Satu artikel kecil demi kesinambungan gerak rasa sejak beberapa hari kebelakangan.
Dalam artikel Bersama anak-anak ke Tanjung Sepat dan Muar yang dipersembahkan Ahad 4 Januari ada dinyatakan mengambil anak-anak keluar bercuti hujung tahun dari tahfiz Sabtu 28 Disember. Artikel berikutnya Sambutan hari ulang tahun ke-81 Datuk Dr Hamid Arshat Isnin 5 Jan pula menyebut sepatutnya anak-anak kembali ke tahfiz petang 4 Jan. Tetapi berlaku suatu hal menyebabkan bangunan tahfiz harus diperbaiki lalu cuti dilanjutkan buat suatu masa. Artikel selepas itu Madani Nabawi : Lahirnya idea wargakota negara yang majmuk, demokratik dan berakhlak yang dipersembahkan petang Khamis 8 Jan menyatakan pada petang 5 Jan ada menghadiri syarahan tertutup di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk pelajar PhD. Gambar ini diambil sebelum syarahan tersebut.
Sebenarnya saya ke UIAM kerana penyelia tesis saya, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Rektor universiti mahu berjumpa untuk membincangkan thesis proposal, cadangan tesis saya. Selepas itu beliau memberitahu akan membuat syarahan bagi kelas Research Methodology (kaedah-kaedah kajian) di pejabat. Biasanya dibuat di kampus ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku kerana memang untuk pelajar PhD ISTAC. Walaupun tidak perlu lagi mengikuti kelas kerana sudah mengambilnya pada semester pertama sarjana tahun 2018 saya boleh sahaja menghadiri, sekurang-kurangnya untuk menyegarkan kembali ingatan. Lagipun dahulu itu dibawa oleh pensyarah lain, bukan guru saya ini yang lebih luas dan tinggi ilmu pengetahuan.
Kebetulan syarahan sangat kena mengena dengan cadangan tesis yang sedang diusahakan, cadangan yang sudah beberapa kali diperbaiki, belum lagi diberi kelulusan untuk mempertahankan (proposal defense). Maka sesuai sangatlah menghadiri syarahan jam 5 hingga 7 petang. Gambar ini diambil di bahagian lain Gombak. Ketika itu hendak berbuka puasa sunat hari Khamis dengan hidangan satay minang.
Gambar ini pula diambil jam 11.50, selepas menghadiri syarahan umum Rabu malam Khamis 7 Jan. Syarahan inilah yang dikongsikan ceritanya dalam Madani Nabawi : Lahirnya idea wargakota negara yang majmuk, demokratik dan berakhlak. Ketika itu baru lepas mengisi minyak motosikal di stesyen terdekat ke rumah di Bandar Sungai Buaya. Tertarik kerana meter ganti (meter asal di sebelah kanan itu sudah lama rosak) menunjukkan nombor 35553 (3,5553 km sejak mula dipasang penghujung tahun lalu).
Tadi pagi Sabtu 10 Januari 2026 bergerak bersama isteri dan anak-anak untuk membawa kembali ke tahfiz di selatan Cheras.
Selepas menyelesaikan sedikit hal rasmi bagi permulaan pembelajaran tahun baru sampailah masa untuk meninggalkan mereka. Dengan ini cukuplah cerita kesinambungan ini. Dalam masa kurang 48 jam nanti insyaallah akan dikeluarkan satu cerita bagi menutup hal-hal melibatkan Perjanjian Pangkor yang dimulakan dengan artikel Asbab Perjanjian Pangkor - Menjejak kota dan bandar-bandar Melayu yang hilang 19 Disember.





Tiada ulasan:
Catat Ulasan