Ahad, Mei 24, 2026

Melawan Islamofobia - Bagaimana seterusnya?

Bersambung daripada artikel Melawan Islamofobia - Sejarah, teori dan cara amalannya.



Masuk waktu rehat makan tengah hari saya berjalan kaki keluar masuk beberapa bangunan sehingga ke KLCC (Pusat Bandar Kuala Lumpur). Nak join makan berserta hadirin lain sedang berpuasa...



Sampai masa untuk sesi seterusnya kembali ke hotel lalu ke bilik sebelah.



Pembentang pertama Fahad Ahmad bercakap tentang berat sebelah media apabila timbul-masalah Islamofobia di Kanada.






Kalau berlaku apa yang dilihat sebagai antisemitisma (ditakrif sebagai kebencian terhadap orang Yahudi walaupun takrif sebenar semite itu sebenarnya keturunan Sam bin Nabi Nuh AS lalu meliputi bangsa Arab, lalu boleh meliputi agama Islam sebagai satu agama semitic) cepat sahaja media mengambil tahu dan melaporkan walau cuma sangkaan. Tapi kalau berlaku Islamafobia atau kebencian terhadap orang Islam nak tunggu ada yang terbunuh baru hendak ambil tahu.



Pembentang seterusnya Danial Yusof (Profesor Madya Dr) saya sudah kenal ketika beliau menjadi timbalan dekan ISTAC. Beliau yang kini mengetuai PEDIX (Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia), satu pusat di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) yang diwujudkan selepas guru saya di ISTAC, penyelia Masters, sekarang PhD menjadi Rektor UIAM bermula hampir penghujung 2024 berkongsi tentang satu kajian yang sedang dijalankan mereka untuk menangani masalah Islamofobia.



Sebetulnya pusat itu mahu menggunakan nama Islamobia lalu menekankan perkara. Tetapi disuruh ubah jadi Xenofobia (yang meliputi kebencian terhadap mana-mana pihak, bukan orang Islam sahaja). Kajian adalah tentang 8 negara ASEAN (Kesatuan Asia Tenggara) yang memiliki penduduk minoriti Muslim dan bagaimana keadaan mereka di negara masing-masing.






Sebetulnya, dan cukup diketahui ramai, ada penduduk Islam ditindas di sesetengah negara. Tetapi tidak dapat dinyatakan secara terang oleh pihak kita di Malaysia demi menjaga hubungan antara negara. Mungkin begitulah situasi di Russia yang mana ada memiliki polisi melawan Islamofobia tetapi dilihat oleh pembentang berkenaan pada sesi sebelum makan tengah hari sebagai hipokrasi kerana kelihatan tidak ambil peduli apabila ada negara rakan menindas orang Islam. Dan realitinya di Malaysia ada golongan liberal yang tidak suka golongan yang menjaga agama naik. Ia sebenarnya lebih teruk dari situasi di Bangladesh seperti disebut pembentangan berkenaan dalam sesi sama. Ini kerana kita memiliki populasi bukan Islam yang agak besar malah menguasai ekonomi negara. Dalam 'pembelitan' undang-undang pun mereka yang paling ketara.



Pergi pada pembentang seterusnya Jumana Al-Ahmad. Beliau bercakap tentang bagaimana penghayatan Islam dalam kehidupan seharian boleh ditonjolkan dalam filem untuk memberi orang ramai lebih faham lalu tidak membenci Islam.






Ini digunakan dalam syarahan-syarahan beliau di universiti. Walaupun media cenderung untuk membentuk persepsi buruk terhadap Islam tetap ada ruang usaha melawan termasuk melalui filem.



Caranya tonjolkan kehidupan seharian orang Islam baik yang menjaga agama dalam menghadapi suatu cabaran. Bagaimana mereka berdoa, boleh menjadi tenang dalam kesulitan disebabkan amalan dan kepercayaan kepada Tuhan.



Akhir sekali Saeed Khan bercakap tentang bagaimana model Abu-Lughodian (seorang cendekiawan moden) boleh dijadi templat melawan Islamofobia.



Ini memerlukan kefahaman tentang bagaimana dunia dibahagikan oleh pihak-pihak tertentu menurut zaman...






Dahulu wilayah-wilayah Asia seperti di India dan China pernah menerajui hubungan antarabangsa sebelum naik kuasa-kuasa Barat. Sekarang kelihatan seperti sedang berlaku peralihan kembali kepada Asia.



Selepas rehat minum petang sesi seterusnya, terakhir bagi hari itu, menggabungkan kesemua perserta dalam satu bilik sidang. Kelihatan Amira Elghawaby berkongsi pengamalan pernah mengetuai satu badan dalam kerajaan Kanada untuk melawan Islamofobia, sebelum ia ditutup atas sebab tertentu.






Iman Atta kemudian bercakap tentang cabaran di India.



Dalam sesi ini cuma Rose Paris Richter bercakap dengan bantuan slaid.



Beliau berkongsi langkah-langkah praktikal yang boleh dilaksanakan mengunakan institusi-institusi sedia ada yang berwibawa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersekutu mengikut prosedur.



Sajjad Hassan pula berkongsi pengalaman pernah bersama badan hak asasi manusia terkenal Amnesty International dalam menangani hal-hal berkenaan. Walaupun badan ini pun ada berat sebelahnya boleh diambil contoh bagaimana ia bermula dengan sejumlah aktivis setakat selalu menghantar surat bangkangan terhadap ketidakadilan pihak berkuasa sebelum dapat membentuk organisasi tersusun yang mampu mempengaruhi perkara.




Selesai majlis kembali ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku.

Dari situ ke sebuah masjid di Ampang untuk mengikuti majlis haul Sheikh Abu Bakar bin Salem kemudian bermalam di rumah kami yang di Hulu Langat.


Esoknya pagi Ahad iaitu siang tadi mengambil anak-anak keluar bercuti dari tahfiz di selatan Cheras. Selepas ituu membawa mereka berjalan ke beberapa tempat mandi sungai. Itu yang tak dapat ikuti hari ke-3 dan terakhir persidangan.


Melawan Islamofobia - Sejarah, teori dan cara amalannya

Merujuk pada artikel Tentang kemahiran mengatur diri sendiri yang dipersembahkan petang Jumaat. Ada disebut bahawa ketika sampai di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk majlis ilmu terakhir daripada 3 mahu diikuti minggu itu didapati ada persidangan antarabangsa selama 3 hari hendak bermula. Saya sempat mengikuti sedikit hari itu tetapi memberitahu tidak dapat hadir pada hari-hari seterusnya kerana ada komitmen keluarga.  Namun setelah berbincang kembali dengan isteri rancangan hujung minggu mendapat ruang untuk hadir satu hari.



Pagi Sabtu 23 Mei 2026 bergegaslah ke ISTAC untuk mengikuti hari kedua persidangan.



Tidak perlu lagi menemani isteri untuk urusan di rumah di Bandar Sungai Buaya kemudian di Bukit Damansara. Saya boleh mengikuti persidangan hari itu sehingga selesai kemudian isteri datang berjumpa di ISTAC lalu bersatu untuk urusan seterusnya.



Kebetulan hari itu ada majlis perkahwinan di dewan makan di ISTAC. Tak disangka ini menyebabkan penganjur mengalihkan persidangan ke tempat lain pula. Fikir saya boleh sahaja ia berjalan di dewan utama.



Bergegaslah ke pusat bandar raya Kuala Lumpur untuk ke lokasi lagi satu.



Ia di sebuah hotel yang baru tahu wujud sekitar itu.






Ketika sampai sesi awal pagi sudah selesai lalu hadirin keluar untuk rehat kopi (coffee break). Sedap sungguh bau kopi hotel yang walaupun pada saya tidak cantik sangat rupa walau bertaraf 4 bintang ini. Namun saya sedang berpuasa Zulhijjah lalu boleh tengok sahaja.



Masuk sesi seterusnya memilih salah satu daripada dua bilik sesi. Persidangan mengandungi banyak sesi, dua sekali dijalankan secara selari.



Kelihatan pembentang pertama di bilik itu, Nikita Zychowicz bercakap tentang usaha melawan Islamofobia di Russia.



Atur cara yang diterima cuma menyatakan nama, tiada pangkat, kedudukan atau asal/bertugas di mana. Carian atas talian menunjukkan beliau berketurunan Russia-Poland, seorang pelajar dan sarjana di University of Leeds, United Kingdom. Faham saya kalau tak silap mendengar, seperti saya beliau sedang membuat PhD.



Saya tertarik apabila diberitahu bahawa Russia memiliki polisi melawan Islamofobia yang dijalankan oleh negara. Ia adalah polisi yang diangkat oleh Presiden Vladimir Putin, kelihatannya untuk membela Islam di mana-mana. Tetapi Zychowicz menyatakan ia sebagai hipokrisi. Ini kerana Russia tidak berkata apa-apa apabila negara-negara rakan seperti India dan China ada menindas orang Islam.



Pembentang seterusnya Farrukh Hakeem bercakap tentang bagaimana Islamofobia boleh muncul di India. Ramai tahu bagaimana ganasnya keadaan sejak Perdana Menterinya sekarang, Narendra Modi memegang kuasa.



Dinyatakan ia bermula daripada dasar pecah dan perintah British untuk menjajah benua kecil Hindi seawal 4 abad lalu.



Islam yang sudah beratus tahun menguasai benua dicanangkan sebagai agama yang dibawa penceroboh lalu merosakkan keamanan penduduk asal.



Naratif ini diteruskan oleh puak esktremis Hindu iaitu Hindutva pada zaman moden. Itu yang membawa pada keadaan sekarang di mana umat Islam dengan sewenang-wenangnya boleh diserang malah dibunuh oleh orang Hindu.



Pembentang seterusnya, Abdullah al Masum (Profesor Dr sebenarnya, sepertimana sejumlah pembentang dan hadirin persidangan. Tapi masing-masing setakat memanggil nama tanpa pangkat dan gelaran) pula bercakap tentang Islamofobia di Bangladesh.



Pada awalnya pelik memikirkannya. Bukankah Bangladesh adalah negara yang hampir seratus peratus penduduknya Islam (kalau bukan 100%)? Ia sendiri terbit daripada pemecahan/pemisahan negara India selepas merdeka dari British, antara wilayah dikuasai Hindu dengan wilayah dikuasai Islam. Bagaimana boleh wujud Islamobia di sana?



Setelah beberapa lama baru faham.



Walaupun tidak dinyatakan secara berterus terang, nampaknya Islamofobia wujud di Bangladesh kerana seperti di Malaysia, golongan liberal takut dengan kebangkitan golongan agamawan.



Pembentang terakhir sesi Nur Adillah Omar saya sudah kenal sejak masuk ke ISTAC tahun 2018. Ketika itu beliau membuat PhD. Saya baru memulakan Masters.



Adillah memilih untuk membandingkah bagaimana apa yang dianggap sebagai kelampauan beragama ditangani berbanding Islamofobia.



Kelihatan yang dirujuk itu adalah secara umum walaupun saya tahu ia sedang berlaku di Malaysia.



Cukup senang mereka yang dianggap sebagai pelampau agama diambil tindakan walau belum terbukti begitu. Sedangkan apabila berlaku kes Islamofobia, apabila sudah meledak, apabila timbul kontroversi dalam kalangan masyarakat baru hendak diambil tindakan.



Poster bagi majlis. Ia sebenarnya adalah persidangan tahunan ke-5 anjuran International Islamophobia Studies Research Association (Persatuan Antarabangsa Pengajian Penyelidikan Islamofobia). Carian atas talian menunjukkan yang ke-4 tahun lalu diadakan tahun lalu di University of Granada, Sepanyol. Bukan calang-calang majlis ini. Nasib baik berkesempatan menyertai.